DMPM Mara Merengkuh Dokongan Ummah

3

Oleh: Dr Riduan Mohamad Nor

Berada dalam Muktamar Dewan Muslimat PAS Pusat kali ke 66 seperti mengusir jauh rasa memandang rendah kepada kelompok hawa. Bermula dengan acara perasmian yang gilang gemilang, bersambung dengan ruang perbahasan dengan perwakilan yang berpendidikan tinggi. Kelompok ini jauh kompeten daripada apa yang kita fikirkan tentang keupayaan mereka dilapangan amal Islami.

Benarlah bahawa muslimah adalah madrasah pertama dalam tamadun kemanusiaan. Doa mereka sakral!. Kelompok ini membina generasi, jika mereka tak kompeten maka lahirlah generasi yang lemah dan lumpuh wibawa. Perjuangan Islam semenjak dizaman ar Rasul SAW menyaksikan peranan muslimah yang berdada dengan musuh Islam serta turut mengobar panji perjuangan. Khadijah Binti Kuwailid, Ummu Salamah, Ummu Nusaibah, Asma Binti Abu Bakar , Aisyah isteri Rasulullah , khaulah, diantara nama yang mencuat dalam perjuangan menegakkan Islam. Muslimah adalah kelompok yang sangat penting dalam dakwah dan perjuangan Kerana mereka mempunyai kekuatan nurani untuk membina generasi, kekuatan iltizam dan mereka merupakan kelompok yang senang untuk berubah serta menjadi pemangkin nukleus kesedaran.

Menurut Dato Ustaz Idris Ahmad sempena perasmian Muktamar Dewan Muslimat Pusat kali ke 66 pagi ini , peranan muslimah semenjak dizaman awal dakwah di Mekah telah memperlihatkan tendensi dan kesungguhan, teguh mempertahankan Islam . Bahkan dalam perjuangan PAS , peranan muslimah sangat mengesankan, saat kempen pilihanraya kaum muslimin ramai memasak bubur kacang di markas manakala kaum muslimah berziarah dan merayu undi serata kampong . Naib Presiden PAS itu menyebut tentang iltizam memimpin jemaah sehingga ada cawangan PAS berketuakan muslimah. Serius dalam lelucon itu disambut deraian tawa perwakilan dan pemerhati . Kuasa merayu muslimah sangat penting , malah pelbagai posisi penting dalam PAS mula memperlihatkan kemampuan muslimah contohnya dalam bidang teknologi maklumat. Institusi pempengaruh dalam PAS juga menunjukkan muslimah muda terkedepan dengan idea idea yang segar dan impulsif.

Dalam sejarah panjang 75 tahun perjuangan PAS, menginsafi peri pentingnya keperluan untuk memperkasa elemen muslimah dalam perjuangan Islam maka lahirlah entiti Dewan Muslimah PAS yang akan menjadi tarikan pesona kaum hawa menyertai harakatul ummah ini . Dilancarkan sebagai Dewan, dalam fasa yang sangat dramatik tanahair kita, iaitu zaman pertembungan khilafiah kaum muda- kaum tua , era pelaksanaan Ordinan Darurat 1948. Sayap muslimah sebenarnya bermula sebagai satu lujnah dalam organisasi PAS sebelum diangkat menjàdi Dewan . Kaum wanita sebelum adanya Dewan Muslimah, juga berhimpun dalam Kaum Ibu Umno, AWAS ( Angkatan Wanita Sedar ) yang diharamkan pada Jun 1948 oleh British. Euforia ketakutan akibat zaman Darurat serta tahanan tanpa bicara yang memberangus ratusan aktivis Islam tidak memungkinkan aktiviti politik merancak , terutama kaum hawa.

Pada tanggal 3 april 1952 , Jawatan kuasa PAS Pusat meluluskan penubuhan Dewan Muslimah PAS Pusat sekaligus melantik Sharifah Rahmah almashoor sebagai Ketua Dewan Muslimah yang pertama. Namun , beliau terpaksa bersama suaminya dalam Umno pada tahun 1954 apabila suaminya memilih untuk bersama Umno. Jasa beliau yang paling besar ialah usul dalam Muktamar PAS yang pertama pada 3 Januari tahun 1953 agar diangkat sayap Dewan Muslimat agar setara dengan kaum Ibu Umno agar dapat lebih bebas berpartipasi dalam medan siasah ,dakwah dan tarbiah.

