Perpaduan Perlu Ketepikan Perbezaan

5
Haji Hamidi Jusoh

KUALA NERUS – Perpaduan tidak seharusnya dibina dengan meminta pihak yang pernah melalui pengalaman pahit melupakan begitu sahaja sejarah lalu, sebaliknya semua pihak perlu belajar menghargai pengalaman antara satu sama lain serta bersedia mengetepikan perbezaan demi membina masa depan bersama.

Ketua Penerangan PAS Kawasan Kuala Nerus, Haji Hamidi Jusoh berkata, beliau membesar dalam sebuah keluarga yang sejak dahulu lagi melalui kehidupan dengan pilihan politik yang berbeza daripada arus kerajaan ketika itu, apabila ibu dan arwah bapanya bekerja dengan kerajaan tetapi dalam masa sama menyokong pembangkang.

Menurutnya, pengalaman tersebut menjadikan program dan ceramah sebagai sebahagian daripada kehidupan keluarganya sejak kecil, termasuk menjadikan Rusila dan Kubang Lembek sebagai destinasi rutin secara bergilir pada setiap Jumaat.

“Ketika itu, pilihan politik bukan sekadar pilihan di atas kertas. Ayah pernah tidak mendapat rumah walaupun namanya sudah ada dalam senarai, manakala ibu pula pernah dinafikan peluang mendapatkan tanah sedangkan saudara terdekat mendapatnya.

“Masa di sekolah pula, perkara sekecil mendapatkan cop pun kadang-kadang terasa seperti satu perjuangan. Arwah ayah beberapa kali ditukarkan tempat kerja. Kuarters yang kami duduki pernah disabotaj dan kemudian dituduh pula sebagai markas,” ujar beliau, menerusi satu kenyataan, di sini, hari ini.

Mengulas lebih lanjut, Hamidi berkata, pengalaman tersebut bukanlah cerita yang dipelajari daripada buku, sebaliknya merupakan sebahagian daripada kehidupan yang dilalui sendiri oleh keluarganya ketika ruang demokrasi dan kebebasan bersuara dirasakan begitu jauh.

“Namun hari ini, selepas melalui semuanya, saya belajar satu perkara. Kalau benar mahu bercakap tentang perpaduan, jangan hanya meminta orang lain melupakan masa lalu.

“Luka lama boleh kita ketepikan demi masa depan. Kita boleh bertolak ansur. Kita boleh duduk semeja walaupun pernah berbeza jalan,” katanya.

Menurutnya, usaha membina perpaduan tidak seharusnya disertai sikap mana-mana pihak yang merasakan mereka mempunyai hak untuk menentukan segala-galanya, apatah lagi apabila kerjasama itu mahu dibina atas nama kepentingan yang lebih besar.

“Janganlah kerana mahu menjadi ‘abang besar’, kita merasa hanya kita yang berhak menentukan segala-galanya. Perpaduan tidak lahir daripada ego.

“Ia lahir apabila yang pernah terluka juga dihargai, yang pernah berbeza juga didengar, dan semua pihak sanggup merendahkan sedikit ego untuk membina masa depan bersama,” jelas beliau.

Tegas beliau, kekuatan ummah yang dibina atas asas saling menghargai dan bertolak ansur boleh menjadi benteng dalam menjaga agama serta kepentingan masyarakat.

“Kekuatan Ummah boleh menjadi benteng menjaga agama. Insya-Allah.

“Selamat Hari Malaysia,” ujar beliau.