KOTA BHARU – PAS perlu mengubah pendekatan dalam mendekati golongan muda dengan menguasai maklumat, memperkukuh kempen media baharu dan memahami minat mereka bagi memastikan parti terus relevan.
Wakil Ameerah Malaysia, Ustazah Sumaiyah Zakaria berkata, anak muda tidak lagi boleh dilihat sekadar sebagai pemimpin masa hadapan, sebaliknya mereka merupakan penentu kelangsungan parti pada masa kini.
Menurutnya, pendekatan terhadap golongan muda perlu berasaskan data dan maklumat tepat, khususnya berkaitan isu yang dekat dengan kehidupan mereka seperti kos sara hidup, pekerjaan, perumahan, pendidikan, teknologi, kesihatan mental serta peluang berniaga.
“Kita tidak boleh bergerak atas rasa sangka-sangka atau andaian syok sendiri. Kita perlu faham demografi, data dan naratif hidup mereka,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Ucapan Dasar Presiden PAS bertemakan Penyelesaian Islam, Mengisi Kemenangan di Muktamar Tahunan PAS kali ke 72 di PUTIK, semalam.
Dalam pada itu, Sumaiyah berkata, PAS juga perlu memantapkan penggunaan media baharu seperti TikTok, Instagram, X dan podcast bagi menyampaikan mesej secara pantas, kreatif serta berasaskan fakta.


Beliau turut menyambut baik penganjuran Akademi Influencer PAS (AIP) yang disifatkannya penting dalam melahirkan ejen penerangan yang mampu membina kefahaman rakyat terhadap isu semasa, bukan sekadar menyampaikan retorik kepartian.
Katanya, pendekatan mendekati anak muda juga perlu mengambil kira minat mereka termasuk e-sukan, sukan ekstrem, seni, muzik, ekonomi gig, pencipta kandungan dan aktivisme sosial.
“Jangan paksa anak muda ikut gaya kita, tetapi kita yang perlu menyusup masuk ke dalam ruang minat mereka,” ujarnya.
Sumaiyah menambah, pertambahan pengundi muda susulan pelaksanaan Undi 18 merupakan cabaran besar kepada PAS kerana jumlah pengundi muda dijangka terus meningkat dalam setiap pilihan raya.
Sehubungan itu, katanya, Ameerah Malaysia akan meneruskan program bersasar menerusi Ameerah Fan Club (AFC) bagi mendekati golongan wanita muda.
“Anak muda bukan untuk dikawal, tetapi untuk dirai dan dibimbing. Fahami maklumat mereka, kuasai media mereka dan raikan minat mereka,” katanya.
Tambah Sumaiyah lagi, pendekatan tersebut diyakini mampu memastikan anak muda bukan sahaja menyokong PAS, malah tampil bersama dalam perjuangan parti.





