Aktiviti Dewan Muslimat agak sendu dalam tempoh 1953 sehingga 1957 ,sehinggalah perlantikan Ustazah Zabidah Ali sebagai Ketua baru Dewan Muslimat PAS Pusat. Era ” the blue eyes mentality ” dekad 50an dan 60an bukanlah dasawarsa cemerlang gerakan Muslimat PAS. Cara hidup ummat yang obses dengan Barat, kekaguman dengan apa sahaja yang datang daripada Barat seperti zaman separa gelap kepada aktiviti Dewan Muslimat.

Fenomena ini berubah dengan berlakunya kebangkitan semula Islam dalam dekad 1970an dan 1980an. Generasi peserta- peserta kebangkitan semula Islam inilah yang akhirnya mewarnai kebangkitan Dewan Muslimat PAS. Program kaderisasi dakwah melalui usrah, tamrin, ijtimak, liqa fikri. Pertumbuhan sekolah sekolah swasta Islam juga menyuburkan gerakan tajnid ( perkaderan ). Antaranya sekolah swasta yang menampung pelajar yang ketinggalan daripada arus perdana seperti Institut Berakan ( Maahad Ikhwan), Institut an Nur
dan lain lain lagi. Dokongan dan sokongan kepada harakatul ummah semakin melonjak terutama generasi berpendidikan, juga usaha untuk merengkuh kebersamaan anak-anak ahli dalam jamaah PAS.

Kampus universiti menjàdi ladang semaian terbaik kepada aktivis muslimah dalam dekad 80an dan 90an, kelompok kelas menengah Melayu muslimah mula mengisi hirarki kepimpinan Muslimat PAS. Kecaknaan politik paralel dengan tahap intelektual ahli- ahli Dewan Muslimat PAS, sehinggalah keseluruhan barisan pimpinan PAS dibarisi oleh rahim tajnid PAS serta kelompok berpendidikan tinggi. Pimpinan muslimah dipelbagai peringkat mula didominasi oleh kelompok profesional yang diasuh dengan tarbiah Islam.

Antara usul paling hangat dalam Muktamar Dewan Muslimat kali ke 66 ialah usul mewujudkan Dewan Muslimat Muda. Tanpa menafikan pemberdayaan Dewan Muslimat juga adalah kerana kewujudan Ameerah, sayap anak muda untuk merapatkan jurang generasi dalam muslimah. Ruang muktamar hangat dengan perbahasan, melambangkan Dewan Muslimat semakin matang dan dinamik . Antara hujjah perwakilan , usaha menubuhkan Dewan Muslimat Muda adalah satu dambaan akan energi dan usaha pemberdayaan kelompok anak muda yang tak terikat dengan budaya kerja Muslimat akibat pecutan persaingan teknologi. Menarik juga hujjah pimpinan Ameerah yang turut berhujjah bahawa muslimah muda perlu tampil mengisi untuk ruang, terlibat juga dalam proses membuat keputusan, apatah lagi dengan gelombang anak anak muda menyokong PAS/ PN mutakhir ini.

Seingat penulis , telah empat kali usul Dewan Muslimat muda dalam tempoh lapan tahun ini . Sebelum ini, Ameerah telah membuka keahliannya untuk generasi yang berumur 21 tahun ke 40 tahun, aktivitinya pelbagai dengan usaha utamanya untuk merengkuh sokongan anak muda. Antara program yang sering ditempelkan dalam gerakerja Ameerah sepanjang sedekad keberadaannya dalam harakatul ummah ini ialah seperti bedah buku, tutorial memakai tudung, seminar smart learning, bulatan gembira ( usrah), jaulah tarbawi, acara sukan Ameerah, ziarah , mewujudkan iKon Ameerah negeri dan kawasan yang terdiri daripada kalangan anak muda Muslimat yàng piawai . Ameerah menjadi penyeri dan tarikan pesona untuk memancing generasi muda untuk menyokong PAS dalam PRU dan PRN.

PAS wajar merasa bangga dengan kemaraan ketumbukan muslimat dalam era tamkin ini , ramai pimpinan muslimah menjadi anggota legislatif. Dewan Muslimah dengan pencitraan wajah profesional dan teknokrat yang disepuh dengan amal tarbawi juga kelihatan amat menyakinkan. Apabila usul tentang tenaga mahir Kementerian Kesihatan, petugas kesihatan yang mengalami ” burn out syndrome” dibahaskan dengan fakta yang menguja akal . PRU 16 cabaran semakin rencam dan bervariasi, menanggani isu kewanitaan juga cabaran besar Dewan Muslimat PAS. Teruskan melebar sokongan dan dokongan massa, insyaallah fajar kemenangan semakin hampir, Islam berdaulat , wanita bermartabat!.

( Penulis ialah AJK PAS PUSAT, Pengerusi LESTARI)L