PAS Pimpin Penyatuan, Ulama Pimpin Kemenangan

23

“Saya nak sebut dua perkara kepada tuan-tuan, ini yang sedang berlaku.

Satu, PAS memimpin penyatuan dan kedua, ulamak memimpin kemenangan”.

Itulah antara intipati penting ucapan penggulungan Muktamar Tahunan Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP) oleh Ketua DUPP, YB Dato’ Ustaz Ahmad Yahaya di Kelantan Trade Center sebentar tadi.

Ulamak telah membuktikan mereka berjaya memimpin dalam dua PRN yang lalu dan di Melaka nanti, YB Ustaz Zulkifli Ismail bakal memimpin pasukan PAS Melaka bagi menghadapi PH.

Sebagai kesinambungan kejayaan di Johor dan Negeri Sembilan, PAS akan berusaha dengan gagasan yang sama terutama di Melaka dan diharap kemenangan akan berulang kembali sebagaimana di dua negeri itu.

Jumlah kerusi Melayu Islam semakin berkurang dalam persempadanan baharu, isu yang dibangkitkan dalam persidangan meja bulat ahli Parlimen bersama mantan Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman, telah melahirkan kebimbangan dari kalangan Ahli Parlimen dari PAS

Akan tetapi kata YB Dato’ Ahmad, cukup menarik, Tan Sri Abdul Rashid tidak merasa bimbang dengan keadaan itu jika semua parti-parti politik Melayu Islam bersatu, dan beliau juga begitu berkeyakinan dengan tidak melihat parti-parti lain yang mampu memimpin penyatuan ini kecuali PAS.

Kata YB Dato’ Ahmad lagi, keyakinan Tan Sri Abdul Rashit itu terbukti apabila usul penyatuan ummah yang dibawa oleh AJK DUPP diterima sebulat suara kerana ini adalah usul yang sangat penting bagi masa depan, menggambarkan kesediaan PAS untuk menerajui gagasan penyatuan ummah ini.

“Tanggungjawab kita besar, amanah yang ada pada kita sangat-sangat berat untuk dipikul, tak boleh dipikul seorang diri, tetapi kita pikul secara bersama.

“Maka tuan-tuan, apa yang dibahaskan pada hari ini, yang disebut pada hari ini mesti kita bersama melaksanakannya dimana kekurangan dibaiki, dimana kita rasa kelemahan perlu dikuatkan, yang penting kita laksanakan secara bersama”, tegas beliau kepada perwakilan.

YB Dato’ Ahmad juga menyentuh berkenaan hubungan PAS dengan tok-tok guru pondok yang dilihat cuba ditarik oleh golongan bukan agama dan bukan dari latarbelakang pondok terutama ahli politik, menyebabkan mereka menjadi laris dan terjadi pertembungan terbuka dengan PAS.

Namun peringatan beliau berikan dimana sudah banyak golongan agamawan yang telah diperangkap oleh golongan politik yang mengambil kesempatan keatas agamawan.

Ini jelas adalah perangkap musuh yang mahukan PAS bertembung secara berdepan dengan golongan tok guru pondok ini

Namun kepada ulamak PAS, beliau berpesan perlunya menyantuni golongan tok-tok guru pondok ini dan memberikan penerangan dengan berhikmah kerana mereka sangat penting bagi menaikkan Islam dan menjadi benteng kepada Islam semenjak dari zaman merdeka lagi.