Kerjasama Politik, Teliti Bukan Hanya Atas Kertas

11

KOTA BHARU – Wakil Johor, Firdaus Jaffar memberi peringatan kepada muktamar agar tidak melihat kerjasama politik dalam PRU-16 akan datang hanya pada kira-kira undi di atas kertas sahaja kerana pengundi membuat keputusan berdasarkan banyak perkara.

Bagi beliau, perkara yang mesti ditekankan ialah apakah yang perlu PAS bina, perbaiki dan persiapkan untuk menghadapi medan seterusnya.

“Johor mempunyai realitinya yang tersendiri, sebagai negeri perindustrian, pelabuhan dan logistik, hubungan rapat dengan Singapura, kawasan bandar dan pinggir bandar, Felda, kelas menengah dan masyarakat majmuk.

“Justeru PAS Johor juga perlu dan akan terus membina kemampuan yang sesuai dengan realiti Johor.

“Bukan sahaja kemampuan pilihanraya, tetapi juga kemampuan memahami isu dan menawarkan penyelesaian kepada masyarakat Johor”, tegas beliau ketika berucap menyokong ucapan dasar Presiden, pada Muktamar Tahun Ke-72 di PUTIK dekat sini

Beliau turut menyarankan agar persediaan memerintah diperkukuhkan sebelum PRU, bidang utama negara mempunyai dasar yang jelas, pasukan yang memahami bidang tersebut dan perancangan yang boleh dinilai.

Pimpinan PAS mesti membincangkan dengan jelas perkara-perkara asas untuk membentuk kerjasama politik dan peta kemenangan mesti melibatkan semua negeri dengan peranannya yang jelas.

Firdaus yakin, inilah cara yang perlu diselesaikan terlebih dahulu bagi mengisi kemenangan, bukan sahaja bersedia menerima amanah, tetapi juga kesungguhan untuk menunaikannya, sambil beliau mengaitkan perihal amanah ini dengan ayat 41 dari surah al-Hajj.

Wawasan Induk Negara Sejahtera (WINS) juga perlu diperincikan bagi mencapai maksud mengisi kemenangan dan diperkuatkan lagi dengan menterjemahkan nilai-nilai Islam.

Beliau yang juga Ketua Penerangan Johor itu turut mahukan semua ini bukan hanya retorik sahaja, tetapi mesti dengan perlaksanaan yang mempunyai dasar terbaik.

“Kalau kita tentang kebajikan, apakah dasarnya?

“Kalau kita bercakap tentang pendidikan dan ekonomi, apakah pembaikan yang mahu dilakukan?

“Dan kalau kita bercakap tentang integriti, bagaimana ia diterjemahkan dalam sistem pentadbiran”, soal beliau kepada perwakilan, ketika membahaskan Ucapan Dasar President PAS.