Menyanggah Tohmahan PAS Autokratik

56

Para ilmuwan Barat sengaja memomokkan Islam dengan perkataan yang dikiranya memberi gambaran yang negatif, khususnya dalam agenda Islamofobia yang dilariskan pada zaman kini.

Malangnya, terdapat dalam kalangan umat Islam yang buta terhadap al-Quran terikut sama mencanangkan propaganda musuh terhadap Islam, antaranya jenama mullah dan teokrasi.

Istilah mullah berasal daripada perkataan Arab, iaitu mawla (yang bermaksud tuan atau pelindung) dan dalam sesetengah masyarakat Islam, istilah ini merujuk kepada sarjana atau ilmuwan agama Islam yang dihormati.

Di Barat, istilah ini sering digunakan dalam konteks yang diterjemahkan sebagai pendeta Islam atau pemimpin undang-undang dan doktrin Islam yang disamakan dengan istilah paderi atau pendeta dalam agama Kristian.

Adapun teokrasi digambarkan tidak demokratik kerana menyekat kebebasan, khususnya kepada kaum wanita, serta bersifat anti terhadap perubahan dengan bertopengkan agama.

Antara ciri-ciri utama sistem teokrasi mengikut istilah barat:

• Konotasi Politik & Media: Sering dikaitkan secara eksklusif dengan teokrasi, sistem pemerintahan di mana pentadbiran negara dijalankan berdasarkan undang-undang atau hukum agama, dan kekuasaan tertinggi diiktiraf milik Tuhan atau dewa yang ditadbir oleh pemimpin agama.

• Dasar Undang-undang: Perlembagaan dan undang-undang negara berpandukan kitab suci serta nilai keagamaan.

• Pemimpin Kerajaan: Pemerintahan biasanya diterajui oleh golongan agamawan (seperti paderi atau sami) atau seorang pemerintah yang dianggap mempunyai autoriti suci.

• Kedaulatan: Kedaulatan mutlak terletak pada Tuhan, sementara manusia pula bertindak sebagai wakil atau pelaksana hukum-hakam-Nya di bumi.

Kini, Iran sering dijadikan contoh yang dimomokkan sebagai negara yang mengamalkan teokrasi, iaitu merujuk kepada golongan ulama’ Syiah yang memegang tampuk kekuasaan atau pengaruh politik. Media Barat pula kadang-kadang menggunakan istilah ini secara longgar untuk menggambarkan pemimpin teokratik atau tokoh konservatif Islam.

Penggunaan istilah ini oleh sarjana Barat (orientalis) sering dikritik oleh ahli akademik Islam. Pengkaji dalam wacana Orientalisme menekankan bahawa Barat sering menggambarkan Timur (termasuk Islam) melalui lensa bias bagi tujuan hegemoni dan politik.

Dari sudut pandang Islam, pengkategorian seperti ini gagal menangkap kepelbagaian hierarki sebenar institusi keilmuan Islam, di mana istilah spesifik seperti faqih (pakar fiqh), mujtahid, atau alim lebih tepat digunakan berbanding generalisasi istilah mullah. Untuk rujukan lanjut mengenai kajian Barat terhadap khazanah ilmu Islam, sepatutnya dikaji daripada rujukan asal Islam (masadir asliyyah), iaitu al-Quran, al-Sunnah dan ijtihad para fuqaha’, mengikut bahasa Arab yang betul.

