KUALA TERENGGANU – Muslimat perlu memainkan peranan lebih besar sebagai pemimpin masyarakat dengan sentiasa mendekati, menyantuni dan membina kepercayaan rakyat secara konsisten.
Perwakilan Terengganu, Wan Ramlah binti Wan Abdul Rahman berkata, seorang pemimpin masyarakat tidak seharusnya hanya berada di atas atau sekadar membuat dasar, sebaliknya perlu hadir bersama rakyat ketika mereka memerlukan bantuan dan memimpin apabila masyarakat kehilangan arah.
Menurut beliau, masyarakat hari ini memerlukan pemimpin yang benar-benar memahami denyut nadi rakyat, bukannya hanya pandai berbicara.
“Masyarakat tidak mahukan pemimpin yang hanya pandai bercakap, tetapi pemimpin yang pandai memahami. Pemimpin masyarakat perlu hadir sebelum diminta serta mendengar sebelum berbicara,” katanya dalam ucapan penangguhan pada Muktamar Tahunan Dewan Muslimat PAS Pusat Kali Ke-66, pada Khamis.
Beliau berkata, usaha menyantuni masyarakat tidak boleh dipandang kecil kerana setiap tindakan, walaupun kelihatan kecil pada pandangan manusia, tetap mempunyai nilai besar di sisi Allah SWT.
Wan Ramlah turut menegaskan bahawa hubungan yang rapat dan berterusan dengan masyarakat akan membuka ruang lebih luas untuk menyampaikan dakwah serta membina kefahaman terhadap perjuangan Islam.
Sehubungan itu, beliau menggariskan empat gerakan utama yang perlu diperkukuhkan oleh Muslimat, iaitu gerakan mendekati masyarakat, menyantuni rakyat, membina kepercayaan dan membina pelapis kepimpinan.
“Kepercayaan tidak dibina dengan janji, tetapi dengan konsistensi,” tegasnya.
Beliau menyeru seluruh Muslimat agar terus memperkukuh pendekatan bersama masyarakat dengan penuh empati dan secara berterusan bagi melahirkan kepimpinan yang diyakini rakyat serta mampu membina masyarakat yang lebih kukuh.





























