Tak Perlu Buat PRN Nak Tunjuk Ikhlas

18

KUALA TERENGGANU — Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak perlu diadakan semata-mata untuk menguji keikhlasan kerjasama politik antara PAS dan Umno sebaliknya pilihan raya negeri wajar diadakan serentak dengan Pilihan Raya Umum (PRU).

Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang berkata, langkah itu dapat mengelakkan rakyat daripada terpaksa keluar mengundi beberapa kali bagi pilihan raya yang berbeza.

“Tak payah negeri lah. Menyusahkan undi, buat serentak sekali,” katanya ketika ditemui pihak media selepas kuliah dhuha, di Masjid Rusila, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan yang mencadangkan supaya PRN di salah sebuah negeri dalam gabungan SG4 diadakan bagi menguji keikhlasan kerjasama antara PAS dan UMNO.

Ustaz Abdul Hadi berkata, pilihan raya umum lebih wajar diberi keutamaan kerana pelaksanaan pilihan raya negeri secara berasingan hanya akan menambah beban kepada rakyat.

Menurut beliau, negeri-negeri juga boleh menyertai pilihan raya secara serentak bagi mengelakkan proses pengundian dilakukan secara berulang.

Dalam pada itu, Abdul Hadi menjelaskan konsep perpaduan ummah yang dibawa PAS tidak secara khusus merujuk kepada kerjasama dengan Barisan Nasional (BN).

“Memang kita kata perpaduan ummah ini tak kata dengan BN. Kerjasama dengan BN sekali-kali tak sebut ini, parti-parti anggota BN ini. Parti lain terpulang pada mereka,” katanya.

Beliau berkata PAS tetap mengutamakan kepimpinan Melayu-Islam selain kerjasama dengan masyarakat bukan Islam yang tidak ekstrem.

Ahli Perlimen Marang itu turut menambah sebarang kerjasama perlu mengambil kira penerimaan pihak terbabit terhadap prinsip yang diketengahkan PAS.

“Boleh tanya dia, dia terima tak prinsip itu. Kalau tak terima konsep itu, kita tak terima lah,” katanya.

Sementara itu, Abdul Hadi mengesahkan beliau telah memberikan keterangan kepada polis berhubung isu dakwaan beliau pernah ditawarkan kerjasama oleh Amerika Syarikat (AS) bagi menjatuhkan kerajaan Barisan Nasional pada 2014.

Menurutnya, keterangan itu diberikan di Pejabat PAS di Kuala Lumpur dan proses berkenaan mengambil masa kurang sejam.

“Terus serah pada Peguam Negara menentukan. Tak ada masalah apa,” katanya.

Beliau turut menegaskan pihaknya mempunyai bukti berhubung isu berkenaan yang akan dikemukakan sekiranya perkara itu dibawa ke mahkamah.

“Kita ada bukti dibawa ke mahkamahlah. Semua jawapan ini ialah mahkamah. Kita nak bukti di mahkamah,” tambah Ustaz Abdul Hadi.