Sabda Rasulullah SAW:
لَا تَزَالُ طَائِفَةٌ مِنْ أُمَّتِي قَائِمَةً بِأَمْرِ اللهِ لَا يَضُرُّهُمْ مَنْ خَذَلَهُمْ أَوْ خَالَفَهُمْ، حَتَّى يَأْتِيَ أَمْرُ اللهِ وَهُمْ ظَاهِرُونَ عَلَى النَّاسِ.
“Sentiasa ada dalam kalangan umatku (sepanjang zaman) kumpulan yang bangkit berjuang menunaikan perintah Allah (menegakkan Islam dan mempertahankannya). Tidak memberikan apa-apa mudarat kepada mereka oleh sesiapa yang mengecewakan mereka (tidak mahu menolong mereka) atau menentang mereka. Kumpulan ini terus berjuang sehingga datangnya keputusan Allah (syahid atau menang), namun mereka terus zahir (tidak boleh dihapuskan).” [Hadis riwayat Muslim, Sahih Muslim, Kitab al-Imarah, no. 1037, daripada Mu‘awiyah bin Abi Sufyan]
Dalam riwayat Imam Ahmad, dinyatakan antara mereka itu ialah kumpulan Islam di Bait al-Maqdis dan di keliling Bait al-Maqdis (di Palestin dan negara jirannya). [Lihat: Musnad Ahmad, Musnad al-Ansar, no. 22320, daripada Abu Umamah al-Bahili]
Hadis ini menunjukkan tanda yang benar berlaku pada akhir zaman mengenai kemunculan dua kumpulan dalam kalangan umat Islam:
1. Kumpulan yang beristiqamah.
2. Kumpulan yang terpesong dan mengecewakan.
Kita menyaksikan genapnya satu abad kejatuhan Khilafah ‘Uthmaniyyah, kuasa besar Islam hasil pengkhianatan dalaman umat Islam sendiri. Walaupun ada kesilapan dan kelemahan kerajaan Islam itu, usaha menjatuhkannya dengan bekerjasama dengan musuh adalah satu pengkhianatan yang paling celaka. Akibatnya, dunia Islam dijajah, khususnya tanah suci Palestin.
Kita sedang menyaksikan pula kebenaran janji Allah SWT dan Rasul-Nya SAW, iaitu kemunculan kumpulan Islam yang gagah berani menentang negara Zionis Israel yang ganas dan semua penjajah selepas kejatuhan kuasa Islam.
Zionis merupakan musuh paling zalim dalam sejarah manusia, bersama negara sekutunya (Amerika Syarikat dan Eropah) dan semua negara kumpulan Zionis dengan bantuan umat Islam yang berkhianat. Negara Yahudi Zionis dibantu oleh tentera dan senjata yang bertali arus daripada semua jenis, mendukung penubuhan negara Israel Raya (Greater Israel) yang berpusat di Jerusalem (Bait al-Maqdis tanah suci umat Islam) bagi menakluk dunia dan menjadi kuasa besar tunggal.
Lahir kumpulan Islam yang berjihad menentang Zionis yang dijanjikan, walaupun musuh mereka melakukan keganasan paling melampau terhadap kumpulan Islam yang awal berjihad menentang Israel. Mereka lahir dari negara Arab, Turkiye, dan Iran bersama para pemimpin mereka seperti Mufti Amin al-Husayni, Syeikh ‘Izzuddin al-Qassam, ulama’ buangan dari Syria, ‘Abd al-Qadir al-Husayni, dan lain-lain.
Turut bersama mereka ialah rakyat Palestin serta negara Arab dan Islam di keliling mereka, termasuk dari Turkiye, Iran, dan lain-lain daripada semua mazhab. Kumpulan Islam bermula sejak penjajahan British yang melaksanakan Perisytiharan Balfour pada 1917 sehingga perisytiharan negara haram Israel pada 1948.
Pada masa yang sama, muncul kalangan yang mengecewakan dari negara-negara Arab dan Islam yang ditubuhkan bersama para pemimpin yang terlibat dalam Revolusi Agung Arab yang menjatuhkan Khilafah ‘Uthmaniyyah. Mereka menerima gencatan senjata tajaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang dikuasai oleh negara Zionis.
Negara habuan yang terlibat dalam menjatuhkan kuasa Islam pada abad yang lalu membalas jasa kuasa besar yang terlibat dengan menyerahkan maruah dan hasil bumi mereka kepada musuh serta membenarkan dibina pangkalan tentera musuh.