Al-Quran menetapkan istilah tersendiri mengikut bahasa dan ilmunya. Allah mentafsirkan urusan politik yang menjadi amanah terbesar kepada manusia yang menjadi salah satu tujuan mereka diciptakan melalui firman-Nya:

۞إِنَّ ٱللَّهَ يَأۡمُرُكُمۡ أَن تُؤَدُّواْ ٱلۡأَمَٰنَٰتِ إِلَىٰٓ أَهۡلِهَا وَإِذَا حَكَمۡتُم بَيۡنَ ٱلنَّاسِ أَن تَحۡكُمُواْ بِٱلۡعَدۡلِۚ إِنَّ ٱللَّهَ نِعِمَّا يَعِظُكُم بِهِۦٓۗ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ سَمِيعَۢا بَصِيرٗا ٥٨ يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْ أَطِيعُواْ ٱللَّهَ وَأَطِيعُواْ ٱلرَّسُولَ وَأُوْلِي ٱلۡأَمۡرِ مِنكُمۡۖ فَإِن تَنَٰزَعۡتُمۡ فِي شَيۡءٖ فَرُدُّوهُ إِلَى ٱللَّهِ وَٱلرَّسُولِ إِن كُنتُمۡ تُؤۡمِنُونَ بِٱللَّهِ وَٱلۡيَوۡمِ ٱلۡأٓخِرِۚ ذَٰلِكَ خَيۡرٞ وَأَحۡسَنُ تَأۡوِيلًا ٥٩

“Sesungguhnya, Allah menyuruh kamu menyampaikan segala amanat kepada yang berhak dan layak menerimanya, dan (menyuruh kamu) apabila menetapkan hukum antara manusia supaya kamu menetapkan dengan adil. Sesungguhnya, Allah memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepadamu. Sesungguhnya, Allah Maha Mendengar lagi Maha Melihat. (58) Wahai orang-orang yang beriman, taatilah Allah, taatilah Rasul-Nya, dan ulu al-amr antara kamu. Kemudian, jika kamu berlainan pendapat tentang sesuatu, maka kembalikanlah ia kepada Allah (al-Quran) dan Rasul (sunnahnya), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan Hari Kemudian. Yang demikian itu lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya. (59)” [Surah al-Nisa’: 58-59]

Kumpulan yang memimpin urusan negara dinamakan ulu al-amr, ditafsirkan dengan ulama’ dan umara’ (para ilmuwan al-din dan para pemimpin) yang tidak ditaati secara mutlak seperti Allah dan Rasul.

Melibatkan urusan agama dan dunia, dua perkara yang tidak berpisah. Ini bermaksud urusan dunia adalah sebahagian daripada urusan agama yang tidak berpisah, dengan maksud bahawa urusan dunia juga adalah agama kerana urusan dunia juga termasuk dalam fardu kifayah. Hal ini dijelaskan oleh firman Allah SWT:

وَإِذۡ قَالَ رَبُّكَ لِلۡمَلَـٰٓئِكَةِ إِنِّي جَاعِلٞ فِي ٱلۡأَرۡضِ خَلِيفَةٗۖ قَالُوٓاْ أَتَجۡعَلُ فِيهَا مَن يُفۡسِدُ فِيهَا وَيَسۡفِكُ ٱلدِّمَآءَ وَنَحۡنُ نُسَبِّحُ بِحَمۡدِكَ وَنُقَدِّسُ لَكَۖ قَالَ إِنِّيٓ أَعۡلَمُ مَا لَا تَعۡلَمُونَ ٣٠ وَعَلَّمَ ءَادَمَ ٱلۡأَسۡمَآءَ كُلَّهَا ثُمَّ عَرَضَهُمۡ عَلَى ٱلۡمَلَـٰٓئِكَةِ فَقَالَ أَنۢبِ‍ُٔونِي بِأَسۡمَآءِ هَـٰٓؤُلَآءِ إِن كُنتُمۡ صَٰدِقِينَ ٣١ قَالُواْ سُبۡحَٰنَكَ لَا عِلۡمَ لَنَآ إِلَّا مَا عَلَّمۡتَنَآۖ إِنَّكَ أَنتَ ٱلۡعَلِيمُ ٱلۡحَكِيمُ ٣٢ قَالَ يَـٰٓـَٔادَمُ أَنۢبِئۡهُم بِأَسۡمَآئِهِمۡۖ فَلَمَّآ أَنۢبَأَهُم بِأَسۡمَآئِهِمۡ قَالَ أَلَمۡ أَقُل لَّكُمۡ إِنِّيٓ أَعۡلَمُ غَيۡبَ ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلۡأَرۡضِ وَأَعۡلَمُ مَا تُبۡدُونَ وَمَا كُنتُمۡ تَكۡتُمُونَ ٣٣

“Ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat, ‘Sesungguhnya, Aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi.’ Mereka berkata, ‘Mengapa Engkau hendak menjadikan (khalifah) di bumi itu orang yang akan membuat kerosakan padanya dan menumpahkan darah, padahal kami senantiasa bertasbih dengan memuji Engkau dan menyucikan Engkau?’ Tuhan berfirman, ‘Sesungguhnya, Aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui.’ (30) Dan Dia mengajarkan kepada Adam nama-nama (benda-benda) seluruhnya, kemudian mengemukakannya kepada para malaikat lalu berfirman, ‘Sebutkanlah kepada-Ku nama benda-benda itu jika kamu memang benar orang-orang yang benar!’ (31) Mereka menjawab, ‘Maha Suci Engkau, tidak ada yang kami ketahui selain daripada apa yang telah Engkau ajarkan kepada kami; sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.’ (32) Allah berfirman, ‘Wahai Adam, beritahukanlah kepada mereka nama-nama benda ini.’ Maka, setelah diberitahukan kepada mereka nama-nama benda itu, Allah berfirman, ‘Bukankah sudah Aku katakan kepadamu, bahawa sesungguhnya Aku mengetahui rahsia langit dan bumi, serta mengetahui apa yang kamu lahirkan dan apa yang kamu sembunyikan?’ (33)” [Surah al-Baqarah: 30-33]

Allah memberikan penjelasan kepada para malaikat bahawa kelebihan yang ada pada manusia ialah ilmu dunia bersama ilmu agama yang tidak terpisah daripada pengertian al-din yang sempurna, berbeza dengan pengertian agama dalam bahasa lain selain bahasa al-Quran. Maka, istilah mullah serta objektif yang dikaitkan dengannya terhadap politik Islam adalah salah dan sesat.

Bahasa Arab memakai perkataan khilafah, al-mulk, al-imarah, al-sultan (raja) dan al-imamah bagi urusan negara, dan tidak ada perkataan mullah.

Islam berkonsepkan negara berperlembagaan yang tidak bertuhankan pemimpin bagi mentadbir urusan negara dalam segala aspek politik, ekonomi dan semua urusan bermasyarakat, dengan petunjuk Allah dan kebijaksanaan manusia yang diberikan akal. Bukan sahaja ilmu wahyu, bahkan turut diizinkan juga ilmu akal, pengalaman dan kebijaksanaan manusia.

Firman Allah SWT:

رَبَّنَا وَٱبۡعَثۡ فِيهِمۡ رَسُولٗا مِّنۡهُمۡ يَتۡلُواْ عَلَيۡهِمۡ ءَايَٰتِكَ وَيُعَلِّمُهُمُ ٱلۡكِتَٰبَ وَٱلۡحِكۡمَةَ وَيُزَكِّيهِمۡۖ إِنَّكَ أَنتَ ٱلۡعَزِيزُ ٱلۡحَكِيمُ ١٢٩

“Wahai Tuhan kami, utuslah untuk mereka seorang Rasul daripada kalangan mereka, yang akan membacakan kepada mereka ayat-ayat Engkau, dan mengajarkan kepada mereka al-Kitab (al-Quran) dan al-Hikmah (kebijaksanaan sunnah) serta menyucikan mereka. Sesungguhnya Engkaulah yang Maha Kuasa lagi Maha Bijaksana.” [Surah al-Baqarah: 129]

Firman Allah SWT:

وَيُعَلِّمُهُ ٱلۡكِتَٰبَ وَٱلۡحِكۡمَةَ وَٱلتَّوۡرَىٰةَ وَٱلۡإِنجِيلَ ٤٨

“Dan Allah akan mengajarkan kepadanya (‘Isa AS) al-Kitab, al-Hikmah, Taurat dan Injil.” [Surah Ali ‘Imran: 48]

Dalam perkara yang tidak boleh dicapai oleh akal manusia yang lemah, Allah menetapkan secara nas dalam kitab suci. Adapun dalam perkara yang boleh dicapai oleh akal manusia, Allah menetapkan sempadan supaya tidak melampauinya.

Para anbiya’ tidak boleh dipuja seperti Tuhan. Firman Allah SWT:

وَإِذۡ قَالَ ٱللَّهُ يَٰعِيسَى ٱبۡنَ مَرۡيَمَ ءَأَنتَ قُلۡتَ لِلنَّاسِ ٱتَّخِذُونِي وَأُمِّيَ إِلَٰهَيۡنِ مِن دُونِ ٱللَّهِۖ قَالَ سُبۡحَٰنَكَ مَا يَكُونُ لِيٓ أَنۡ أَقُولَ مَا لَيۡسَ لِي بِحَقٍّۚ إِن كُنتُ قُلۡتُهُۥ فَقَدۡ عَلِمۡتَهُۥۚ تَعۡلَمُ مَا فِي نَفۡسِي وَلَآ أَعۡلَمُ مَا فِي نَفۡسِكَۚ إِنَّكَ أَنتَ عَلَّـٰمُ ٱلۡغُيُوبِ ١١٦ مَا قُلۡتُ لَهُمۡ إِلَّا مَآ أَمَرۡتَنِي بِهِۦٓ أَنِ ٱعۡبُدُواْ ٱللَّهَ رَبِّي وَرَبَّكُمۡۚ وَكُنتُ عَلَيۡهِمۡ شَهِيدٗا مَّا دُمۡتُ فِيهِمۡۖ فَلَمَّا تَوَفَّيۡتَنِي كُنتَ أَنتَ ٱلرَّقِيبَ عَلَيۡهِمۡۚ وَأَنتَ عَلَىٰ كُلِّ شَيۡءٖ شَهِيدٌ ١١٧

“Dan (ingatlah) ketika Allah berfirman, ‘Wahai ‘Isa putera Maryam, adakah kamu mengatakan kepada manusia; jadikanlah aku dan ibuku dua orang tuhan selain Allah?’ ‘Isa menjawab, ‘Maha Suci Engkau, tidaklah patut bagiku mengatakan apa yang bukan hakku (mengatakannya). Jika aku pernah mengatakan, maka tentulah Engkau mengetahui apa yang ada pada diriku dan aku tidak mengetahui apa yang ada pada diri Engkau. Sesungguhnya, Engkau Maha Mengetahui perkara-perkara yang ghaib.’ (116) Aku tidak pernah mengatakan kepada mereka kecuali apa yang Engkau perintahkan kepadaku (mengatakannya), iaitu ‘Sembahlah Allah, Tuhanku dan Tuhanmu, dan adalah aku menjadi saksi terhadap mereka, selama aku berada antara mereka. Maka, setelah Engkau wafatkan aku, Engkaulah yang mengawasi mereka. Dan Engkau Maha Menyaksikan atas segala sesuatu.’ (117)” [Surah al-Ma’idah: 116-117]

Firman Allah kepada Nabi Muhammad SAW:

قُلۡ إِنَّمَآ أَنَا۠ بَشَرٞ مِّثۡلُكُمۡ يُوحَىٰٓ إِلَيَّ أَنَّمَآ إِلَٰهُكُمۡ إِلَٰهٞ وَٰحِدٞۖ فَمَن كَانَ يَرۡجُواْ لِقَآءَ رَبِّهِۦ فَلۡيَعۡمَلۡ عَمَلٗا صَٰلِحٗا وَلَا يُشۡرِكۡ بِعِبَادَةِ رَبِّهِۦٓ أَحَدَۢا ١١٠

