Pemuda Sokong Ketegasan Kerajaan Negeri Kawal Program Hiburan

36

KUALA TERENGGANU – Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu menyatakan sokongan penuh terhadap ketegasan Kerajaan Negeri dalam memperkukuhkan penguatkuasaan garis panduan penganjuran program hiburan dan acara berskala besar di negeri ini.

Naib Ketuanya, Ustaz Muhammad Irsyad Syafiq Burhanuddin berkata, tindakan penguatkuasaan termasuk kompaun yang dikenakan kepada penganjur bukan bertujuan menghalang aktiviti hiburan atau menyekat ruang anak muda berkarya.

Tegasnya, langkah tersebut penting bagi memastikan setiap program dianjurkan secara lebih bertanggungjawab, beretika dan selari dengan nilai masyarakat di Terengganu.

“Pemuda PAS Terengganu melihat tindakan ini sebagai pendekatan mendidik supaya setiap penganjur lebih peka terhadap peraturan serta sensitiviti masyarakat setempat.

“Terengganu bukan menolak hiburan, tetapi hiburan itu perlu ada batas, disiplin dan tanggungjawab,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Jelasnya, setiap penganjur perlu mematuhi syarat yang telah ditetapkan termasuk menyediakan tentatif lengkap program, senarai lagu dan pengisian yang akan dipersembahkan, pelan pemisahan audiens lelaki dan wanita serta mendapatkan permit dan lesen sebelum membuat sebarang promosi.

Beliau turut menegur budaya segelintir pihak yang mempromosikan program lebih awal sebelum mendapatkan kelulusan rasmi daripada pihak berkuasa.

“Budaya ‘promosi dahulu, mohon kemudian’ tidak boleh dijadikan kebiasaan kerana ia mencerminkan sikap tidak profesional serta membelakangi prosedur yang telah ditetapkan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menyokong usaha kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan memperketat pemantauan terhadap kandungan promosi program di media sosial.

Katanya, tindakan lebih tegas perlu dikenakan terhadap penganjur yang berulang kali melanggar syarat atau sengaja mencetuskan kontroversi demi meraih publisiti.

Menurut beliau lagi, seni dan hiburan tetap boleh menjadi medium yang baik untuk masyarakat sekiranya diurus secara berakhlak, terkawal dan tidak melampaui batas.

Beliau pada masa sama merakamkan penghargaan kepada rakyat Terengganu yang disifatkan semakin cakna terhadap isu hiburan melampau yang boleh mencemarkan nilai akhlak dan etika Islam di negeri itu.

“Terengganu Darul Iman terbuka, tetapi tetap ada garisnya,” katanya.