Beberapa negara Arab dan Islam yang dipecah-pecahkan dilantik ketua negara secara diktator sama ada secara republik oleh tentera ataupun beraja, misalnya Kamal Ataturk di Turkiye sebagai pemimpin negara republik tentera dan Shah di Iran sebagai pemimpin negara beraja.
Turkiye bawah Kamal Ataturk dan Iran bawah Shah secara langsung mengiktiraf Israel. Adapun negara Arab yang menerima gencatan senjata bawah PBB yang dikuasai oleh Zionis bertindak terhadap kumpulan Islam dan pemimpin mereka melalui pengharaman atau pembunuhan.
Turkiye menjatuhkan hukuman bunuh atas Adnan Menderes yang menjadi Perdana Menteri secara demokrasi kerana kesalahan mengubah Turkiye ke arah Islam bersama rakan-rakan seperjuangannya. Di negara Arab, beberapa orang pemimpin Islam dibunuh. Begitu juga di Iran, mereka yang terlibat dalam gerakan Fida’iyyan Islam (Fadayan-e Islam) dan beberapa orang ulama’ yang menentang Shah turut dibunuh.
Di Palestin, berlaku penubuhan kumpulan bawah gabungan Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO). Musuh menaja kumpulan nasionalis sekular yang menerima negara Israel dengan sogokan penyelesaian dua negara (two-solution state) sebagai tipu daya politik.
Namun begitu, kumpulan Islam gagal dihapuskan laksana api dalam sekam, walaupun setiap kemenangan kumpulan Islam disekat, termasuk secara demokrasi di seluruh negara Islam.
Muncul Revolusi Islam di Iran pada tahun 1979 yang menggulingkan Shah dan menubuhkan negara Republik Islam Iran. Mereka mengisytiharkan pengharaman negara Israel dan membawa slogan perpaduan umat Islam bagi membebaskan Bait al-Maqdis.
Tiba-tiba, Perang Teluk Pertama (1980) dilancarkan bagi menjatuhkannya dengan mengarahkan semua negara Arab dan negara Islam untuk memerangi Iran, atas slogan mazhab Sunni wajib memerangi mazhab Syiah atau Kebangsaan Arab menentang Iran Majusi penyembah api yang Musyrikin, disertai bantuan semua negara Barat dan Israel melalui sokongan ketenteraan, politik, ekonomi, dan media, termasuk kalangan ulama’ yang dipergunakan untuk menyebarkan propaganda akan bahaya negara Syiah yang mengancam Sunni sehingga melupakan bahaya Israel. Maka, Iran diganyang dan dikepung habis-habisan.
Pada tahun 80-an, muncul kumpulan Islam Palestin (Tanzim Jihad) yang dibantu oleh Iran dan selepasnya, muncul gerakan Harakah al-Muqawamah al-Islamiyyah (Hamas) daripada kumpulan Ikhwan al-Muslimin yang diharamkan; kedua-duanya daripada kalangan Sunni. Selepas itu, muncul pula Hizbullah di Lubnan dan Ansarullah di Yaman daripada kumpulan Syiah dengan disertai oleh kumpulan Islam Sunni.
Maka, berlakulah kemunculan semula kumpulan Islam Palestin, namun tidak diiktiraf oleh negara Arab dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).
Apabila kumpulan Hamas menyertai Pilihan Raya Perundangan Palestin 2006 melalui proses demokrasi yang dijangka memberikan kemenangan sokongan kepada PLO yang mendapat pengiktirafan negara Arab, OIC, dan negara Barat, tiba-tiba Hamas memenangi pilihan raya tersebut. Akan tetapi, kemenangan itu tidak diiktiraf oleh negara Arab, OIC, dan masyarakat antarabangsa. PLO yang kalah pula diiktiraf untuk menubuhkan negara sementara Palestin yang tidak ada kuasa, malah diiktiraf oleh PBB, OIC, dan lain-lain.
Hamas mengambil langkah menubuhkan kerajaan di daerah Gaza sebagai pusat gerakannya, di dalam wilayah yang kecil dan padat penduduknya. Kerajaannya tidak diiktiraf oleh PBB, Liga Arab, dan OIC kerana masih kuat pengaruh Barat terhadap negara Islam walaupun telah merdeka. Termasuk ketika Sidang OIC diadakan di Malaysia pada tahun 2003, wakil Hamas yang datang tidak dibenarkan untuk menyertainya.
