KUALA TERENGGANU – Isu kos sara hidup dilihat antara ujian praktikal kepada gagasan ‘Penyelesaian Islam Mengisi Kemenangan’ yang diketengahkan Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang pada Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-72.
Ketua Penerangan PAS Kawasan Besut, Nik Mazli Mat Yusof berkata, ucapan dasar Presiden PAS bukan sekadar ucapan politik, sebaliknya menjadi kerangka besar yang memberi panduan kepada gerak kerja parti selepas muktamar.
Menurutnya, tema ‘Penyelesaian Islam Mengisi Kemenangan’ membawa persoalan penting mengenai bentuk penyelesaian yang mahu diketengahkan kepada rakyat sekiranya PAS diberikan mandat lebih besar.
“Dalam konteks 2026, tema ini menunjukkan penekanan kepada persoalan, kalau diberi mandat, apakah penyelesaian yang hendak dibawa kepada rakyat?” soalnya.
Beliau berkata demikian ketika dihubungi hari ini.
Beliau menambah, perkara itu dapat dilihat menerusi usul PAS Kawasan Batu yang mengetengahkan isu kenaikan kos sara hidup, termasuk harga barang, bekalan barangan asas, pendapatan keluarga, peluang pekerjaan, kuasa beli dan bantuan kepada golongan rentan.
“Isu seperti kos sara hidup boleh dilihat sebagai ujian praktikal kepada gagasan kebajikan dan penyelesaian Islam yang dibawa dalam ucapan dasar,” katanya.
Usul mendesak kerajaan mengambil langkah menyeluruh bagi menangani kenaikan kos sara hidup merupakan antara usul yang diterima tanpa bahas pada Muktamar PAS Kali Ke-72.
Nik Mazli berkata, penerimaan usul tanpa bahas tidak seharusnya dilihat sebagai titik akhir kerana perkara yang lebih penting ialah bagaimana usul tersebut diterjemahkan kepada gerak kerja dan tindakan yang memberi kesan kepada rakyat.
Sementara itu, katanya, penerimaan sesuatu usul pada Muktamar PAS bukan menjadi titik akhir, sebaliknya perlu diterjemahkan kepada gerak kerja dan tindakan yang memberi manfaat kepada rakyat.
Tambah Mazli, ucapan dasar Presiden PAS menjadi kerangka besar perjuangan parti, manakala usul yang dibawa perwakilan pula berperanan menterjemahkan kerangka berkenaan kepada isu yang lebih dekat dengan kehidupan rakyat.
Menurutnya, perkara itu dapat dilihat melalui usul berkaitan kos sara hidup yang menyentuh pelbagai aspek termasuk harga barang, bekalan keperluan asas, pendapatan keluarga, peluang pekerjaan dan kuasa beli.
“Ucapan dasar memberikan kerangka besar perjuangan, manakala usul pula menterjemahkan kerangka itu kepada masalah rakyat.
“Jadi, apabila sesuatu usul diterima, yang lebih penting ialah bagaimana ia diterjemahkan dalam bentuk gerak kerja dan penyelesaian,” tambah beliau.





























