KUALA NERUS — PAS perlu membulatkan tekad, meneguhkan pendiroan dan pendirian dalam menghadapi perkembangan politik semasa yang semakin kompleks, termasuk mempertahankan kepentingan Terengganu berkaitan hasil petroleum.
Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dato’ Ustaz Haji Husain Awang berkata, penyatuan pendirian itu penting bagi memastikan parti terus mempunyai kekuatan dalam menghadapi pelbagai cabaran politik.
Menurutnya, sejarah perjuangan PAS di Terengganu turut memperlihatkan wujudnya cabaran berkaitan hasil petroleum negeri selepas kemenangan parti pada Pilihan Raya Umum (PRU) tahun 1999.
“Ketika kita menang pada PRU 1999, royalti minyak kita dirampas oleh mereka dengan cara yang amat tidak bermoral.
“Dan merampas hal ini terus-terusan berlaku sehingga hari ini,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada program Liqa’ Fikri PAS di Terengganu, di Komtaq, hari ini.
Husain menambah, perkembangan politik semasa yang disifatkannya sebagai kompleks dan rencam memerlukan seluruh ahli parti memperkukuh kesatuan dari segi pemikiran, pendirian dan sikap.
“Itulah di antara sesuatu yang mesti kita bulatkan tekad, kita bulatkan pemikiran kita, satukan pendirian kita, satukan sikap kita demi untuk berhadapan dengan perkembangan politik yang begitu kompleks dan begitu rencam sekarang ini,” ujarnya.






