Gaza telah dikepung secara politik, ekonomi, dan media. Rakyatnya laksana berada di dalam penjara besar, setiap hari diserang oleh Israel. Hal ini termasuklah wilayah Tebing Barat dan Bait al-Maqdis, kawasan yang masih ramai rakyat Palestin terus diceroboh, sehingga dirampas bangunan tempat tinggal dan perniagaan, termasuk kawasan pertanian. Pendatang Yahudi dibawa masuk dan merampas kediaman serta tempat pekerjaan rakyat Palestin, begitu juga kawasan nelayan dilakukan sekatan. Rakyat Palestin menjadi pelarian di dalam tanah air mereka sendiri.
Kumpulan Islam yang bangkit semula tidak menyerah kalah dan ramai yang gugur syahid, ditahan, atau dibuang keluar negeri.
Mereka meneruskan kehidupan dengan bantuan daripada umat Islam. Hanya Republik Islam Iran yang paling banyak membantu dari sudut kewangan dan persenjataan sehingga boleh meneruskan perjuangan. Adapun negara jiran sangat mengecewakan, melainkan kalangan rakyat yang berani. Ada pula yang ditahan di negeri masing-masing, harta mereka dirampas dan perniagaan mereka dibekukan kerana membantu Palestin.
Kita menyaksikan pihak yang menyahut seruan Allah melakukan persediaan berjihad dan menyelamatkan Islam yang ditindas.
Firman Allah SWT:
وَأَعِدُّواْ لَهُم مَّا ٱسۡتَطَعۡتُم مِّن قُوَّةٖ وَمِن رِّبَاطِ ٱلۡخَيۡلِ تُرۡهِبُونَ بِهِۦ عَدُوَّ ٱللَّهِ وَعَدُوَّكُمۡ وَءَاخَرِينَ مِن دُونِهِمۡ لَا تَعۡلَمُونَهُمُ ٱللَّهُ يَعۡلَمُهُمۡۚ وَمَا تُنفِقُواْ مِن شَيۡءٖ فِي سَبِيلِ ٱللَّهِ يُوَفَّ إِلَيۡكُمۡ وَأَنتُمۡ لَا تُظۡلَمُونَ ٦٠
“Dan bersedialah kamu untuk menghadapi mereka dengan apa saja kekuatan yang kamu mampu dan daripada kuda-kuda yang ditambat untuk berperang, (yang dengan persiapan itu) kamu menggerunkan musuh Allah dan musuh kamu serta orang-orang selain mereka yang kamu tidak mengetahui mereka; sedang Allah mengetahui mereka. Apa saja yang kamu nafkahkan di jalan Allah, nescaya akan dibalas dengan cukup kepadamu dan kamu tidak akan dianiaya (dirugikan).” [Surah al-Anfal: 60]
Kumpulan Islam Palestin dan negara Republik Islam Iran melakukan persediaan dari sudut harta kurniaan Allah sehingga persediaan jiwa raga.
Gerakan Islam daripada Hamas yang bertahan di Gaza telah melakukan operasi Taufan al-Aqsa terhadap tentera Israel yang dipropagandakan tidak boleh dikalahkan oleh mana-mana negara. Tambahan pula, kekuatan ketenteraan mereka dibantu oleh kuasa besar dunia yang diketuai oleh Amerika Syarikat yang paling kaya dan kuat dengan senjata yang bertali arus, bersama pasukan armada paling kuat dan pangkalan tentera di seluruh dunia, khususnya di negara Arab yang bersahabat dengannya, di samping beberapa negara bawah pengaruhnya di seluruh dunia.
Pertahanan Israel yang mengepung Gaza berjaya ditembusi dan dikalahkan, malah ramai tenteranya yang dibunuh dan ditawan oleh Hamas, disertai oleh semua kumpulan Islam yang lain.
Kejayaan operasi Taufan al-Aqsa menggoncangkan dunia, sehingga Amerika Syarikat yang jaraknya beribu-ribu kilometer menggerakkan bala tenteranya dari seluruh pelosok dunia untuk datang membantu Israel.
