Oleh : Dr Riduan Mohamad Nor.
Hari ini berpagian di Kompleks Pendidikan Islam Bachok dengan ribuan muslimat yang berdatangan dari seluruh negara. Guratan wajah ceria perwakilan serta pemerhati dengan persiapan program yang sangat piawai sebagai parti yang bersiap ke Putrajaya. Kelantan minggu ini akan berdesakan dengan puluhan ribu pendokong gerakan Islam menghadiri acara tahunan PAS yang paling berprestij. Negeri pengkalan kuasa PAS sejak dekad 50an ini yang sinonim dengan pusat pengajian Islam ,juga dengan imej negeri berbudaya serta jantung hati orang Melayu.
Muktamar PAS digilirkan kepelbagai negeri terutama negeri yang PAS berada dikoridor kuasa, manakala lebih tiga dekad dahulu Markas Tarbiah Taman Melewar Kuala Lumpur sering menjadi tuan rumah . Markas Tarbiah Taman Melewar yang sinonim dengan almarhum Ustaz Hasan Shukri adalah pusat perkaderan jemaah , dibina dengan kaedah gotong royong dengan sumbangan ahli- ahli PAS dalam simbahan semangat kebangkitan Islam dekad 80an. Sebelum itu seringkali juga Dewan Syed Nasir DBP Kuala Lumpur menjadi tempat pimpinan dan perwakilan PAS berhimpun dalam Muktamar Tahunan.
Muktamar PAS tahun ini sangat signifikan ,selari dengan gerakan Islam tertua negara ini yang telah berusia 75 tahun. Amilin PAS berhimpun dengan bervariasi latarbelakang dan muktamar bukan sekadar acara tahunan dengan kertas kertas laporan muktamar untuk dibahaskan. Ianya bak karnival mega dengan segala maknika acara, gerai – gerai jualan muktamar membantu kemeriahan muktamar dengan aneka barang dagangan. Jika lebih tiga dekad dahulu, urusetia gerai muktamar seakan ” berperang mulut” dengan peniaga- peniaga tak berdaftar juga mencari peluang untuk meraih rezeki.
Jajaran peniaga bermusim mempamerkan ubat kuat, pakaian ibadah, baju bundle sehinggalah gerai makan minum yang membawa pulang laba yang lumayan. Riuh rendah tawar menawar, berselang dengan pelbagai tabung derma madrasah, pondok dan maahad tahfiz adalah wajah muktamar PAS. Semua institusi pendidikan Islam sangat memahami sikap penyokong PAS yang sangat pemurah berbahagi dalam soal jihad ta’lim. Tanpa berkira , poket amilin diseluk untuk meraih laba akhirat. Namun Berbeda dalam era tamkin ini, muktamar berlangsung dalam kompleks serba lengkap seperti di IDCC Shah Alam , dipakej dengan pusat kediaman sehenti yang memudahkan pimpinan dan perwakilan bermuktamar. PUTIK Kelantan mewajahkan wajah baru dan wajah lama Muktamar PAS Pusat, berimbang namun objektif!.
Muktamar PAS meriah dengan pemidato yang hebat ,wejangan yang disambut dengan laungan takbir yang menggema dewan muktamar. Penulis teringat sekitar tahun 1995 , tokoh – tokoh anak muda antaranya Ustaz Nik Amar, Mahfuz Omar, Wahid Endut, Dr Mustapha Kamal Shahrom, arwah Salahudin Ayub, Ustaz Fauzi Husein Kedah, arwah Mazlan Ibrahim, Aris Awang, Kadarisman Kadiran, Dr Rainey Azmi, Ustaz Ramli Sidom , Ustaz Zakaria Dagang dan puluhan nama lain. Mereka ini mencuat namanya kerana keaktifan berdemo, kerajinan muncul di balai polis, menggegarkan podium ceramah, memanaskan panggung muktamar, menggerakkan pendidikan pra sekolah PAS dan sekolah- sekolah PAS. Manakala Muktamar Pusat dipanaskan dengan pembahas hebat daripada seluruh negara termasuk Ustaz Sidek Noor, Ustaz Norazli Musa, Mazlan Aliman, Yusuf Husein dan lain- lain tokoh orator.
