Dewan As-Sabiqun Platform Perjuangan ‘Orang Lama’

3

KOTA BHARU – Dewan As-Sabiqun menjadi platform mengembalikan golongan lama yang pernah melalui pahit getir perjuangan ke medan perjuangan, sekali gus memanfaatkan pengalaman dan pemikiran mereka dalam memperkukuh gerak kerja Islam.

Ketua As-Sabiqun Terengganu, Ustaz Ismail Othman berkata, golongan berpengalaman tidak seharusnya dianggap telah selesai daripada perjuangan hanya kerana sudah bersara atau tidak lagi aktif seperti sebelumnya.

“Orang lama dapat dikembalikan dalam arena perjuangan sebab kadang-kadang dalam suasana yang ada, dalam keadaan sudah tidak berapa (aktif) dan bersara, kadang-kadang seperti sudah tidak ada peranan.

“Dengan adanya As-Sabiqun ini insya-Allah kita boleh kembalikan mereka ke arena perjuangan dan mengambil cakna urusan orang-orang lama,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Konvensyen As-Sabiqun yang berlangsung di Hotel Perdana Kota Bharu, semalam.

Mengulas lebih lanjut, beliau berkata kewujudan Dewan As-Sabiqun juga akan turut memastikan golongan lama tidak akan terpinggir dari gerak kerja perjuangan, sebaliknya menyediakan ruang supaya mereka terus menyumbang berdasarkan pengalaman yang dimiliki.

“Tidak ada orang yang ditinggalkan, diabaikan, bahkan tidak ada orang yang dipinggirkan dan jauh daripada perjuangan.

“Mereka boleh bersama dan meneruskan kerja-kerja maklumat orang lama dengan cara yang tersendiri, insya-Allah,” katanya.

Ismail berkata, pengalaman dan pemikiran golongan terdahulu boleh dimanfaatkan menerusi gabungan gerak kerja bersama bagi memantapkan lagi agenda perjuangan Islam.

“Dalam PAS telah ada Dewan Muslimat, Pemuda dan Ulama. Jadi orang-orang lama kadang-kadang macam terabai melalui Dewan As-Sabiqun, insya-Allah kita menempatkan balik mereka ke arena perjuangan.

“Insya-Allah tenaga atau pemikiran mereka boleh dimanfaatkan melalui gabungan lain dengan yang lain untuk memurnikan lagi gerak kerja, insya-Allah,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata pengalaman kerjasama politik antara PAS dan UMNO sebelum ini menunjukkan bahawa penyatuan perlu dibina berasaskan kepentingan Islam dan negara, bukan kepentingan kelompok masing-masing.

“Dengan UMNO kita pernah bersatu, pernah berpisah, jadi bahan dalam Muafakat Nasional. Saya sendiri hadir, kita melihat sendiri bagaimana titisan air mata, bahkan kita lihat wanita UMNO yang menitiskan air mata kerana kita bersatu.

“Tetapi apabila pimpinan atas UMNO berubah, maka berubah dan terjadilah sebagaimana yang berlaku sebelum ini,” katanya.

Jelas beliau, penyatuan sukar dipertahankan sekiranya setiap pihak mempunyai matlamat dan keutamaan berbeza.

“Kalau masing-masing ada matlamat berbeza, payahlah hendak bersatu.

“Sebab ada citarasa sendiri, kalau masing-masing mengambil keutamaan untuk Islam dan negara, insya-Allah kita boleh bersatu,” katanya.

Sehubungan itu, Ismail berharap generasi baharu mengambil iktibar daripada sejarah perjuangan golongan terdahulu, termasuk pengalaman mereka mengharungi pelbagai cabaran dalam perjalanan gerakan Islam.

“Untuk generasi sekarang saya harapkan mereka mengambil iktibar dalam perjuangan mereka terdahulu kerana sejarah lama perlu diambil kira.

“Sejarah itu berada pada masa, sejarah yang hidup itu ialah orang yang tinggal. Kita kena ambil sejarah lama daripada orang yang sudah melalui pahit getir perjuangan,” ujar beliau.