Adapun Israel bertindak balas dengan cara paling ganas tanpa sempadan undang-undang antarabangsa dan perikemanusiaan. Mereka menyerang Gaza, Tebing Barat, Lubnan, Yaman, dan Iran dengan menyerang kawasan awam, membunuh kanak-kanak, wanita, dan warga tua, bahkan menyerang hospital, khemah perlindungan, dan kawasan penempatan awam, sehingga dibantah oleh masyarakat seluruh pelosok dunia yang berperikemanusiaan.
Sehinggakan kerajaan masing-masing yang mengadakan perjanjian pertahanan dengan Amerika Syarikat tidak berani menyahut seruan Amerika Syarikat supaya datang membantu kerana protes rakyat terhadap kekejaman Israel yang disokong oleh Amerika Syarikat.
Adapun negara-negara jiran yang mendapat kekayaan hasil bumi adalah sangat mengecewakan. Bukan sahaja tidak menunaikan perintah Allah supaya membuat persediaan, bahkan sebaliknya menentang operasi Taufan al-Aqsa, malah para ulama’ upahan digunakan supaya menyalahkan para mujahidin yang menentang Israel kerana kononnya menempah bahaya tindakan yang salah dan Hamas bukan ulu al-amr yang wajib ditaati. Mereka menyalahtafsirkan ayat al-Quran:
وَأَنفِقُواْ فِي سَبِيلِ ٱللَّهِ وَلَا تُلۡقُواْ بِأَيۡدِيكُمۡ إِلَى ٱلتَّهۡلُكَةِ وَأَحۡسِنُوٓاْۚ إِنَّ ٱللَّهَ يُحِبُّ ٱلۡمُحۡسِنِينَ ١٩٥
“Dan belanjakanlah (harta bendamu) di jalan Allah, dan janganlah kamu menjatuhkan dirimu sendiri dalam kebinasaan, dan berbuat baiklah, kerana sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berbuat baik.” [Surah al-Baqarah: 195]
Para ulama’ meriwayatkan bahawa Abu Ayyub al-Ansari RA memarahi seorang Islam yang memarahi kalangan tentera Islam yang bertindak mengorbankan diri dalam tentera musuh kerana membinasakan diri mereka. Beliau berkata:
إِنَّمَا نَزَلَتْ هَذِهِ الْآيَةُ فِينَا مَعْشَرَ الْأَنْصَارِ لَمَّا نَصَرَ اللَّهُ نَبِيَّهُ وَأَظْهَرَ الْإِسْلَامَ، قُلْنَا: هَلُمَّ نُقِيمُ فِي أَمْوَالِنَا وَنُصْلِحُهَا.
“Sesungguhnya ayat ini diturunkan berkenaan kami, kalangan Ansar. Apabila Allah telah menolong Nabi-Nya dan memenangkan Islam, kami berkata: Marilah kita menetap bersama harta-harta kita dan memperbaiknya (menguruskannya).” [Hadis riwayat Abu Dawud, Sunan Abi Dawud, Kitab al-Jihad, no. 2512]
Maksudnya, bersikap bakhil dan takut berjihad itulah yang boleh membawa kebinasaan. Maka, paling menjadi sasaran ialah kumpulan yang berjihad di mana-mana sahaja, khususnya Gaza, Tebing Barat, Lubnan, Iran, dan Yaman.
Keganasan terhadap Palestin dipertingkatkan. Pencerobohan terhadap Masjid al-Aqsa dan penduduknya makin melampau. Serangan terhadap Lubnan, Republik Islam Iran, dan Yaman menjadi sasaran secara besar-besaran.
Semua kumpulan muqawamah (perjuangan) yang berjihad gagal dikalahkan kerana kekuatan aqidah dan perpaduan yang kukuh. Gaza dan Tebing Barat tidak menyerah kalah. Semua penduduknya daripada kalangan lelaki, wanita, warga tua, muda, sehinggalah kanak-kanak bangkit melawan dengan apa sahaja. Mereka menggunakan apa-apa senjata yang ada daripada senapang, pistol, sehinggalah pisau, batu, dan tangan kosong. Mereka berpegang pada keimanan dan haram menyerah kalah.
Kumpulan muqawamah melibatkan semua pihak daripada semua mazhab Sunni dan Syiah; daripada Hizbullah dan Jama‘ah Islamiyyah, Hamas, Tanzim Jihad, sehingga kumpulan sekular dan bukan Islam, walaupun media sengaja menggembar-gemburkan mazhab Syiah Hizbullah dan Ansarullah sahaja.