Pasca reformasi 1998, PAS mengalami kejutan dengan bondongan kehadiran ahli- ahli baru PAS akibat ledakan reformasi, simbahan semangat kemarahan kepada penguasa. Tak sedikit anggota jamaah lain datang menumpang bahtera PAS. Keterbukaan PAS yang membuka pintu kemenangan di kawasan ” malay belt” dalam PRU 1999. Zaman milinea baru, acara muktamar semakin dilihat gah dan bergengsi kerana diadakan di negeri yang memerintah, juga banjiran profesional dan teknokrat ke dalam harakatul ummah ini. Muktamar pernah berlangsung di Stadium Indera Mulia Ipoh, Stadium tertutup Gong Badak, Stadium Melawati Shah Alam, Stadium Kuala Selangor dan pelbagai lokasi lain yang lebih luas dan selesa.
Dalam keceriaan bermuktamar kadang terselit insiden yang menjadi bahan pelaris akhbar dan media,antaranya insiden demonstrasi aman segelintir ahli PAS Pasir Salak pada tahun 1997 di Markas Tarbiah Taman Melewar. Sebelum disuraikan oleh Unit Keselamatan Pusat ( UKEPP), namun sempat dirakam gambar oleh wartawan. Kejadian di Muktamar Pusat di Batu Pahat pada tahun 2014 , ketika polemik tim ‘asolah’ jamaah dengan team yang menjadi panutan dap, membawa kejadian rampasan mikrofon. Sehari sebelum itu dalam Muktamar Dewan Pemuda Pusat, Pengerusi Tetap diusung ke Hospital Batu Pahat akibat serangan jantung minor. Muktamar Dewan Pemuda Pusat seperti ” perang saudara” kecil dan hanya diharmonikan dengan doa wehdah ditengah keributan. Muktamar tahun tersebut menjadi hangat kerana ada desas desus ucapan dasar Presiden PAS akan ditolak oleh kumpulan penentang Presiden yang ditaja entiti luar.
Muktamar PAS menjadi tenang selepas tahun 2015, kumpulan 18 yang tak terpilih dalam pemilihan Muktamar tahun 2015 telah membentuk pasukan Gerakan Baru ( GHB) seterusnya menubuhkan parti PAN yang menjadi anak butir kepada dap sehingga sekarang. PAS yang dilabel parti pak lebai terus membadai medan perjuangan, menerima ribuan ahli-ahli baru setiap bulan. Kelompok anak muda, kelompok kelas menengah Melayu sehinggalah petani dan penganggur di perdesaan negara. PAS telah mencapai kejayaan demi kejayaan pasca 2015 telah menang bergaya pada 19 November 2022 dan 12 Ogos 2023. Terkini kejayaan membentuk kerajaan di Negeri Sembilan setelah konfigurasi PNBN berjaya merengkuh sokongan pengundi negeri adat itu.
Muktamar PAS juga tak sepi dengan kepiluan, antaranya kita hilang rakan – rakan dan pimpinan selepas berakhir muktamar atau saat sedang bermuktamar. Lambaian terakhir tangan almarhum Ustaz Fadhil Noor dalam Muktamar di Putik pada tahun 2002, juga pelukan terakhir almarhum Ustaz Hasan Shukri dengan anak-anak buah. Segalanya masih segar terbayang dipelupuk mata, menjadikan hati kita basah dan sentiasa bersedia untuk sebuah kematian , kiamat kecil diri kita . Muktamar PAS kali ke 69 juga menyaksikan tiga orang mujahidah terlibat dalam kemalangan maut di Behrang, ketiganya adalah perwakilan Muktamar Dewan Muslimat PAS Pusat. Semoga muktamar yang menjadi festival ukhuwwah ahli-ahli dan pimpinan PAS kekal menjadi medan muhasabah, medan bercermin dan merapatkan susunan bangunan jamaah ini sehingga melayakkan Allah memberikan kita kemenangan .
( penulis ialah AJK PAS Pusat, Pengerusi LESTARI )




























