Negara Menjadi Habuan Kerana Menjatuhkan Kuasa Besar Isla; Apakah Peranannya?

8

Genap satu abad umat Islam kehilangan kuasa besar dunia Islam, iaitu Khilafah ‘Uthmaniyyah pada tahun 1924, akibat kelemahannya sendiri dan pengkhianatan yang dilakukan oleh sebahagian umat Islam yang membantu musuh sehingga membawa kepada kejatuhannya.

Terdapat dalam kalangan umat Islam yang mudah dipergunakan oleh musuh. Hal ini berlaku apabila mereka mengabaikan amaran daripada Allah SWT dan Rasulullah SAW.

Firman Allah SWT:

وَلَا تَكُونُواْ كَٱلَّذِينَ تَفَرَّقُواْ وَٱخۡتَلَفُواْ مِنۢ بَعۡدِ مَا جَآءَهُمُ ٱلۡبَيِّنَٰتُۚ وَأُلَـٰٓئِكَ لَهُمۡ عَذَابٌ عَظِيمٞ ١٠٥

“Dan janganlah kamu menyerupai orang-orang yang bercerai-berai dan berselisih sesudah datang keterangan yang jelas kepada mereka. Mereka itulah orang-orang yang mendapat seksaan yang berat.” [Surah Ali ‘Imran: 105]

Ayat ini menjelaskan tentang kaum Yahudi dan Nasrani yang berpecah sesama mereka dalam urusan dunia dan perkara agama yang telah diselewengkan daripada kitab Allah, iaitu Taurat dan Injil. Peristiwa ini diwahyukan agar menjadi iktibar kepada umat Islam pada akhir zaman. Namun begitu, al-Quran tetap dipelihara Allah SWT, manakala Sunnah Rasulullah SAW pula dipelihara melalui amanah ilmu oleh para ulama’.

Firman Allah SWT kepada umat Islam:

وَأَطِيعُواْ ٱللَّهَ وَرَسُولَهُۥ وَلَا تَنَٰزَعُواْ فَتَفۡشَلُواْ وَتَذۡهَبَ رِيحُكُمۡۖ وَٱصۡبِرُوٓاْۚ إِنَّ ٱللَّهَ مَعَ ٱلصَّـٰبِرِينَ ٤٦

“Dan taatilah kepada Allah dan Rasul-Nya dan janganlah kamu saling berbantah-bantahan, sehingga menyebabkan kamu menjadi gagal kerana tiada semangat dan hilang kekuatanmu; dan hendaklah kamu bersabar. Sesungguhnya, Allah berserta orang-orang yang sabar.” [Surah al-Anfal: 46]

Perpecahan berlaku disebabkan oleh pengaruh keduniaan dan lemah dalam beragama. Sabda Rasulullah SAW:

فَوَاللهِ لَا الْفَقْرَ أَخْشَى عَلَيْكُمْ، وَلَكِنْ ‌أَخْشَى ‌عَلَيْكُمْ ‌أَنْ ‌تُبْسَطَ ‌عَلَيْكُمُ الدُّنْيَا، كَمَا بُسِطَتْ عَلَى مَنْ كَانَ قَبْلَكُمْ، فَتَنَافَسُوهَا كَمَا تَنَافَسُوهَا، وَتُهْلِكَكُمْ كَمَا أَهْلَكَتْهُمْ.

“Maka demi Allah, aku tidak takut kefakiran (kemiskinan tegar) yang menimpa kamu. Akan tetapi, aku lebih takut jika dibentangkan kepada kamu kemewahan dunia, sepertimana yang pernah dibentangkan kepada umat yang terdahulu daripada kamu. Lalu, kamu berkelahi sebagaimana mereka berkelahi dan dengan sebabnya kamu menjadi binasa sebagaimana mereka dibinasakan!” [Hadis Muttafaq ‘Alayh: Riwayat al-Bukhari, Sahih al-Bukhari, Kitab al-Jizyah, no. 3158 dan Muslim, Sahih Muslim, Kitab al-Zuhd wa al-Raqa’iq, no. 2961, daripada ‘Amru bin ‘Auf al-Ansari]

Kemewahan harta, takhta serta kuasa yang dimiliki menyebabkan manusia tenggelam dalam kemewahan dunia sehingga nafsu mengatasi akal, lalu agama tidak lagi dipedulikan. Berlaku perpecahan sehingga manusia mudah dirasuk oleh godaan syaitan yang mengalirkan perasaan nafsu yang mendorong mereka kepada kejahatan.

Islam ialah tali Allah yang menghubungkan antara kaum yang menganut Islam, tetapi telah diputuskan dan dirungkai. Pegangan agama dirosakkan oleh perbezaan mazhab tanpa tafaqquh oleh kalangan yang jahil agama, ulama’ yang tidak faqih dan pemimpin yang leka terhadap pangkat dan kebendaan. Kesemua perkara ini telah menyebabkan umat Islam pecah berkecai dan diratah oleh musuhnya dengan mudah.

