KOTA BHARU — Dewan As-Sabiqun PAS Pusat akan terus memainkan peranan sebagai pemangkin kepada kepimpinan parti dalam memperkukuh muafakat politik dan memastikan gerak kerja menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.
Ketua Dewan As-Sabiqun PAS Pusat, Haji Mohamad Nor Mohamad berkata, peranan itu penting bagi memastikan gagasan muafakat yang dibina parti bersama pelbagai pihak terus mencapai matlamat perjuangan.
Jelas beliau, PAS mempunyai pengalaman panjang dalam menjalin tahaluf dan taawun dengan pelbagai parti, termasuk melalui kerjasama politik ketika peristiwa 13 Mei, termasuk partiSemangat 46, PKR dan DAP, selain kerjasama dengan UMNO dalam usaha berkaitan Rang Undang-Undang (RUU) 355.
“Tahaluf lebih khusus daripada taawun kerana tahaluf lebih ketat dalam mencapai matlamat bersama, manakala taawun ialah saling membantu tanpa terikat dengan masalah atau perkara yang tetap.
“PAS tidak pernah mengkhianati perjanjian dan perkara ini terbukti dalam sejarah perjuangan parti. Walaupun ada segelintir yang gugur, masih ramai bersama PAS kerana mengiktiraf istiqamah parti atas prinsip,” katanya ketika berucap pada Konvensyen Dewan As-Sabiqun PAS.


Katanya, pengalaman tahaluf dan taawun yang dilalui PAS tidak merugikan parti, sebaliknya membantu memperluas penerimaan masyarakat terhadap perjuangan Islam yang dibawa parti.
“Keberadaan PAS kini telah dapat diterima oleh masyarakat berbilang kaum. Kita melihat hasil gagasan Presiden PAS telah menunjukkan hasil dan buahnya di Johor serta Negeri Sembilan.
“Kita yakin Melaka dan Sarawak akan mengikuti langkah yang sama,” katanya.
Mohamad Nor berkata, menjelang PRU16, As-Sabiqun perlu bersama kepimpinan parti menjadi penggerak kepada gagasan muafakat melibatkan parti Melayu-Islam serta parti bukan Islam yang tidak ekstrem.
“Dengan gemblengan bersama parti-parti bukan Islam yang tidak ekstrem, pilihan raya ini akan dapat digerakkan dengan lebih berkesan.
“Di sinilah peranan Dewan As-Sabiqun bergerak bersama kepimpinan bagi memastikan muafakat ini berjaya,” katanya.
Beliau turut menegaskan usia As-Sabiqun yang bakal mencapai 60 tahun tidak seharusnya dilihat sekadar angka, sebaliknya menjadi ukuran kepada pengalaman dan kekuatan generasi terdahulu dalam membantu perjuangan parti.































