KUALA TERENGGANU – Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP) mendesak Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Marhamah Rosli supaya tampil menyatakan pendirian secara jelas dan terbuka berhubung isu yang mengaitkan beliau dengan ajaran New Age Movement (NAM), atau meletakkan jawatan daripada kedudukan tersebut yang bertanggungjawab terhadap urusan hal ehwal agama di peringkat Persekutuan.
Ketua Penerangan DUPP, YB Ustaz Dato’ Mohd Nor Hamzah berkata, tuntutan itu dibuat susulan kenyataan media Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bertarikh 27 September yang mengesahkan wujudnya siasatan serta pertemuan berhubung isu penyebaran unsur NAM yang dikaitkan dengan Timbalan Menteri berkenaan.
Menurutnya, walaupun JAKIM memaklumkan teguran, nasihat dan panduan telah diberikan kepada beliau berkaitan implikasi program serta pendekatan yang mempunyai kaitan dengan agama dan akidah, perkara tersebut tidak sepatutnya berakhir sekadar melalui proses pertemuan tertutup tanpa penjelasan terbuka kepada masyarakat.
“Dewan Ulamak PAS Pusat menegaskan bahawa hal yang menyentuh soal akidah umat Islam tidak boleh dipandang enteng atau diselesaikan sekadar di belakang pintu tertutup, apatah lagi melibatkan pemegang amanah di peringkat pentadbiran negara yang portfolionya menjaga agama umat Islam di Malaysia,” jelas beliau dalam kenyataan media hari ini.
Tegasnya, Marhamah perlu tampil bertanggungjawab dengan menjelaskan pendirian terkininya secara jujur kepada seluruh rakyat Malaysia, khususnya umat Islam yang mempunyai kepentingan langsung terhadap kedudukan dan fungsi institusi agama negara.
“Beliau wajib menjelaskan sama ada beliau masih mengikuti dan meyakini ajaran ini atau sebaliknya. Setakat kenyataan-kenyataan beliau yang terkini, beliau dilihat masih mengelak dan bermain tarik tali dalam isu yang sangat kritikal ini,” katanya.
Tegas beliau, persoalan akidah tidak boleh diletakkan dalam ruang kelabu kerana ia menyentuh perkara asas dalam kehidupan seorang Muslim, lebih-lebih lagi apabila individu berkenaan memegang jawatan dalam portfolio yang berkaitan secara langsung dengan hal ehwal agama Islam.
“Kesucian akidah adalah garis merah yang tidak boleh dipertaruhkan. Oleh yang demikian, kami mendesak agar beliau segera meletakkan jawatan sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).
“Kedudukan ini menuntut integriti akidah yang tidak berbelah bahagi, suci dan benar,” katanya.
Dalam pada itu, DUPP turut menggesa supaya Marhamah disiasat secara terperinci dan telus oleh pihak berkuasa agama yang mempunyai bidang kuasa berkaitan ajaran yang disyaki menyeleweng daripada akidah Islam.
Menurut beliau, sekiranya hasil siasatan membuktikan wujud penyelewengan akidah, beliau juga perlu melalui proses kaunseling pemulihan dan menyatakan taubat secara rasmi bagi memastikan imej serta kewibawaan institusi agama negara dapat dipelihara.
DUPP pada masa sama menggesa Perdana Menteri dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) supaya segera campur tangan dalam isu berkenaan memandangkan perkara itu telah menimbulkan persoalan dan kebimbangan dalam kalangan masyarakat Islam.
“Sebagai pucuk pimpinan kerajaan, campur tangan ini amat mendesak memandangkan majoriti umat Islam kini berada dalam keadaan resah dan gusar dengan dakwaan yang wujud serta sikap Timbalan Menteri yang terus meragukan,” tambah beliau.
Jelasnya lagi, persoalan yang timbul bukan lagi sekadar mengenai seseorang individu, tetapi turut menyentuh keyakinan masyarakat terhadap pengurusan hal ehwal Islam di peringkat Persekutuan.
“Persoalan besar yang bermain di minda seluruh umat Islam pada hari ini ialah bagaimana umat Islam di Malaysia boleh merasa selamat dan aman jika urusan agama peringkat Persekutuan dipimpin oleh orang yang diragui dan dipertikaikan akidahnya?
“Kerajaan mesti bertindak segera demi memelihara kesucian Islam di negara ini,” tegas beliau


























