Sabah Perlukan Ulama Rabbani Untuk Berdakwah

1

KOTA BHARU – “Kalau di Sabah, kalau dia datang ke kampung-kampung, ke pendalaman, tidak semuanya orang Islam tu, kalau kita ada 100 rumah, kita fikir ada 50 rumah itu bersama kita.

Tetapinya dalam satu keluarga itu ada yang Islam dan ada yang tidak Islam dan Islamnyapun kita boleh agak macamana Islamnya.

Jadi sebagai ulamak rabbani, perlu memikirkan hal-hal seperti ini di Sabah supaya kita boleh menjadikan ulamak ini masuk ke dalam masyarakat luar bandar, pendalaman di Sabah dan Sarawak untuk melihat sendiri.

Kita biasa bercakap di masjid, dalam ceramah-ceramah tapi kita tidak nampak di pendalaman sana, ada lagi insan-insan memerlukan untuk menjadikan mereka terus bersama dengan Islam”, terang perwakilan ulamak dari Sabah,

Beliau juga membawakan beberapa lagi kupasan penting dari ucaptama Ketua Dewan Ulamak, menegaskan bahawa penyatuan ummah adalah tuntutan syarak dengan membaca ayat al-Quran dari surah ali-Imran sebagai dalil keperluan bersatu dan jangan ia jadikan hanya sebagai tuntutan sampingan.

Ulamak rabbani juga mestilah menjadi pemimpin dan pendamai sebagaimana yang diseru Allah dalam surah al-Hujurat iaitu kaum muslimin adalah bersaudara, maka ulamak mesti mendamaikan dan menyatukan bukan memecahkan jika ada perbalahan dalam kalangan umat.

Perbezaan pendapat atau ‘adabul ikhtilaf’ mesti diuruskan dengan baik oleh ulamak kerana keperluan menjaga hubungan sesama manusia kerana mematuhi perintah Allah dalam surah al-Anfal supaya tidak berbantah-bantahan.

Perbezaan antara ijtihad dn prinsip mesti ditangani dengan baik dan keutamaan mesti ditekankan kepada prinsip asas perjuangan, diperjuangkan dengan tegas, manakala bagi ijtihad pula boleh berubah menurut keadaan dan masa.

Ulamak mesti dekat dengan masyarakat untuk memahami realiti keadaan semasa mereka dan menyeru masyarakat dengan bijaksana sepertimana yang difirmankan Allah dalam surah al-Nahl supaya manusia diseru dengan jalan hikmah.

Penyatuan ummah bukanlah bermaksud menyeragamkan semua orang, tetapi mengumpulkan semua kekuatan agar dapat disatukan untuk digunakan ketika umat memerlukannya.

Ulamak tugasnya untuk turun kepada masyarakat dan mesti merentasi kebudayaan dan agama bagi memenuhi tuntutan al-Quran yang mana Allah menyatakan Dia lah yang menciptakan manusia dari berbagai kaum bagi saling mengenali kerana di Sabah contohnya ada yang berbeza agama dalam satu keluarga, golongan ini mesti dibantu kerana mereka memerlukan panduan untuk terus kekal dalam Islam.