“Katakanlah (wahai Muhammad), ‘Sesungguhnya, aku ini manusia biasa seperti kamu, yang diwahyukan kepadaku; ‘Bahawa sesungguhnya Tuhan kamu itu ialah Tuhan yang Esa.’ Sesiapa yang mengharapkan perjumpaan dengan Tuhannya, maka hendaklah dia mengerjakan amal yang soleh dan janganlah mempersekutukan seorang pun dalam beribadat kepada Tuhannya.” [Surah al-Kahf: 110]

Islam mengharamkan para ulama’ mencipta undang-undang sendiri tanpa izin, sehingga berlagak menjadi Tuhan. Firman Allah SWT:

قُلۡ يَـٰٓأَهْلَ ٱلۡكِتَٰبِ تَعَالَوۡاْ إِلَىٰ كَلِمَةٖ سَوَآءِۢ بَيۡنَنَا وَبَيۡنَكُمۡ أَلَّا نَعۡبُدَ إِلَّا ٱللَّهَ وَلَا نُشۡرِكَ بِهِۦ شَيۡ‍ٔٗا وَلَا يَتَّخِذَ بَعۡضُنَا بَعۡضًا أَرۡبَابٗا مِّن دُونِ ٱللَّهِۚ فَإِن تَوَلَّوۡاْ فَقُولُواْ ٱشۡهَدُواْ بِأَنَّا مُسۡلِمُونَ ٦٤

“Katakanlah, ‘Wahai Ahli Kitab, marilah (berpegang) kepada suatu kalimah (ketetapan) yang tidak ada perselisihan antara kami dan kamu, bahawa tidak kita sembah kecuali Allah, dan tidak kita mempersekutukan Dia dengan sesuatu pun dan tidak (pula) sebahagian kita menjadikan sebahagian yang lain sebagai tuhan selain Allah.’ Jika mereka berpaling, maka katakanlah kepada mereka, ‘Saksikanlah bahawa kami adalah orang-orang yang berserah diri (kepada Allah).’” [Surah Ali ‘Imran: 64]

Republik Islam Iran memakai perkataan Wilayah al-Faqih, tajdid yang dilakukan selepas Revolusi Islam menukar istilah Wilayah al-Mahdi al-Muntazar )menunggu kelahiran Imam al-Mahdi(, kepada melibatkan para ulama’ yang bertafaqquh yang dinyatakan oleh firman Allah SWT:

… لِّيَتَفَقَّهُواْ فِي ٱلدِّينِ وَلِيُنذِرُواْ قَوۡمَهُمۡ إِذَا رَجَعُوٓاْ إِلَيۡهِمۡ …١٢٢

“…Agar mereka memperdalam pengetahuan agama mereka dan agar mereka memberi peringatan kepada kaumnya apabila mereka telah kembali kepadanya…” [Surah al-Tawbah: 122]

Perkara ini penting supaya ada dalam kalangan mereka itu golongan yang mendalami kefahaman Islam sehingga mampu berijtihad, bahkan syarat yang sama juga dinyatakan oleh mazhab Sunni yang dihuraikan oleh Imam al-Mawardi dalam kitabnya, al-Ahkam al-Sultaniyyah:

العِلْمُ الْمُؤَدِّي إِلَى الِاجْتِهَادِ فِي النَّوَازِلِ وَالْأَحْكَامِ.

“Syarat berilmu bagi menjadi ketua negara, sehingga mempunyai kemampuan untuk berijtihad dalam perkara-perkara baharu (masalah semasa) dan hukum-hakam (meletakkan hukum dan mentadbir mengikut syariat).” [Al-Mawardi, al-Ahkam al-Sultaniyyah wa al-Wilayat al-Diniyyah, hlm. 4]

Bukan bermakna menyucikan para ulama’, sebaliknya para ulama’ dan ilmuwan dilantik kerana kepakaran mereka dalam pelbagai bidang dan lapangan kehidupan manusia.