Perkara ini dihuraikan oleh hadis Rasulullah SAW melalui sabdanya:

يُوشِكُ الْأُمَمُ أَنْ تَدَاعَى عَلَيْكُمْ كَمَا تَدَاعَى الْأَكَلَةُ إِلَى قَصْعَتِهَا، فَقَالَ قَائِلٌ: وَمِنْ قِلَّةٍ نَحْنُ يَوْمَئِذٍ؟ قَالَ: بَلْ أَنْتُمْ يَوْمَئِذٍ كَثِيرٌ، وَلَكِنَّكُمْ غُثَاءٌ كَغُثَاءِ السَّيْلِ، وَلَيَنْزِعَنَّ اللهُ مِنْ صُدُورِ عَدُوِّكُمُ الْمَهَابَةَ مِنْكُمْ، وَلَيَقْذِفَنَّ اللهُ فِي قُلُوبِكُمُ الْوَهْنَ، فَقَالَ قَائِلٌ: يَا رَسُولَ اللهِ، ‌وَمَا ‌الْوَهْنَ؟ قَالَ: حُبُّ الدُّنْيَا وَكَرَاهِيَةُ الْمَوْتِ.

“Tiba masanya musuh-musuh Islam (daripada pelbagai agama dan bangsa) berhimpun mengelilingi kamu laksana orang-orang yang pelahap mengelilingi hidangan makanan yang lazat. Dimakan dengan nafsu yang rakus mencubit, memotong dan memakan kamu.” Salah seorang sahabat bertanya, “Adakah jumlah kita (umat Islam) pada masa itu terlalu sedikit?” Baginda menjawab, “Bahkan, jumlah kamu terlalu ramai pada masa itu, tetapi kamu lemah laksana sampah sarap dan buih yang dihanyutkan oleh arus banjir (sangat lemah dan tidak bermaya). Allah akan mencabut rasa kehebatan kamu yang digeruni daripada hati musuh-musuh kamu dan mencampakkan ke dalam hati kamu penyakit al-wahan (kelemahan yang menghinakan).” Salah seorang sahabat meminta penjelasan, “Wahai Rasulullah, apakah maksud penyakit wahan itu?” Baginda menjawab, “Terlalu cinta akan dunia dan takut akan kematian.” [Hadis riwayat Abu Dawud, Sunan Abi Dawud, Kitab al-Malahim, no. 4297 dan Ahmad, Musnad Ahmad, Musnad al-Ansar, no. 22397, daripada Thauban bin Bujdud]

Allah meletakkan tanah air umat Islam di kawasan yang kaya dengan hasil buminya serta penganutnya yang bijak dan berilmu daripada pelbagai bangsa yang bertamadun dalam ilmu duniawi. Di samping kalangan ulama’ Ahli Kitab yang memeluk Islam dan umat yang berilmu serta berakhlak, sehingga mereka menjadi umat yang paling adil dan maju dalam aspek keduniaannya dengan keimanan yang kuat bersama ajaran Islam yang diamalkan.

Perkara ini menjadikan mereka kuat bersatu dengan ikatan iman sehingga bersaudara laksana satu jasad. Hasilnya, mereka menjadi umat yang kuat sehingga menjadi kuasa besar memimpin dunia.

Apabila sampai ke puncak kejayaan dan kemenangan, berkuasa dan berharta, mereka menjadi leka dengan keduniaan serta lalai daripada ilmu sehingga merungkai ikatan Islam satu demi satu. Sabda Rasulullah SAW:

لَتُنْقَضَنَّ ‌عُرَى ‌الْإِسْلَامِ ‌عُرْوَةً ‌عُرْوَةً، فَكُلَّمَا انْتَقَضَتْ عُرْوَةٌ تَشَبَّثَ النَّاسُ بِالَّتِي تَلِيهَا، وَأَوَّلُهُنَّ نَقْضًا الْحُكْمُ وَآخِرُهُنَّ الصَّلَاةُ.

“Sesungguhnya, simpulan-simpulan tali yang mengikat ajaran Islam itu akan dirungkaikan satu demi satu. Setiap kali simpulan tali itu dirungkai, penganutnya akan berpegang dan bergantung dengan simpulan yang masih ada. Maka, simpulan yang pertama dirungkaikan ialah hukum (kuasa pelaksanaan hukum syariat), manakala simpulan yang terakhir dirungkaikan ialah sembahyang.” [Hadis riwayat Ahmad, Musnad Ahmad, Musnad al-Ansar, no. 22160, daripada Abu Umamah al-Bahili]

Kerakusan terhadap kemewahan harta dan perebutan takhta untuk berkuasa telah menimbulkan perkelahian yang memecahbelahkan umat Islam yang terdiri daripada berbagai-bagai bangsa dan berbeza mazhab. Selain itu, keruntuhan akhlak pula menyebabkan hilangnya kehebatan dan timbul sifat takut akan mati kerana banyak dosa yang dilakukan.

