Kesihatan Mental Bukan Sakit Mental!

3219

KUALA TERENGGANU – Kenyataan Exco Kesihatan Negeri Terengganu, Roslee Daud tentang kesihatan mental mengejutkan dan mengelirukan orang ramai.

Menurut Pakar Kesihatan Keluarga Dr. Suhazeli Abdullah, penyakit mental adalah berbeza dengan kesihatan mental.

“Ramai yang terkejut apabila Exco Kesihatan Negeri Terengganu dilaporkan berucap mengeluarkan statistik satu dari empat rakyat Terengganu berpenyakit mental.

“Kesihatan mental dan penyakit mental adalah dua istilah berbeza walaupun kekadang orang terkeliru kerana tukar-ganti perkataan sama,”jelasnya

http://www.buletinonline.net/images/stories/aberita5/suhazeli-150x150.jpgKatanya, Kesihatan Mental adalah merujuk kepada tahap kesihatan minda seseorang. Kementerian Kesihatan mempunyai ujian khas bagi mengenal pasti seseorang itu berminda sihat atau tidak.

“Antara ujian yang biasa dilakukan terhadap para pelanggan di klinik-klinik kesihatan adalah ujian DASS (depression, anxiety, stress scale). Terdapat skala tahap minda yang akan dikira hasil dari ujian itu.

“Para pelanggan akan menjawab beberapa soalan yang khusus berkaitan dengan status minda mereka dalam tempoh seminggu yang lalu. Jika seseorang itu mengalami detik-detik sedih dalam hidup dalam tempoh seminggu sebelum ujian, kemungkinan skala depresi (murung) beliau akan teruk. Begitu juga dengan anxiety (gugup) dan stress,”ujar beliau

Manakala Penyakit Mental, kata beliau, adalah pula merujuk kepada penyakit-penyakit gila dalam masyarakat seperti mania, skizofrenia, murung, meroyan dan lain-lain lagi.

“Murung di sini tidak sama dengan murung status minda di atas. Murung dalam istilah penyakit apabila kesedihan berlanjutan melebihi enam bulan

“dan disertai dengan tanda-tanda ingin memudaratkan badan seperti rasa nak bunuh diri, menangis tanpa sebab, mendengar suara, lihat lembaga hantu dan beberapa tanda lain lagi,”tegas beliau.

Inilah mungkin, katanya lagi, menjadi punca kekeliruan petikan akhbar tersebut.

“Saya sebagai rakyat Terengganu sedih dengan perlian orang luar dan memandang sinis Terengganu ramai orang gila!,”tambah beliau.