Islam berkonsepkan madani hidayah dan islah, bukan madani liberal. Negara Islam berjaya memandu tamadun manusia dengan sempadan agama Allah, menerima semua yang baik dan menolak semua yang buruk berkonsepkan amar ma‘ruf dan nahi munkar.

Maka, istilah perkataan mullah mengikut teori Barat bukan daripada fiqh siyasi (ilmu politik Islam).

Membuat kenyataan tanpa ilmu Islam yang sebenar adalah satu pembohongan terhadap Islam serta menyalahi negara Islam yang dijanjikan oleh Allah SWT melalui firman-Nya:

وَعَدَ ٱللَّهُ ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ مِنكُمۡ وَعَمِلُواْ ٱلصَّـٰلِحَـٰتِ لَيَسۡتَخۡلِفَنَّهُمۡ فِي ٱلۡأَرۡضِ كَمَا ٱسۡتَخۡلَفَ ٱلَّذِينَ مِن قَبۡلِهِمۡ وَلَيُمَكِّنَنَّ لَهُمۡ دِينَهُمُ ٱلَّذِي ٱرۡتَضَىٰ لَهُمۡ وَلَيُبَدِّلَنَّهُم مِّنۢ بَعۡدِ خَوۡفِهِمۡ أَمۡنٗاۚ يَعۡبُدُونَنِي لَا يُشۡرِكُونَ بِي شَيۡ‍ٔٗاۚ وَمَن كَفَرَ بَعۡدَ ذَٰلِكَ فَأُوْلَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلۡفَٰسِقُونَ ٥٥

“Dan Allah telah berjanji kepada orang-orang yang beriman antara kamu dan mengerjakan amal-amal yang soleh bahawa Dia sungguh-sungguh akan menjadikan mereka berkuasa di muka bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang sebelum mereka berkuasa. Dan sesungguhnya, Dia akan meneguhkan bagi mereka, agama yang telah diredai-Nya untuk mereka, dan Dia benar-benar akan menukar (keadaan) mereka, sesudah mereka dalam ketakutan menjadi aman sentosa. Mereka tetap menyembah-Ku dengan tiada mempersekutukan sesuatu apa pun dengan Aku. Dan sesiapa yang (tetap) kafir sesudah (janji) itu, maka mereka itulah orang-orang yang fasiq. [Surah al-Nur: 55]

Firman Allah SWT:

وَٱلَّذِينَ ٱسۡتَجَابُواْ لِرَبِّهِمۡ وَأَقَامُواْ ٱلصَّلَوٰةَ وَأَمۡرُهُمۡ شُورَىٰ بَيۡنَهُمۡ وَمِمَّا رَزَقۡنَٰهُمۡ يُنفِقُونَ ٣٨

“Dan (bagi) orang-orang yang menerima (mematuhi) seruan Tuhannya dan mendirikan solat, sedang urusan mereka (diputuskan) dengan musyawarah antara mereka; dan mereka menafkahkan sebahagian daripada rezeki yang Kami berikan kepada mereka.” [Surah al-Syura: 38]

Dibariskan konsep syura (bermesyuarat) bersama solat dan zakat yang berlainan dengan ideologi teokrasi yang difahami oleh para orientalis yang sesat.

