Gangguan dan ancaman terhadap laluan kapal di Selat Hormuz mencetuskan ancaman terburuk kepada sistem perdagangan global dalam tempoh 80 tahun.
Ia adalah kerana, Selat Hormuz, yang merupakan laluan maritim paling kritikal bagi penghantaran tenaga dunia, kini berdepan tekanan berikutan ketegangan geopolitik yang semakin meruncing.
Gangguan pada laluan ini dijangka merencatkan rantaian bekalan utama, seterusnya memburukkan lagi kadar inflasi serta kos sara hidup di peringkat global.
Ketua Pengarah Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO), Ngozi Okonjo-Iweala, memberi amaran bahawa implikasi krisis ini boleh menjejaskan kestabilan ekonomi dunia secara menyeluruh jika tidak ditangani segera.
“Gangguan laluan di Selat Hormuz berisiko mencetuskan kejutan bekalan yang amat serius. Ia bukan sahaja mengancam kestabilan harga minyak mentah dan gas, malah menyekat penghantaran bahan asas seperti baja dan makanan,” kata Okonjo-Iweala.
Beliau menambah, cabaran ini muncul ketika ekonomi global baharu sahaja menunjukkan tanda-tanda pemulihan menerusi sektor teknologi.
“Walaupun kita melihat ketahanan ekonomi menerusi pertumbuhan berasaskan kecerdasan buatan (AI) dan teknologi, potensi sekatan di laluan maritim kritikal seperti ini berupaya memadamkan kadar pertumbuhan tersebut dan meletakkan perdagangan antarabangsa dalam keadaan paling berisiko sejak lapan dekad lalu,” tegas beliau.
Sehubungan itu, pakar penganalisis maritim turut menjangkakan, sekiranya syarikat perkapalan terpaksa mengalihkan laluan mengelilingi Afrika, kos bahan bakar dan insurans pelayaran akan melonjak naik, sekali gus memindahkan bebanan kos tersebut kepada pengguna akhir.
Justeru, semua negara yang lerlibat dalam perdagangan antarabangsa kini menggesa kawalan diplomasi ditingkatkan bagi memastikan laluan strategik tersebut kekal selamat dan bebas untuk pelayaran komersial.
Ancaman dan gangguan perdagangan di Selat Hormuz berpunca daripada eskalasi ketenteraan Amerika Syarikat (AS) dan Israel yang menyerang Iran dan Tehran bertindak balas untuk mempertahankan diri.
Serangan udara terkoordinasi oleh AS dan Israel ke atas sasaran di Iran mencetuskan tindakan balas. Tentera Pengawal Revolusi Iran (IRGC) bertindak menyekat pelayaran, memasang ranjau laut, serta melancarkan serangan ke atas kapal-kapal komersial yang melalui Selat Hormuz.






