Akhirnya, mereka dijajah dan dicatur oleh musuh yang bernafsu melihat kekayaan tanah air umat Islam dan berjaya memperhambakan penganutnya yang mudah diadu domba. Sehinggakan, berlakunya perang antara kaum dan mazhab serta perebutan harta dan takhta.

Akibatnya, mereka berpecah mengikut bangsa dari segi asal keturunan dan berpecah mengikut mazhab. Hal ini demikian kerana, kejahilan umat dalam beragama serta kelemahan ulama’ yang tidak bertafaqquh dalam agama. Seterusnya, hilangnya ikatan iman yang menjadikan hubungan persaudaraan laksana hubungan anggota dalam satu jasad. Mereka bersatu dalam rukun Islam dan iman, tetapi berbeza dalam perkara furu‘ (cabang).

Satu demi satu tanah air Islam dan umatnya dijajah, sehingga akhirnya dicatur bagi menjatuhkan Khilafah ‘Uthmaniyyah yang lemah dan tidak mampu mentadbir serta memimpin dunia Islam. Ada yang dilobi oleh penjajah supaya mengambil alih kuasa Islam daripada bangsa Turki kepada bangsa lain, khususnya bangsa Arab, sehingga membantu musuh yang menjatuhkan Kerajaan ‘Uthmaniyyah dalam Perang Dunia Pertama.

Selepas kehilangan kuasa besar Islam, wilayah-wilayah Islam dibahagikan dalam kalangan kuasa-kuasa besar penjajah. Hasilnya dirampas dan dicuri, rakyatnya diperhambakan serta para pemimpinnya diperkuda dengan diberikan habuan takhta dan pangkat untuk mentadbir wilayah dengan arahan penjajah masing- masing. Mereka terdiri daripada kalangan penyokong yang membantu penjajah bagi menjatuhkan khilafah kuasa besar Islam.

Palestin dan Bait al-Maqdis menjadi habuan Yahudi Zionis yang berjuang menegakkan negara agung Israel (The Greater Israel). Ditubuhkan banyak negeri-negeri baharu yang dibahagikan mengikut perjanjian dalam kalangan negara-negara penjajah, laksana membahagikan pusaka Kerajaan ‘Uthmaniyyah yang telah berjaya dimatikan.

Penemuan hasil baharu, khususnya petrol dan gas yang menjadi sumber tenaga kemajuan industri moden, diuruskan penggaliannya dan perniagaannya oleh syarikat-syarikat daripada negara penjajah. Hasil kekayaan tersebut dibahagikan sebagai habuan kepada negara yang dikawal bersama pemimpinnya, sehingga pertahanan dan keselamatannya bergantung kepada tentera musuh dari negara penjajah yang diberikan pangkalan di bumi tanah air umat Islam.

Keadaan ini turut dibantu oleh ketenteraan yang lemah dan tidak mampu melawan musuh, sebaliknya hanya digunakan untuk berperang sesama sendiri kerana perebutan sempadan dan harta. Mereka tidak mampu melawan penjajah dan negara Israel yang ditubuhkan dengan cita-cita menjadi negara besar yang menakluk dunia serta menguasai tanah suci para anbiya’.

Allah berjanji bahawa cahaya Islam tidak boleh dipadamkan oleh musuh-musuh-Nya. Firman Allah SWT:

يُرِيدُونَ لِيُطْفِـُٔواْ نُورَ ٱللَّهِ بِأَفۡوَٰهِهِمۡ وَٱللَّهُ مُتِمُّ نُورِهِۦ وَلَوۡ كَرِهَ ٱلۡكَٰفِرُونَ ٨ هُوَ ٱلَّذِيٓ أَرۡسَلَ رَسُولَهُۥ بِٱلۡهُدَىٰ وَدِينِ ٱلۡحَقِّ لِيُظۡهِرَهُۥ عَلَى ٱلدِّينِ كُلِّهِۦ وَلَوۡ كَرِهَ ٱلۡمُشۡرِكُونَ ٩

“Mereka ingin memadamkan cahaya Allah dengan mulut (tipu daya) mereka, tetapi Allah (justeru) menyempurnakan cahaya-Nya, walaupun orang-orang kafir membencinya. [8] Dialah yang mengutus Rasul-Nya dengan membawa petunjuk dan agama yang benar, agar Dia memenangkannya atas segala agama-agama, meskipun orang musyrik membenci. (9)” [Surah al-Saff: 8–9]

Kebangkitan semula umat Islam berlaku dengan janji daripada al-Quran dan hadis Rasulullah SAW. Antaranya, kemunculan kumpulan Islam yang diwajibkan dan dijanjikan. Firman Allah SWT:

وَلۡتَكُن مِّنكُمۡ أُمَّةٞ يَدۡعُونَ إِلَى ٱلۡخَيۡرِ وَيَأۡمُرُونَ بِٱلۡمَعۡرُوفِ وَيَنۡهَوۡنَ عَنِ ٱلۡمُنكَرِۚ وَأُوْلَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلۡمُفۡلِحُونَ ١٠٤

“Dan hendaklah ada antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang ma‘ruf dan mencegah daripada yang munkar; mereka itulah orang-orang yang beruntung.” [Surah Ali ‘Imran: 104]

Masih ada dalam kalangan umat Islam yang cinta akan agama dan umatnya, terus berpegang kepada Islam dengan istiqamah. Mereka berkumpul membina kekuatan untuk bangkit semula.