Republik Islam Iran diserang oleh Amerika Syarikat, Israel, dan negara sekutu Barat, termasuk sokongan negara jiran yang mengecewakan yang memberikan kemudahan pangkalan dan ruang udara. Namun begitu, Iran gagal dikalahkan dengan senjata pelbagai jenis sehinggalah media dan kumpulan pengacau dalam negeri bagi menjatuhkan kerajaan dari dalam.
Iran yang mempunyai beberapa lapis benteng pertahanan gagal dikalahkan dengan serangan dan kepungan dari segenap penjuru. Benteng pertahanan perpaduan rakyat bersama kepimpinan ulama’ disatukan melalui islah dan tajdid, berkonsepkan Wilayah al-Faqih (kepimpinan para fuqaha’ semua mazhab) yang berubah daripada Wilayah al-Mahdi al-Muntazar (kepimpinan Imam Mahdi yang ditunggu kelahirannya) sahaja yang dikongkong pada zaman Shah Iran.
Para ulama’ rasmi pimpinan negara mengarahkan agar kembali semula kepada konsep para imam Ahli al-Bait yang mengharamkan celaan terhadap para Ummahat al-Mu’minin dan para sahabat RA. Akan tetapi, usaha ini ditolak oleh negara jiran yang mengecewakan.
Di samping itu, Republik Islam Iran mewujudkan peranan Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) dan tentera daripada semua cabang yang telah ditarbiahkan berserta para ilmuwan saintis. Kesemua mereka ialah lapisan benteng yang kukuh. Mereka turut menyediakan bekalan makanan dan senjata yang cukup sehingga gagal dikepung.
Sementara itu, Yaman menjadi serangan yang bertubi-tubi, namun berjaya mencipta kerajaan campuran daripada semua mazhab dan kabilah yang gagal dipecahbelahkan oleh permainan isu mazhab Syiah dan Houthi.
Apabila Selat Hormuz dapat dikawal oleh Iran, tindakan ini menggerakkan negara-negara yang mengecewakan untuk bersatu bersama Amerika Syarikat dan Israel kerana membahayakan perjalanan nadi ekonomi yang bergantung pada telaga minyak dan perjalanannya. Mereka keluar menggerakkan negara-negara yang mengecewakan Palestin agar terlibat bersama Amerika Syarikat dan Israel.
Yaman juga menjadi sasaran serangan negara Arab setelah Amerika Syarikat dan sekutunya gagal mengalahkannya demi mempertahankan Selat Bab al-Mandab selepas gagal di Selat Hormuz. Situasi boleh menjadi lebih buruk jika Yaman menguasai selat tersebut, maka negara-negara Teluk bertindak menyerang Yaman. Keadaan lebih tegang apabila Yaman bertindak menguasai Bab al-Mandab.
Oleh yang demikian, nyata dengan terang lagi bersuluh bahawa negara yang mengecewakan Palestin meletakkan kepentingan harta dan takhta lebih afdal daripada berjihad menentang musuh Allah dan agama-Nya yang menakluk Bait al-Maqdis. Maka, ternyata benarnya firman Allah SWT:
قُلۡ إِن كَانَ ءَابَآؤُكُمۡ وَأَبۡنَآؤُكُمۡ وَإِخۡوَٰنُكُمۡ وَأَزۡوَٰجُكُمۡ وَعَشِيرَتُكُمۡ وَأَمۡوَٰلٌ ٱقۡتَرَفۡتُمُوهَا وَتِجَٰرَةٞ تَخۡشَوۡنَ كَسَادَهَا وَمَسَٰكِنُ تَرۡضَوۡنَهَآ أَحَبَّ إِلَيۡكُم مِّنَ ٱللَّهِ وَرَسُولِهِۦ وَجِهَادٖ فِي سَبِيلِهِۦ فَتَرَبَّصُواْ حَتَّىٰ يَأۡتِيَ ٱللَّهُ بِأَمۡرِهِۦۗ وَٱللَّهُ لَا يَهۡدِي ٱلۡقَوۡمَ ٱلۡفَٰسِقِينَ ٢٤
