KUALA TERENGGANU – PAS Terengganu memperkukuh keupayaan jentera penerangannya dalam menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16 menerusi pelaksanaan Kursus Penggunaan Kecerdasan Buatan (AI) yang membabitkan seluruh Dewan dan Kawasan PAS di negeri itu.
Ketua Penerangan, Ustaz Mohd Harun Esa berkata, penguasaan teknologi AI menjadi satu keperluan bagi jentera penerangan parti berikutan perubahan landskap komunikasi politik yang semakin tertumpu kepada media sosial dan penyebaran maklumat secara pantas.
Menurutnya, pertarungan naratif menjelang PRU16 bukan lagi hanya berlaku menerusi kaedah tradisional seperti ceramah perdana, sebaliknya turut berlangsung setiap masa di ruang digital.
“Medan pertempuran politik hari ini bukan lagi tertumpu semata-mata dalam aktiviti tradisi seperti ceramah perdana sahaja, tetapi turut berlaku secara sengit di media sosial saban detik.
“Justeru, jentera penerangan PAS Terengganu perlu dilengkapi dengan kemahiran menggunakan AI sebagai satu lagi senjata tambahan bagi memastikan mesej perjuangan parti sampai dengan lebih pantas, kreatif dan berkesan kepada rakyat,” jelasnya.
Beliau berkata demikian berhubung pelaksanaan siri Kursus Penggunaan AI untuk Jentera Penerangan yang dijalankan secara bersemuka bermula September hingga Oktober ini.


Ustaz Mohd Harun menambah, kursus berkenaan akan dilaksanakan di sembilan lokasi meliputi peringkat Dewan-Dewan Negeri dan lapan Kawasan PAS iaitu Besut, Setiu, Kuala Nerus, Kuala Terengganu, Marang, Hulu Terengganu, Dungun serta Kemaman.
Katanya, tarikh dan lokasi kursus ditentukan oleh Dewan dan Kawasan masing-masing mengikut kesesuaian bagi memastikan penyertaan jentera penerangan di semua peringkat dapat diperkasakan.
“Penguasaan kemahiran AI dalam kalangan petugas penerangan bukan sekadar nilai tambah, malah satu keperluan mendesak bagi memastikan PAS Terengganu terus kekal relevan dan kompetitif dalam mendepani arus perubahan landskap komunikasi politik yang semakin pantas dan kompleks menjelang PRU16,” ujarnya.
Tambah Ustaz Harun lagi, pelaksanaan kursus itu turut mencerminkan keseriusan PAS Terengganu dalam membangunkan kapasiti ahli dan petugas penerangan, khususnya dalam penggunaan teknologi baharu bagi memperkukuh strategi komunikasi parti.
“Inisiatif ini diharap dapat melahirkan jentera penerangan yang lebih bersedia, kreatif dan cekap dalam mengendalikan kandungan digital serta menyampaikan maklumat kepada masyarakat,” katanya.




