Firman Allah SWT:

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ مَن يَرۡتَدَّ مِنكُمۡ عَن دِينِهِۦ فَسَوۡفَ يَأۡتِي ٱللَّهُ بِقَوۡمٖ يُحِبُّهُمۡ وَيُحِبُّونَهُۥٓ أَذِلَّةٍ عَلَى ٱلۡمُؤۡمِنِينَ أَعِزَّةٍ عَلَى ٱلۡكَٰفِرِينَ يُجَٰهِدُونَ فِي سَبِيلِ ٱللَّهِ وَلَا يَخَافُونَ لَوۡمَةَ لَآئِمٖۚ ذَٰلِكَ فَضۡلُ ٱللَّهِ يُؤۡتِيهِ مَن يَشَآءُۚ وَٱللَّهُ وَٰسِعٌ عَلِيمٌ ٥٤ إِنَّمَا وَلِيُّكُمُ ٱللَّهُ وَرَسُولُهُۥ وَٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ ٱلَّذِينَ يُقِيمُونَ ٱلصَّلَوٰةَ وَيُؤۡتُونَ ٱلزَّكَوٰةَ وَهُمۡ رَٰكِعُونَ ٥٥ وَمَن يَتَوَلَّ ٱللَّهَ وَرَسُولَهُۥ وَٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ فَإِنَّ حِزۡبَ ٱللَّهِ هُمُ ٱلۡغَٰلِبُونَ ٥٦

“Wahai orang-orang yang beriman, sesiapa antara kamu yang murtad daripada agamanya, maka kelak Allah akan mendatangkan suatu kaum yang Allah mencintai mereka dan mereka pun mencintai-Nya, yang bersikap lemah lembut terhadap orang yang Mukmin, yang bersikap keras terhadap orang-orang kafir, yang berjihad di jalan Allah, dan yang tidak takut kepada celaan orang yang suka mencela. Itulah kurnia Allah, diberikan-Nya kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya, dan Allah Maha Luas (pemberian-Nya), lagi Maha Mengetahui. (54) Sesungguhnya, penolong kamu hanyalah Allah, Rasul-Nya, dan orang-orang yang beriman, yang mendirikan solat dan menunaikan zakat, seraya mereka tunduk (kepada Allah). (55) Dan sesiapa yang mengambil Allah, Rasul-Nya dan orang-orang yang beriman menjadi penolongnya, maka sesungguhnya pengikut (agama) Allah (parti-Nya) itulah yang pasti menang. (56)” [Surah al-Ma’idah: 54-56]

Apabila ayat-ayat ini diwahyukan, berlakulah hadis:

Umar RA bertanya:

أَنَا وَقَوْمِي هُمْ يَا رَسُولَ اللَّهِ؟

“Adakah aku dan juga kaumku (yang dimaksudkan dalam ayat), wahai Rasulullah?”

Baginda SAW bersabda:

لَا، بَلْ هَذَا وَقَوْمُهُ.

“Tidak! Bahkan, mereka itu ialah dia dan kaumnya.” [Al-Tabari, Tafsir al-Tabari, jld. 8, hlm. 532]

Sambil Baginda menunjuk ke arah Abu Musa al-Asy‘ari RA dari Yaman.

Firman Allah SWT:

هُوَ ٱلَّذِي بَعَثَ فِي ٱلۡأُمِّيِّ‍ۧنَ رَسُولٗا مِّنۡهُمۡ يَتۡلُواْ عَلَيۡهِمۡ ءَايَٰتِهِۦ وَيُزَكِّيهِمۡ وَيُعَلِّمُهُمُ ٱلۡكِتَٰبَ وَٱلۡحِكۡمَةَ وَإِن كَانُواْ مِن قَبۡلُ لَفِي ضَلَٰلٖ مُّبِينٖ ٢ وَءَاخَرِينَ مِنۡهُمۡ لَمَّا يَلۡحَقُواْ بِهِمۡۚ وَهُوَ ٱلۡعَزِيزُ ٱلۡحَكِيمُ ٣

“Dialah yang mengutus kepada kaum yang buta huruf seorang Rasul antara mereka, yang membacakan ayat-ayat-Nya kepada mereka, menyucikan mereka, serta mengajari mereka Kitab (al-Quran) dan Hikmah (al-Sunnah). Dan sesungguhnya mereka sebelumnya benar-benar dalam kesesatan yang nyata. (2) Dan (juga) kepada kaum yang lain daripada mereka (bukan Arab) yang belum berhubungan dengan mereka. Dan Dialah Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana. (3)” [Surah al-Jumu‘ah: 2–3]

Daripada Abu Hurairah RA, beliau menceritakan: Ketika kami berada bersama Rasulullah SAW ketika turunnya ayat ini. Lalu kami bertanya sebanyak tiga kali:

مَنْ هُمْ يَا رَسُولَ اللَّهِ؟

“Siapakah mereka, wahai Rasulullah?”

