Muktamar Ulama Lulus 10 usul, Tujuh Tanpa Bahas

8

KOTA BHARU – Muktamar Tahunan Dewan Ulamak PAS Pusat kali ke-65 di Kelantan Trade Center, Kota Bharu semalam, telah menerima 10 usul dari perwakilan dengan tujuh usul diterima tanpa bahas, manakala tiga usul lagi diterima untuk dibahaskan.

Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat, YB Dato’ Ustaz Mohd Nor Hamzah berkata demikian selepas selesai agenda perbahasan menyokong ucaptama Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat oleh semua wakil negeri-negeri.

Beliau yang juga Bendahari Badan Perhubungan PAS Terengganu turut membentangkan usul dari AJK DUPP yang bertajuk ‘Memperkasa Agenda Penyatuan Ummah Ke Arah Pengukuhan Kekuatan Politik Melayu-Islam Dan Kestabilan Negara’ kepada perwakilan.

Wakil dari Indera Mahkota, Pahang, Ustaz Nasruddin Hassan Tantawi menyokong usul dari AJK DUPP tetapi meminta penekanan terhadap bahasa yang digunakan oleh para penceramah yang masih menggunakan bahasa-bahasa yang tidak harmoni dihindari, supaya PAS boleh mendekati sasaran dakwah walaupun berlainan ideologi dan beliau berkeyakinan Islam akan menjadi lebih kuat.

Usul ‘Menangani krisis sosial dan moral’ dari Sungai Petani pula telah dibahas oleh wakil ulamak dari Rembau, Negeri Sembilan, Ustaz Md Nazri Md Yusof, dengan bersetuju dan mahukan usul ini mesti ditekankan kerana krisis ini telah merebak dengan membuat satu dasar yang kukuh untuk dibentangkan jika PAS memerintah nanti.

Manakala usul dari Kuala Nerus yang berbunyi ‘Menyatakan Sokongan Padu Kepada Institusi Raja-Raja Melayu Dalam Mempertahankan Kedaulatan Islam’ telah diterima secara sebulat suara oleh perwakilan.

Manakala tujuh lagi usul yang diterima tanpa bahas adalah berbunyi seperti berikut:

1-Usul Mempercepatkan Pelaksanaan Garis Panduan Hiburan Mesra Syariah Terutamanya Negeri Yang SG4 Terutamanya Kedah Dan Perlis oleh Dewan Ulamak PAS (DUPK) Kawasan Sungai Petani.
2-Usul Memperkukuh Dakwah Digital oleh DUPK Sungai Petani.
3-Memperkukuhkan Wala’ Dan Ketaatan Kepada Kepimpinan Parti Dalam Menghadapi PRU Ke-16 oleh DUPK Bachok
4-Mendesak Penguatkuasaan Undang-Undang Isu 3R Dilaksanakan Secara Adil Dan Telus oleh DUPK Kuala Nerus
5-Mempertahankan Dasar Pendidikan Kebangsaan dan Menolak Pengiktirafan (UEC) oleh DUPK Pengkalan Chepa
6-Menyokong Ketetapan Majlis Syura Ulamak Dan PAS Pusat Berhubung Hala Tuju Kerjasama Politik oleh DUPK Pengkalan Chepa
7-Memperkasakan Kekuatan Jentera Parti Melalui Pemilihan Calon Daripada Aktivis Dan Penggerak Parti oleh DUPK Pengkalan Chepa