Firman Allah SWT:

فَبِمَا رَحۡمَةٖ مِّنَ ٱللَّهِ لِنتَ لَهُمۡۖ وَلَوۡ كُنتَ فَظًّا غَلِيظَ ٱلۡقَلۡبِ لَٱنفَضُّواْ مِنۡ حَوۡلِكَۖ فَٱعۡفُ عَنۡهُمۡ وَٱسۡتَغۡفِرۡ لَهُمۡ وَشَاوِرۡهُمۡ فِي ٱلۡأَمۡرِۖ فَإِذَا عَزَمۡتَ فَتَوَكَّلۡ عَلَى ٱللَّهِۚ إِنَّ ٱللَّهَ يُحِبُّ ٱلۡمُتَوَكِّلِينَ ١٥٩

“Maka, disebabkan rahmat daripada Allah, kamu berlaku lemah lembut terhadap mereka. Sekiranya kamu bersikap keras lagi berhati kasar, tentulah mereka menjauhkan diri dari kelilingmu. Kerana itu maafkanlah mereka, mohonkanlah ampun bagi mereka, dan bermusyawarahlah dengan mereka dalam urusan itu. Kemudian, apabila kamu telah membulatkan tekad, maka bertawakallah kepada Allah. Sesungguhnya, Allah menyukai orang-orang yang bertawakal kepada-Nya.” [Surah Ali ‘Imran: 159]

Maka, Rasulullah SAW seringkali mengadakan mesyuarat dengan para sahabat dalam banyak urusan, termasuk urusan melaksanakan wahyu serta menerima pandangan daripada semua kalangan rakyat. Begitu juga para Khulafa’ al-Rasyidin RA dan raja-raja Islam yang dikekalkan di atas takhtanya apabila masuk Islam.

Para anbiya’ menentang kerajaan diktator yang zalim dan berlagak seperti Tuhan.

Firman Allah SWT:

وَٱلۡعَصۡرِ ١ إِنَّ ٱلۡإِنسَٰنَ لَفِي خُسۡرٍ ٢ إِلَّا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ وَعَمِلُواْ ٱلصَّٰلِحَٰتِ وَتَوَاصَوۡاْ بِٱلۡحَقِّ وَتَوَاصَوۡاْ بِٱلصَّبۡرِ ٣

“Demi masa. (1) Sesungguhnya manusia itu benar-benar dalam kerugian. (2) Kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh dan nasihat-menasihati supaya mentaati kebenaran dan nasihat-menasihati supaya menetapi kesabaran. (3)” [Surah al-‘Asr: 1-3]

Sabda Rasulullah SAW:

‌الدِّينُ ‌النَّصِيحَةُ. قُلْنَا: لِمَنْ؟ قَالَ: لِلَّهِ وَلِكِتَابِهِ وَلِرَسُولِهِ وَلِأَئِمَّةِ الْمُسْلِمِينَ وَعَامَّتِهِمْ.

“Agama itu nasihat.” Kami (para sahabat) bertanya, “Bagi siapa?” Rasulullah menjawab, “Bagi Allah, Kitab-Nya, Rasul-Nya, para pemimpin (pemerintah atau ketua negara), dan juga orang ramai.” [Hadis riwayat Muslim, Sahih Muslim, Kitab al-Iman, no. 55, daripada Tamim al-Dari]

Nasihat itu bagi Allah, bagi Rasul, bagi para pemimpin Islam dan bagi umatnya. Maka, tidak ada yang dinamakan larangan 3R (Race, Religion, Royal) dalam politik Islam. Allah mengharamkan percakapan mengenai Islam tanpa ilmu. Firman Allah SWT:

وَلَا تَقۡفُ مَا لَيۡسَ لَكَ بِهِۦ عِلۡمٌۚ إِنَّ ٱلسَّمۡعَ وَٱلۡبَصَرَ وَٱلۡفُؤَادَ كُلُّ أُوْلَـٰٓئِكَ كَانَ عَنۡهُ مَسۡ‍ُٔولٗا ٣٦

“Dan janganlah kamu mengikuti apa yang kamu tidak mempunyai pengetahuan tentangnya. Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati, semuanya itu akan diminta pertanggungjawabannya.” [Surah al-Isra’: 36]

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS

Bertarikh: 9 Zulhijjah 1447 / 26 Mei 2026

[Bil: 36 / 2026]