Tiba-tiba dijawab oleh Rasulullah SAW sambil meletakkan tangannya pada badan Salman al-Farisi (yang berasal dari Iran) dan bersabda:

لَوْ كَانَ الدِّينُ ‌عِنْدَ ‌الثُّرَيَّا لَذَهَبَ بِهِ رَجُلٌ مِنْ فَارِسَ – أَوْ قَالَ: مِنْ أَبْنَاءِ فَارِسَ – حَتَّى يَتَنَاوَلَهُ.

“Sekiranya al-din (Islam) berada di bintang Thurayya, nescaya ia dicapai oleh seorang atau beberapa orang daripada kalangan bangsa Parsi (Iran).” [Hadis riwayat al-Bukhari, Sahih al-Bukhari, Kitab Tafsir al-Qur’an, no. 4897, dan Muslim, Sahih Muslim, Kitab Fada’il al-Sahabah, no. 2546, daripada Abu Hurairah]

Sabda Rasulullah SAW:

لَا تَزَالُ طَائِفَةٌ مِنْ أُمَّتِي عَلَى الدِّينِ ظَاهِرِينَ، لَعَدُوِّهِمْ قَاهِرِينَ، لَا يَضُرُّهُمْ مَنْ خَالَفَهُمْ إِلَّا مَا أَصَابَهُمْ مِنْ لَأْوَاءَ، حَتَّى يَأْتِيَهُمْ أَمْرُ اللهِ وَهُمْ كَذَلِكَ. قَالُوا: يَا رَسُولَ اللهِ، وَأَيْنَ هُمْ؟ قَالَ: ‌بِبَيْتِ ‌الْمَقْدِسِ، ‌وَأَكْنَافِ ‌بَيْتِ ‌الْمَقْدِسِ.

“Masih ada satu kumpulan daripada kalangan umatku yang berani secara terbuka menzahirkan kebenaran Islam dengan gagah perkasa menghadapi musuh mereka. Mereka tidak boleh digagalkan atau (dikecewakan) oleh kalangan yang menentang mereka (daripada kaum Islam yang dipergunakan). Kumpulan ini menghadapi kesusahan namun tidak berganjak sehingga datang keputusan Allah (memenangkan pada akhirnya). Para sahabat bertanya, “Wahai Rasulullah, siapakah mereka?” Rasulullah menjawab, “Mereka itu penduduk Bait al-Maqdis dan yang berada di sekelilingnya.” [Hadis riwayat Ahmad, Musnad Ahmad, Musnad al-Ansar, no. 22320, daripada Abu Umamah al-Bahili]

Berlaku kelahiran kumpulan atau parti Islam yang meneruskan perjuangan Islam di semua wilayah Islam seluruh pelosok dunia, daripada pelbagai bangsa yang menganut Islam, dengan sifat-sifat yang disenaraikan dalam al-Quran.

Firman Allah SWT:

هَـٰٓأَنتُمْ هَـٰٓؤُلَآءِ تُدۡعَوۡنَ لِتُنفِقُواْ فِي سَبِيلِ ٱللَّهِ فَمِنكُم مَّن يَبۡخَلُۖ وَمَن يَبۡخَلۡ فَإِنَّمَا يَبۡخَلُ عَن نَّفۡسِهِۦۚ وَٱللَّهُ ٱلۡغَنِيُّ وَأَنتُمُ ٱلۡفُقَرَآءُۚ وَإِن تَتَوَلَّوۡاْ يَسۡتَبۡدِلۡ قَوۡمًا غَيۡرَكُمۡ ثُمَّ لَا يَكُونُوٓاْ أَمۡثَٰلَكُم ٣٨

“Ingatlah, kamu ini orang-orang yang diajak untuk menafkahkan (hartamu) di jalan Allah, maka antara kamu ada yang bakhil. Dan sesiapa yang bakhil, sesungguhnya dia hanyalah bakhil terhadap dirinya sendiri. Dan Allah itulah Tuhan Yang Maha Kaya, sedangkan kamulah orang-orang yang berkehendak (kepada-Nya); dan jika kamu berpaling, nescaya Dia akan mengganti (kamu) dengan kaum yang lain; dan mereka tidak akan seperti kamu ini.” [Surah Muhammad: 38]

Kumpulan yang bakhil pula terdiri daripada kalangan negara Arab yang kaya, sehingga mengecewakan Palestin yang sedang diganyang oleh Israel dan negara sekutunya.

Sejak awal kebangkitan rakyat Palestin menentang Yahudi Zionis dengan bantuan penjajah, mereka dikecewakan oleh negara jiran yang paling terdekat, yang mendapat habuan kerana bersama dalam menjatuhkan Khilafah ‘Uthmaniyyah, lalu memperoleh takhta dan harta.

