Bukan Sekadar Turun Padang, Jentera Muslimat Perlu Kuasai AI Hadapi PRU16

8

BACHOK – Jentera Dewan Muslimat PAS perlu menguasai teknologi termasuk kecerdasan buatan (AI), selain memperkukuh kerohanian dan prinsip walak kepada kepimpinan sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

Ketua Penerangan Muslimat PAS Kawasan Kemaman, Che Mesilah Mohamed berkata, penguasaan teknologi perlu berjalan seiring dengan kekuatan rohani dan disiplin organisasi bagi memastikan jentera mampu mendepani perubahan serta mendekati golongan muda dengan lebih berkesan.

Katanya, perkara itu antara intipati penting ucapan perasmian Muktamar Tahunan Dewan Muslimat PAS Pusat Ke-66 yang disempurnakan Naib Presiden PAS, YB Datuk Ustaz Haji Idris Ahmad.

“Generasi muda hari ini sangat dekat dengan teknologi. Jadi, jentera perlu memahami realiti kehidupan mereka dan meningkatkan kemahiran IT serta asas AI supaya penyampaian mesej dapat dilakukan dengan lebih berkesan,” katanya ketika ditemui selepas majlis perasmian muktamar berkenaan.

Menurutnya, dalam masa sama, jentera Muslimat perlu berlapang dada dan terus memberikan kepatuhan terhadap ketetapan serta strategi kepimpinan, termasuk apabila berdepan perubahan jajaran politik atau perbezaan pandangan peribadi.

“Apabila keputusan telah dibuat oleh kepimpinan, kita perlu berlapang dada dan terus melaksanakan gerak kerja dengan penuh komitmen. Kesatuan jentera tidak boleh terjejas kerana perbezaan pandangan,” katanya.

Che Mesilah berkata, aspek kerohanian juga tidak boleh diketepikan kerana menjadi asas kekuatan penggerak dalam melaksanakan amanah perjuangan.

Katanya, kesibukan dengan tugasan harian bukan alasan untuk mengabaikan hubungan dengan al-Quran, selain konsisten mengamalkan zikir pagi dan petang serta memperbanyakkan amalan sunat dan bersedekah.

Dalam pada itu, beliau berkata ucapan perasmian turut mengiktiraf komitmen dan peranan penting jentera Muslimat yang menggerakkan organisasi daripada peringkat akar umbi hingga ke pimpinan tertinggi.

“Kekuatan jentera Muslimat bukan hanya pada kemampuan turun padang, tetapi turut bergantung kepada kekuatan jiwa, kesatuan organisasi dan keupayaan menyesuaikan diri dengan perkembangan semasa,” katanya.

Beliau berkata, gabungan kekuatan rohani, walak kepada kepimpinan serta penguasaan teknologi perlu menjadi antara persediaan utama jentera Muslimat bagi menghadapi PRU16.