Muktamar Ke-66 Muslimat Medan Perbaharui Ikrar, Perkukuh Tekad

37

KUALA TERENGGANU – Muktamar Tahunan Dewan Muslimat PAS Malaysia Kali Ke-66 di Bachok, Kelantan perlu dijadikan medan memperbaharui ikrar, memperteguh ukhuwah serta menyusun tekad kerja dalam memperkukuh perjuangan Islam dan khidmat kepada rakyat.**

Ketua Muslimat PAS Negeri Terengganu, To’ Puan Zarani Othman berkata, muktamar bukan sekadar perhimpunan tahunan, sebaliknya ruang untuk bermuhasabah, menilai pencapaian, memperbaiki kelemahan dan menetapkan langkah baharu yang lebih tersusun.

Menurutnya, bertepatan dengan tema “Islam Berdaulat, Wanita Bermartabat”, Muslimat perlu tampil bukan hanya sebagai penggerak jentera, tetapi sebagai pemimpin masyarakat yang mampu menyumbangkan pemikiran, kepakaran serta penyelesaian terhadap pelbagai isu rakyat.

“Dalam suasana PAS dan Perikatan Nasional semakin mendapat perhatian sebagai pilihan untuk menerajui negara, kita perlu mempersiapkan barisan Muslimat yang berilmu, berakhlak, profesional dan memahami pentadbiran,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada 2 September di sini.

Beliau berkata, kesiapsiagaan untuk memimpin bukan sekadar kemampuan memenangi pilihan raya, tetapi turut melibatkan keupayaan menawarkan dasar yang baik, pasukan yang kompeten serta pentadbiran yang bersih, adil dan berintegriti.

Katanya, antara agenda yang perlu diperkukuh menerusi muktamar ialah pemantapan tarbiah, kefahaman perjuangan dan disiplin organisasi selain meningkatkan penguasaan Muslimat dalam bidang dasar awam, ekonomi, pendidikan, kesihatan, komunikasi dan teknologi.

“Muslimat juga perlu terus mengemukakan penyelesaian terhadap isu kos sara hidup, pendapatan keluarga, penjagaan anak, perumahan dan kebajikan rakyat, di samping memperkasa kepimpinan wanita tanpa mengabaikan kekuatan institusi keluarga,” katanya.

Dalam masa sama, beliau menyeru agar politik khidmat diperluaskan secara adil dengan menyantuni seluruh rakyat tanpa mengira kaum, agama mahupun kecenderungan politik.

Beliau turut menegaskan bahawa setiap keputusan muktamar perlu diterjemahkan kepada pelan tindakan yang jelas, boleh diukur dan dipantau di semua peringkat organisasi.

“Pulanglah daripada muktamar bukan sekadar membawa kenangan, tetapi membawa amanat, kefahaman dan kesungguhan untuk bekerja.

“Kita bermuktamar bukan sekadar untuk berbicara tentang kemenangan, tetapi untuk menyediakan diri memikul amanah selepas kemenangan,” katanya.

Beliau menyeru seluruh perwakilan, pemerhati dan anggota Muslimat Terengganu agar menghadiri muktamar dengan hati yang ikhlas dan fikiran yang terbuka demi memperkukuh gerak kerja serta kesiapsiagaan memimpin.