Kita menyaksikan kemunculan kumpulan Islam di setiap wilayah Islam yang meneruskan perjuangan dalam mempertahankan Islam dan menegakkan semula kuasanya, walaupun setiap kemenangan Islam di beberapa negara tidak diiktiraf oleh masyarakat antarabangsa yang dikuasai oleh kuasa besar penjajah, termasuk negara Islam yang telah dicatur.

Ada kemenangan yang digulingkan dengan kekerasan sehingga diserang oleh tentera musuh atau ditolak oleh negara Islam yang mengecewakan kerana berpihak kepada musuh. Namun, kebangkitan Islam yang bertali arus gagal dimatikan.

Antara perkembangan mutakhir ialah kemenangan Revolusi Islam di Iran yang tidak diiktiraf kerana dikatakan bermazhab Syiah yang sesat. Namun begitu, para ulama’ Syiah telah melakukan islah terhadap kerosakan yang dilakukan pada zaman Shah Iran, yang menjadi khadam penjajah sepenuhnya, sehingga mengiktiraf negara Israel bersama Mustafa Kamal Ataturk di Turkiye.

Walaupun Republik Islam Iran membawa slogan menghapuskan negara haram Israel serta menyeru kepada perpaduan umat Islam, namun mereka diperangi habis-habisan sehingga melibatkan negara-negara Arab dan pangkalan bala tentera asing yang ditempatkan di rantau tersebut. Hal ini menjadikan Iran satu-satunya negara Islam yang berjaya membantu semua kumpulan Islam Sunni di Palestin dan kumpulan Syiah Imamiyyah di Iran dan Syiah Zaidiyyah di Yaman yang menentang Israel secara terbuka.

Namun, berlaku Perang Teluk Pertama dan Perang Teluk Kedua bagi menjatuhkannya dengan alasan Syiah dan Sunni yang didakwa sesat bersama dengan Syiah, tanpa peduli adanya mazhab yang tidak terkeluar daripada Islam, tetap bersama rukun Islam serta menghadap satu kiblat. Para ulama’ menamakannya sebagai Ahli Kiblat, yang bersatu dalam agama Islam walaupun berbeza dalam beberapa perkara, namun tetap bersaudara.

Kemunculan kumpulan Islam, Harakah al-Muqawamah al-Islamiyyah (Hamas) disertai Tanzim Jihad daripada Sunni, berjaya memperoleh kemenangan besar melalui sistem demokrasi Barat. Namun begitu, kemenangan tersebut tidak diiktiraf sehingga berlakunya peperangan besar melalui bala tentera Ahzab yang dipimpin oleh Amerika Syarikat bagi menyelamatkan Israel.

Kini, semua kumpulan Islam yang menggabungkan Palestin, Lubnan, Iran dan Taliban (Afghanistan dan Syiah), tanpa mengira mazhab, berjaya mengatasi percaturan sehingga menguasai Selat Hormuz dan Bab al-Mandab (Pintu Laut Merah) yang paling strategik.

Isu Selat Hormuz dan Bab al-Mandab telah menyebabkan Amerika Syarikat dan negara-negara sekutunya di Eropah serta negara lain datang dari jauh dengan alasan untuk mengamankan laluan antarabangsa yang didakwa terganggu keselamatannya.

Rentetan daripada itu, cadangan gencatan senjata sebelah pihak dikemukakan. Perlucutan senjata hanya dikenakan terhadap Hamas, Hizbullah dan Iran, tanpa melucutkan senjata Israel dan Amerika Syarikat yang kalah dalam percaturan. Cadangan tersebut merupakan cadangan yang paling zalim dan bodoh dalam sejarah dunia.

Kini, umat Islam diuji oleh Allah dengan berulangnya peristiwa Ahzab yang menjadi mukjizat ilmu al-Quran dengan firman-Nya:

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ ٱذۡكُرُواْ نِعۡمَةَ ٱللَّهِ عَلَيۡكُمۡ إِذۡ جَآءَتۡكُمۡ جُنُودٞ فَأَرۡسَلۡنَا عَلَيۡهِمۡ رِيحٗا وَجُنُودٗا لَّمۡ تَرَوۡهَاۚ وَكَانَ ٱللَّهُ بِمَا تَعۡمَلُونَ بَصِيرًا ٩ إِذۡ جَآءُوكُم مِّن فَوۡقِكُمۡ وَمِنۡ أَسۡفَلَ مِنكُمۡ وَإِذۡ زَاغَتِ ٱلۡأَبۡصَٰرُ وَبَلَغَتِ ٱلۡقُلُوبُ ٱلۡحَنَاجِرَ وَتَظُنُّونَ بِٱللَّهِ ٱلظُّنُونَا۠ ١٠ هُنَالِكَ ٱبۡتُلِيَ ٱلۡمُؤۡمِنُونَ وَزُلۡزِلُواْ زِلۡزَالٗا شَدِيدٗا ١١ وَإِذۡ يَقُولُ ٱلۡمُنَٰفِقُونَ وَٱلَّذِينَ فِي قُلُوبِهِم مَّرَضٞ مَّا وَعَدَنَا ٱللَّهُ وَرَسُولُهُۥٓ إِلَّا غُرُورٗا ١٢

