Fitnah, Berita Palsu Boleh Rosakkan Keharmonian Masyarakat

4

KUALA TERENGGANU – Masyarakat perlu lebih berhati-hati dalam menerima dan menyebarkan sesuatu berita bagi mengelakkan fitnah serta berita palsu terus beredar sehingga menjejaskan keharmonian keluarga dan masyarakat.

Penceramah bebas, Ustazah Che Engku Khairun Nisa binti Che Engku Razali berkata, perkara itu antara pengajaran penting yang terkandung dalam Surah An-Nur menerusi kisah Hadisul Ifki, iaitu fitnah yang dilemparkan terhadap Saidatina Aisyah RA.

Menurutnya, peristiwa berkenaan menunjukkan betapa beratnya kesan fitnah apabila sesuatu berita yang tidak benar tersebar dalam masyarakat sehingga melibatkan maruah individu dan keluarga.

“Kalau kita tahu fitnah, kita cuba tabayyun. Kalau kita dengar, jangan cakap. Berhenti. Kalau kita tahu hak sebenarnya, baru kita cakap, kalau tidak tahu kita diam,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ceramah berkaitan penghayatan Surah An-Nur yang menekankan pembentukan akhlak, adab pergaulan dan kehidupan sosial umat Islam di Masjid Hadhari, Jerteh, hari ini.

Khairun Nisa menambah, Surah An-Nur mengajar sekurang-kurangnya lima panduan ketika berdepan fitnah, iaitu bersangka baik (husnuzan), mendapatkan bukti, tidak memandang ringan kesan fitnah, melakukan tabayyun serta tidak menjadi penyambung kepada penyebaran berita berkenaan.

Katanya, masyarakat juga perlu memahami bahawa setiap perkataan yang disebarkan boleh membawa kesan besar sekiranya tidak berasaskan maklumat yang benar dan sahih.

“Jangan sebarkan tanpa asas yang kukuh dan sahih. Kalau kita rasa benda itu betul, kita cakap. Kalau tidak rasa betul, kita diam,” ujarnya.

Beliau turut mengingatkan masyarakat supaya menjaga lidah kerana Islam memberi penekanan terhadap kewajipan berkata perkara yang baik atau memilih untuk berdiam diri.

Dalam pada itu, beliau menambah lagi, Surah An-Nur bukan hanya membincangkan persoalan hukum, malah menjadi panduan dalam membentuk masyarakat yang mempunyai adab, kehormatan diri dan batas pergaulan.

“Surah ini bertindak sebagai manual domestik, manual dalam rumah tangga kita. Kita nak jadi masyarakat yang baik, kita kena ikut manual yang Allah berikan,” katanya.

Katanya lagi, antara panduan yang ditekankan termasuk adab meminta izin ketika memasuki rumah, tidak mengintai ke dalam rumah orang lain, menjaga pandangan serta memelihara batas pergaulan antara lelaki dan wanita bukan mahram.

Ujar beliau, pendidikan berasaskan Surah An-Nur juga perlu diterapkan dalam keluarga dengan menjadikan al-Quran sebagai bahan pembelajaran dan perbincangan bersama anak-anak.

“Jadikan bahan bacaan di rumah, buatlah usrah di rumah bersama anak-anak dan majlis taklim bersama anak-anak supaya kita dapat membumikan apa manual yang Allah berikan kepada kita,” katanya.

Beliau menambah, tiga teras utama Surah An-Nur ialah membumikan fiqh sosial dalam kehidupan, memahami tanggungjawab serta peranan dalam keluarga dan mengangkat semula perisai masyarakat agar kembali berada di landasan yang benar.