Sambut Baik Saranan Ulama

65

BESUT – PAS Kawasan Besut menyambut baik penegasan Setiausaha Dewan Ulama PAS Pusat, Nushi Mahfodz bahawa Mesyuarat Agung Tahunan (MAT) bukan sekadar memenuhi tuntutan pentadbiran atau syarat pendaftaran pertubuhan, sebaliknya menjadi medan penting memperkukuh tarbiyah, kefahaman dan kekuatan organisasi parti.

Setiausaha PAS Kawasan Besut, Cikgu Shalahuddin Jaafar berkata, MAT perlu dihayati sebagai ruang membina komitmen perjuangan dan melahirkan ahli yang amanah serta bertanggungjawab terhadap gerak kerja Islam.

“MAT bukan hanya memenuhi tuntutan pentadbiran, tetapi merupakan proses tarbiyah yang membentuk sikap amanah, tanggungjawab dan kesungguhan ahli terhadap perjuangan Islam.

“Setiap kehadiran perlu disertai niat untuk menyumbang idea dan komitmen, bukan sekadar mencukupkan kuota,” jelasnya ketika dihubungi hari ini.


Beliau turut menegaskan kepentingan memperkukuh gerak kerja akar umbi di seluruh Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Parlimen Besut bagi memastikan sokongan terhadap PAS terus kukuh.

Menurutnya, Muslimat memainkan peranan besar dalam mendekati masyarakat dan menjadi tulang belakang gerak kerja parti di lapangan.

Sementara itu, Nushi Mahfodz berkata, kehadiran ke MAT tidak wajar dianggap sekadar rutin tahunan atau memenuhi syarat Pendaftar Pertubuhan (ROS), sebaliknya perlu dilihat sebagai tuntutan hidup berjemaah.

“Sekiranya kita hadir dengan amanah dan tanggungjawab, ia adalah satu proses tarbiyah. Betulkan dan ikhlaskan niat kita hadir untuk menyumbang kepada perjuangan.

“Bukan sekadar hadir terpaksa mewakili cawangan, tetapi kita hadir untuk sama-sama terus memberikan intipati dan perjuangan serta pengorbanan yang terbaik,” tegas beliau.

Beliau berkata demikian ketika berucap di hadapan kira-kira 400 perwakilan dalam Mesyuarat Agung Tahunan Dewan Muslimat PAS Kawasan Besut Kali Ke-63 di Dewan Gong Kemuntong, baru-baru ini.

Mengulas lanjut, beliau menggesa seluruh jentera Muslimat untuk terus melipatgandakan usaha bagi memastikan kelangsungan sokongan rakyat terhadap parti itu kekal teguh, khususnya di kawasan Besut.

“Pengorbanan yang terbaik ini adalah demi memastikan secara mudahnya, Besut dan semua Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawahnya terus mendapat sokongan yang tidak berbelah bahagi,” tambah beliau lagi, merujuk kepada kepentingan mengekalkan kerusi-kerusi di bawah Parlimen Besut.


Kehadiran seramai 400 perwakilan ke mesyuarat di Dewan Gong Kemuntong itu jelas mencerminkan komitmen tinggi dan kesiapsiagaan jentera Muslimat PAS Kawasan Besut dalam mendepani cabaran politik dan gerak kerja kemasyarakatan pada masa akan datang.