Oleh: Mohamad Norriduan
MARANG – Bersukan bukan sekadar medan menguji kekuatan fizikal dan kemenangan tetapi juga platform memperkasa wanita muda menerusi sukan patuh syariah.
Pengarah Program Alamanda Bola Jaring 2026 Piala Isteri Ahli Parlimen Marang, Wan Syuhada Wan Abdullah berkata pertandingan berkenaan menghimpunkan peserta wanita muda daripada empat Dewan Undangan Negeri (DUN).
“Mereka tampil berentap dengan penuh semangat, disiplin dan menjunjung tinggi nilai kesukanan.
“Bersukan dalam suasana yang sihat, selamat dan patuh syariah bukan sahaja memberi manfaat kepada kesihatan fizikal, malah dapat membentuk wanita yang lebih yakin, berdisiplin dan mempunyai semangat kerjasama yang tinggi,” jelasnya.


Ketika dihubungi mengulas program yang berlangsung pada 22 Ogos beliau berkata isteri Ahli Parlimen Marang, Dr. Norzita Taat, telah merasmikan kejohanan dan turut hadiri Naib Ketua Muslimat PAS Marang, Faridah Omar serta Exco Tarbiyah dan Perkaderan Ameerah Terengganu, Husna Zakaria.
Menurutnya, penganjuran program tersebut membuktikan bahawa golongan wanita muda mampu kekal aktif dalam bidang sukan tanpa mengetepikan batas syariah serta nilai-nilai Islam.
“Kami berharap program seumpama itu dapat diteruskan pada masa akan datang dengan penyertaan lebih ramai wanita muda, sekali gus menjadikan sukan sebagai wahana membina generasi wanita yang sihat, aktif, berdaya saing dan teguh dengan nilai Islam,” ujarnya.
Dalam aksi sengit yang berlangsung penuh semangat kesukanan, RR KNC muncul juara, manakala AL 3rd Wave dinobatkan sebagai naib juara dan BP Hawks menduduki tempat ketiga.




























