Perlu Kuasai Putrajaya Untuk Tuntut Hak Negeri

7

KUALA TERENGGANU – PAS perlu mempunyai kuasa yang lebih besar di peringkat Persekutuan bagi membolehkan tuntutan berkaitan hak dan kepentingan negeri diselesaikan.

Timbalan Yang Dipertua PAS Kawasan Dungun, Ustaz Azman Shapawi Abd Rani berkata, antara cabaran dihadapi kerajaan negeri ialah isu berkaitan pembayaran royalti petroleum dan tuntutan kewangan yang menurutnya masih belum diselesaikan sepenuhnya.

Katanya, usaha melalui perbincangan, mesyuarat dan saluran Parlimen dilihat masih berdepan kekangan dalam menyelesaikan perkara berkenaan.

“kalau nak selesaikan masalah, kita kena kuasai Putrajaya. Barulah kita boleh ambil semula hak kita.

“Kita bukan nak ambil hak orang, nak ambil hak kita sendiri. Hak kita sendiri pun kita kena berjuang nak dapatkan untuk rakyat Negeri Terengganu,” jelasnya dalam satu program Usrah, pada Khamis.

Mantan ADUN Rantau Abang itu mengimbau pengalaman pentadbiran Terengganu selepas PAS memerintah pada 1999 yang menurutnya kerajaan negeri berdepan tekanan kewangan susulan isu pembayaran royalti petroleum disekat.

Beliau menambah, keadaan tersebut menjadi antara cabaran besar kepada kerajaan negeri dalam melaksanakan program dan memastikan pentadbiran terus berjalan.

Namun menurutnya dengan berkat pimpinan Menteri Besar Ketika itu Tuan Guru Abdul Hadi Awang yang mentadbir secara telus tanpa pembaziran, kerajaan dapat bertahan sehingga dirampas Umno pada tahun 2004.

Oleh itu katanya, kestabilan kerajaan serta kemampuan mengurus kewangan negeri menjadi perkara penting bagi memastikan kepentingan kelangsungan hidup rakyat.

“tugas mentadbir negeri merupakan amanah besar yang bukan hanya dipikul wakil rakyat, tetapi turut melibatkan penjawat awam di setiap peringkat.” tegas beliau

Justeru, semua pihak perlu meningkatkan prestasi kerja terutama ketika memasuki penggal kedua pentadbiran selepas menang pada PRU14 pada tahun 2018, supaya setiap dasar dan perancangan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.

“Kita dah masuk penggal yang kedua ini bukan lagi penggal baru nak belajar. Tetapi mesti semakin baik cara perjalanan kerja supaya ada kesan dengan masa-masa yang ada.

“Kerja macam biasa sahaja tidak memadai. Mesti kerja kita semakin meningkat dari hari ke hari,” tegas beliau.

Tambahan lagi kata beliau, pentadbiran dan kewangan negeri perlu cekap dan tuntas bagi memastikan ekonomi negeri terus berkembang dan kebajikan rakyat terpelihara.

Dalam masa sama, katanya, kerajaan negeri perlu mempunyai pentadbiran yang stabil dan aman supaya perancangan pembangunan dapat dilaksanakan secara berterusan.

Ustaz Azman berkata, setiap penjawat awam juga perlu memahami peranan masing-masing kerana kelemahan pada satu bahagian boleh memberi kesan kepada imej keseluruhan kerajaan.

“Peranan anggota dalam kerajaan ini sangat penting. Sebab bila satu rumah tangga menghadapi masalah, ia akan menjadi isu yang besar kepada keluarga tersebut.

“Begitu juga kerajaan. Kalau ada kelemahan, ia boleh menjejaskan imej kita sebagai sebuah kerajaan,” tambah beliau.