DUNGUN: Menang atau kalah bukan ukuran pertama bagi seorang pejuang, sebaliknya sejauh mana iman, aqidah dan kesetiaan kepada perjuangan mampu dipertahankan ketika berdepan ujian.
Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Datuk Siti Zailah Mohd Yusof berkata, kekuatan aqidah merupakan tunjang yang akan memastikan anggota terus teguh dan istiqamah dalam melaksanakan amanah perjuangan.
“Persiapan yang paling penting sekali sebagai jentera pilihan raya adalah persiapan iman dan persiapan aqidah, ia menjadi teras, menjadi tunjang dalam apa pun perjuangan, aqidah mesti diperkemaskan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Pelancaran Jentera Pilihan Raya Dewan Muslimat PAS Dungun di Dewan Al Husna, Markas Darul Ansar di sini pada 26 September..
Menurut beliau, keyakinan terhadap perjuangan yang dibawa perlu disertai rasa syukur kerana diberi peluang untuk berada dalam jemaah yang mempunyai panduan kepimpinan dan hala tuju perjuangan.


Katanya, kekuatan aqidah yang kukuh akan menjadi benteng dalaman kepada setiap jentera agar tidak mudah kecewa, berputus asa atau hilang semangat apabila berdepan pelbagai cabaran.
“Dengan kekuatan aqidah inilah, insya-Allah kita tidak mudah kecewa dalam perjuangan, tidak ada rasa ‘burn out’, letih atau rasa tidak puas hati,” ujarnya.
Dalam pada itu, Datuk Siti Zailah turut mengingatkan jentera agar memelihara disiplin berjemaah dengan menghormati dan meletakkan wala’ terhadap keputusan yang dibuat oleh kepimpinan serta jemaah.
“Keputusan yang jemaah buat kena letak wala’. Kita kena wala’ dengan keputusan kepimpinan dan jemaah,” tegasnya.





