“Wahai orang-orang yang beriman! Ingatlah akan ni‘mat Allah (yang telah dikurniakan) kepadamu ketika datang kepadamu tentera-tentera, lalu Kami kirimkan kepada mereka angin taufan dan tentera yang tidak dapat kamu melihatnya! Dan Allah adalah Maha Melihat akan apa-apa yang kamu kerjakan. (9) (Iaitu) ketika mereka datang kepadamu dari atas dan dari bawahmu, dan ketika tidak tetap lagi penglihatanmu dan hatimu naik menyesak sampai di tenggorokan, serta kamu menyangka terhadap Allah dengan bermacam-macam prasangka. (10) Di situlah diuji orang-orang Mukmin dan digoncangkan (hati mereka) dengan goncangan yang sangat dahsyat. (11) Dan (ingatlah) ketika orang-orang munafiq dan orang-orang yang berpenyakit dalam hati mereka berkata, ‘Allah dan Rasul-Nya tidak menjanjikan kepada kami melainkan tipu daya.’ (12)” [Surah al-Ahzab: 9-12]

Pangkalan tentera penjajah di negara-negara Arab digunakan untuk membantu Israel dan Amerika Syarikat bagi menyerang Iran dan membelasah kumpulan Islam. Namun begitu, apabila serangan balas dilakukan terhadap pangkalan musuh di negara-negara Arab tersebut, tindakan itu diuar-uarkan sebagai pencerobohan terhadap negara-negara Arab dan ancaman terhadap keamanan antarabangsa, bukannya sebagai tindakan melawan Israel dan Amerika Syarikat yang kezalimannya sangat melampau.

Tanpa peduli firman Allah SWT yang nyata:

۞لَتَجِدَنَّ أَشَدَّ ٱلنَّاسِ عَدَٰوَةٗ لِّلَّذِينَ ءَامَنُواْ ٱلۡيَهُودَ وَٱلَّذِينَ أَشۡرَكُواْۖ … ٨٢

“Sesungguhnya kamu dapati orang-orang yang paling keras permusuhannya terhadap orang-orang yang beriman ialah orang-orang Yahudi dan orang-orang Musyrik…” [Surah al-Ma’idah: 82]

Umat Islam daripada pelbagai bangsa dan mazhab adalah bersaudara, laksana hubungan anggota dalam satu jasad. Perbezaan mazhab telah diselesaikan oleh para ulama’ yang muktabar dalam kitab-kitab mereka. Dalam semua mazhab, para penganutnya bersatu dalam rukun dan kiblat yang sama.

Secara ilmu, mereka melakukan islah dengan tashih dan tajdid, bukan memutuskan hukum yang dilakukan oleh ulama’ yang mengampu kerana harta dan pangkat. Kitab-kitab yang besar meriwayatkan pandangan semua mazhab, manakala perkara yang salah ditashihkan melalui islah sehingga mereka tetap bersaudara, walaupun berbeza dalam beberapa hal. Perkara ini merupakan resolusi yang telah disepakati dalam Muktamar Ulama’ yang dianjurkan oleh Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).

Perbezaan bangsa diselesaikan dengan ikatan persaudaraan Islam yang tidak putus. Firman Allah SWT:

إِنَّمَا ٱلۡمُؤۡمِنُونَ إِخۡوَةٞ فَأَصۡلِحُواْ بَيۡنَ أَخَوَيۡكُمۡۚ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَ لَعَلَّكُمۡ تُرۡحَمُونَ ١٠

“Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu bersaudara. Oleh sebab itu, damaikanlah (perbaikilah hubungan) antara kedua saudaramu itu dan takutlah kepada Allah, supaya kamu mendapat rahmat.” [Surah al-Hujurat: 10]

Malangnya, takhta tidak digunakan untuk menunaikan amanah bagi menegakkan agama Allah, manakala harta kekayaan pula tidak digunakan untuk menunaikan perintah Allah.

Firman Allah SWT:

وَأَعِدُّواْ لَهُم مَّا ٱسۡتَطَعۡتُم مِّن قُوَّةٖ وَمِن رِّبَاطِ ٱلۡخَيۡلِ تُرۡهِبُونَ بِهِۦ عَدُوَّ ٱللَّهِ وَعَدُوَّكُمۡ وَءَاخَرِينَ مِن دُونِهِمۡ لَا تَعۡلَمُونَهُمُ ٱللَّهُ يَعۡلَمُهُمۡۚ وَمَا تُنفِقُواْ مِن شَيۡءٖ فِي سَبِيلِ ٱللَّهِ يُوَفَّ إِلَيۡكُمۡ وَأَنتُمۡ لَا تُظۡلَمُونَ ٦٠

