PAS Setiu Mahu Status Quo Kerusi Terengganu Dipertahan

4

SETIU – PAS Kawasan Setiu menegaskan hak dan status quo kerusi yang dimenangi parti itu di Terengganu perlu dipertahankan sekiranya berlaku persefahaman antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) pada pilihan raya akan datang.

Naib Yang Dipertua PAS Kawasan Setiu, YB Ustaz Mohd Shafizi Ismail berkata, sebarang perkiraan berkaitan pembahagian kerusi antara PAS dan Umno perlu diputuskan oleh pimpinan pusat.

Katanya, PAS di peringkat kawasan, Parlimen dan DUN bagaimanapun akan terus mempertahankan hak yang dimiliki parti berdasarkan kedudukan semasa.

“Kalau berlaku persefahaman antara BN dan PN ataupun Umno dan PAS, memanglah kita akan ada buat perkiraan. Perkiraan macam mana itu, serah kepada pimpinan pusat sebab ini kerja pimpinan pusat.

“Cuma kita di kawasan-kawasan ataupun Parlimen dan DUN, tetap kita pertahankan hak kita, antaranya status quo,” jelasya.

Beliau yang juga ADUN Batu Rakit berkata demikian ketika ditemui pihak media selepas program Iftar Jamai Liqa Haraki Dewan Muslimat PAS Kawasan Setiu, di Sungai Tong, semalam.

Menurut beliau, Terengganu ketika ini tidak mempunyai kerusi Parlimen atau DUN yang dimenangi Umno, dengan keseluruhan kerusi berkenaan dimenangi PAS.

Justeru, katanya, sebarang keputusan mengenai pembahagian kerusi sekiranya berlaku kerjasama politik perlu mengambil kira kedudukan tersebut.

“Kita beri kepercayaan penuh kepada pimpinan kita, insya-Allah,” katanya.

Beliau berkata, PAS di peringkat kawasan akan terus memberi tumpuan kepada persiapan jentera pilihan raya, sementara menunggu keputusan rasmi pimpinan pusat berhubung sebarang bentuk persefahaman dan pembahagian kerusi.

Dalam pada itu, Shafizi berkata, WINS yang diketengahkan PAS merupakan satu perancangan untuk rakyat yang merangkumi aspek lebih menyeluruh termasuk kemanusiaan dan keterjaminan kehidupan pada masa hadapan.

“Yang penting bukan semata-mata habuan kebendaan, bahkan dari sudut kemanusiaan dan keterjaminan rakyat kita pada masa akan datang.

“Kita mahu rakyat boleh hidup dalam keadaan baik dan aman. Itu yang lebih penting,” ujarnya.

Beliau berkata, pendekatan tersebut turut mengambil inspirasi daripada pentadbiran Terengganu menerusi gagasan ‘Maju, Berkat, Sejahtera’ yang menurutnya boleh diterapkan dalam skop lebih luas di peringkat negara.

Shafizi turut memaklumkan keadaan di DUN Batu Rakit masih seperti biasa, namun mengakui UMNO dilihat aktif menjalankan gerak kerja di kawasan berkenaan.

“Umno memang nampak kuat di Batu Rakit daripada dulu lagi. Mereka bergerak,” tambah beliau.