BACHOK— Dewan Muslimat PAS Malaysia menggariskan lima teras utama bagi memastikan seluruh agenda perjuangan diterjemahkan kepada gerak kerja yang tersusun, boleh diukur dan dipantau.
Ketuanya, Ustazah Nuridah Salleh berkata, lima teras berkenaan meliputi Gerakan Tarbiah dan Dakwah, Gerakan Keluarga Haraki, Gerakan Muslimat Muda dan Progresif, Gerakan Muslimat Negarawan serta Gerakan Jentera Pilihan Raya.
Menurutnya, teras pertama memberi tumpuan kepada usaha memperhebat aktiviti usrah, wacana ilmu dan dakwah, Gelombang Munajat serta Kempen Solat First.
Kata Nuridah lagi, langkah itu penting bagi melahirkan tenaga tarbiah yang berkeyakinan tinggi selain membangunkan kader Muslimat yang beriman, berilmu dan berdisiplin.
“Usaha ini amat penting bagi mempersiapkan tenaga pendakwah dan ahli siasah yang kompeten dalam mendepani kemajmukan sasaran dakwah,” jelasnya.


Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucap tama pada Muktamar Dewan Muslimat PAS Malaysia, di Kompleks Pendidikan Islam (KPI) Bachok, Kelantan, hari ini.
Bagi teras kedua, Nuridah menambah, keluarga perlu diperkukuh sebagai asas pembinaan iman, akhlak dan generasi pewaris perjuangan.
Katanya, ekosistem pendidikan dan pembangunan keluarga perlu diperkasa melalui inisiatif sedia ada seperti TASTI dan APSA, selain memperkukuh perancangan pembangunan KOMSA sebagai institusi pendidikan dan latihan Muslimat.
Sementara itu, teras ketiga memberi penekanan kepada pemerkasaan Muslimat Muda dan Muslimat Profesional sebagai jaringan progresif yang mampu mempercepatkan transformasi masyarakat berasaskan STEM, teknologi dan inovasi.


Tambahnya, organisasi Ameerah, Nusaibah dan Briged Muslimat juga perlu terus diperkukuhkan sebagai platform pembangunan wanita muda.
Dalam pada itu, Gerakan Muslimat Negarawan menjadi teras keempat dengan usaha mewujudkan platform yang menghimpunkan wanita yang terlibat sebagai pembuat dasar serta jaringan kerjasama dalam bidang politik, ekonomi, pendidikan, keluarga dan kebajikan.
“Kesemua usaha ini perlu diterjemahkan kepada dasar dan pelaksanaan di peringkat negeri dan negara,” ujarnya.
Teras kelima pula membabitkan pengukuhan jentera pilihan raya Muslimat menerusi pendekatan 3J iaitu Jejak, Jumpa dan Jaya.
Nuridah berkata, kesemua teras tersebut perlu dilaksanakan secara menyeluruh dan tidak sekadar menjadi gagasan di peringkat muktamar.
“Amanah kepimpinan tidak boleh ditunggu secara pasif, ia mesti dipersiapkan dan dibuktikan melalui gerak kerja yang tersusun, berterusan dan berorientasikan hasil,” tambah beliau.






