“Dan siapkanlah untuk menghadapi mereka kekuatan apa-apa saja yang kamu sanggupi dan daripada kuda-kuda yang ditambat untuk berperang, (yang dengan persiapan itu) kamu menggentarkan musuh Allah dan musuhmu serta orang-orang selain mereka yang kamu tidak mengetahuinya; sedangkan Allah mengetahuinya. Apa-apa saja yang kamu nafkahkan di jalan Allah, nescaya akan dibalas dengan cukup kepadamu dan kamu tidak akan dianiaya (dirugikan).” [Surah al-Anfal: 60]

Berdasarkan ayat ini, Allah memerintahkan umat Islam agar menyediakan kekuatan sekadar kemampuan dengan ikhlas, bukan bergantung kepada musuh yang menyesatkan dan merosakkan. Bertambah malang apabila seruan Allah supaya menyelamatkan saudara yang dizalimi juga tidak disahut, bahkan tidak dihiraukan. Firman Allah SWT:

وَمَا لَكُمۡ لَا تُقَٰتِلُونَ فِي سَبِيلِ ٱللَّهِ وَٱلۡمُسۡتَضۡعَفِينَ مِنَ ٱلرِّجَالِ وَٱلنِّسَآءِ وَٱلۡوِلۡدَٰنِ ٱلَّذِينَ يَقُولُونَ رَبَّنَآ أَخۡرِجۡنَا مِنۡ هَٰذِهِ ٱلۡقَرۡيَةِ ٱلظَّالِمِ أَهۡلُهَا وَٱجۡعَل لَّنَا مِن لَّدُنكَ وَلِيّٗا وَٱجۡعَل لَّنَا مِن لَّدُنكَ نَصِيرًا ٧٥ ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ يُقَٰتِلُونَ فِي سَبِيلِ ٱللَّهِۖ وَٱلَّذِينَ كَفَرُواْ يُقَٰتِلُونَ فِي سَبِيلِ ٱلطَّـٰغُوتِ فَقَٰتِلُوٓاْ أَوۡلِيَآءَ ٱلشَّيۡطَٰنِۖ إِنَّ كَيۡدَ ٱلشَّيۡطَٰنِ كَانَ ضَعِيفًا ٧٦

“Mengapa kamu tidak mahu berperang di jalan Allah dan (membela) orang-orang yang lemah baik lelaki-lelaki, wanita-wanita, mahupun anak-anak yang semuanya berdoa, ‘Wahai Tuhan kami, keluarkanlah kami dari negeri ini (Makkah) yang zalim penduduknya, serta berilah kami pelindung dari sisi Engkau dan berilah kami penolong dari sisi Engkau!’ (75) Orang-orang yang beriman berperang di jalan Allah, manakala orang-orang yang kafir berperang di jalan taghut. Oleh sebab itu, perangilah kawan-kawan syaitan itu, kerana sesungguhnya tipu daya syaitan itu adalah lemah. (76)” [Surah al-Nisa’: 75–76]

Sepatutnya, negara-negara Arab dan Islam perlu mengadakan ikatan kerjasama serantau tanpa bernaung di bawah negara musuh, iaitu Amerika Syarikat dan negara sekutunya. Namun begitu, mereka lebih mementingkan keselamatan Israel dan mendukung perjuangannya menguasai kawasan-kawasan yang penting, bukannya bersama perjuangan bagi membebaskan Palestin, khususnya Bait al-Maqdis, bumi para anbiya’ yang diamanahkan kepada umat Islam.

Bagaimana perkara ini boleh berlaku, sedangkan perjuangan membebaskan Palestin ini merupakan perkara yang disepakati oleh semua ulama’ mazhab dalam Islam, bahkan tiada sebarang khilaf dalam kalangan mereka?

Maka, haram menjadikan Amerika Syarikat dan sekutunya sebagai sahabat yang diberikan kepercayaan untuk menjaga keamanan dan keselamatan bangsa serta tanah air umat Islam.

Akhir sekali, renungilah amaran Allah SWT melalui firman-Nya:

بَشِّرِ ٱلۡمُنَٰفِقِينَ بِأَنَّ لَهُمۡ عَذَابًا أَلِيمًا ١٣٨ ٱلَّذِينَ يَتَّخِذُونَ ٱلۡكَٰفِرِينَ أَوۡلِيَآءَ مِن دُونِ ٱلۡمُؤۡمِنِينَۚ أَيَبۡتَغُونَ عِندَهُمُ ٱلۡعِزَّةَ فَإِنَّ ٱلۡعِزَّةَ لِلَّهِ جَمِيعٗا ١٣٩

“Khabarkanlah kepada orang-orang munafiq bahawa mereka akan mendapat seksaan yang pedih. [138] (Iaitu) orang-orang yang mengambil orang-orang kafir menjadi teman-teman penolong dengan meninggalkan orang-orang Mukmin. Adakah mereka mencari kekuatan di sisi orang kafir itu? Maka, sesungguhnya semua kekuatan kepunyaan Allah. (139)” [Surah al-Nisa’: 138–139]

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS

Bertarikh: 6 Rabi‘ al-Akhir 1448 / 18 September 2026

[Bil: 59 / 2026]