“Katakanlah, ‘Jika bapa-bapamu, anak-anakmu, saudara-saudaramu, isteri-isterimu, kaum keluargamu, harta kekayaan yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu khuatir akan kerugiannya, dan tempat tinggal yang kamu sukai adalah lebih kamu cintai daripada Allah dan Rasul-Nya serta daripada berjihad di jalan-Nya, maka tunggulah sampai Allah mendatangkan keputusan-Nya.’ Dan Allah tidak memberikan petunjuk kepada orang-orang yang fasiq.” [Surah al-Tawbah: 24]
Bagi membersihkan diri yang kotor, Makkah, tanah suci pertama dijadikan topeng semula, sebagaimana Makkah pernah dijadikan topeng untuk menjatuhkan Khilafah ‘Uthmaniyyah pada abad yang lalu melalui Revolusi Agung Arab bagi mengambil alih jawatan khalifah dengan sokongan British, kuasa musuh Islam dan sekutunya yang menyerang ‘Uthmaniyyah apabila perisytiharan perangnya dilakukan di Makkah. Hujah yang sama dilakukan oleh para pemimpin Makkah yang menentang Rasulullah SAW. Firman Allah SWT:
إِنَّمَا يَعۡمُرُ مَسَٰجِدَ ٱللَّهِ مَنۡ ءَامَنَ بِٱللَّهِ وَٱلۡيَوۡمِ ٱلۡأٓخِرِ وَأَقَامَ ٱلصَّلَوٰةَ وَءَاتَى ٱلزَّكَوٰةَ وَلَمۡ يَخۡشَ إِلَّا ٱللَّهَۖ فَعَسَىٰٓ أُوْلَـٰٓئِكَ أَن يَكُونُواْ مِنَ ٱلۡمُهۡتَدِينَ ١٨ ۞أَجَعَلۡتُمۡ سِقَايَةَ ٱلۡحَآجِّ وَعِمَارَةَ ٱلۡمَسۡجِدِ ٱلۡحَرَامِ كَمَنۡ ءَامَنَ بِٱللَّهِ وَٱلۡيَوۡمِ ٱلۡأٓخِرِ وَجَٰهَدَ فِي سَبِيلِ ٱللَّهِۚ لَا يَسۡتَوُۥنَ عِندَ ٱللَّهِۗ وَٱللَّهُ لَا يَهۡدِي ٱلۡقَوۡمَ ٱلظَّـٰلِمِينَ ١٩ ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ وَهَاجَرُواْ وَجَٰهَدُواْ فِي سَبِيلِ ٱللَّهِ بِأَمۡوَٰلِهِمۡ وَأَنفُسِهِمۡ أَعۡظَمُ دَرَجَةً عِندَ ٱللَّهِۚ وَأُوْلَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلۡفَآئِزُونَ ٢٠
“Hanya yang memakmurkan masjid-masjid Allah ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan Hari Kemudian, serta tetap mendirikan solat, menunaikan zakat, dan tidak takut (kepada sesiapa pun) selain kepada Allah, maka merekalah orang-orang yang diharapkan termasuk golongan orang-orang yang mendapat petunjuk. (18) Adakah (orang-orang) yang memberi minum orang-orang yang mengerjakan haji dan mengurus Masjid al-Haram kamu samakan dengan orang-orang yang beriman kepada Allah dan Hari Kemudian serta berjihad di jalan Allah? Mereka tidak sama di sisi Allah; dan Allah tidak memberikan petunjuk kepada kaum yang zalim. (19) Orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad di jalan Allah dengan harta benda dan diri mereka adalah lebih tinggi darjatnya di sisi Allah; dan itulah orang-orang yang mendapat kemenangan. (20)” [Surah al-Tawbah: 18–20]
Mereka yang takut berjihad menegakkan Islam serta membebaskan Bait al-Maqdis dan Palestin tidak layak mempertahankan Makkah. Pada mereka, mempertahankan istana dan telaga minyak lebih penting daripada Makkah, bahkan mereka mengotorkan Makkah dengan hiburan yang melalaikan. Firman Allah SWT:
وَمَا لَهُمۡ أَلَّا يُعَذِّبَهُمُ ٱللَّهُ وَهُمۡ يَصُدُّونَ عَنِ ٱلۡمَسۡجِدِ ٱلۡحَرَامِ وَمَا كَانُوٓاْ أَوۡلِيَآءَهُۥٓۚ إِنۡ أَوۡلِيَآؤُهُۥٓ إِلَّا ٱلۡمُتَّقُونَ وَلَٰكِنَّ أَكۡثَرَهُمۡ لَا يَعۡلَمُونَ ٣٤ وَمَا كَانَ صَلَاتُهُمۡ عِندَ ٱلۡبَيۡتِ إِلَّا مُكَآءٗ وَتَصۡدِيَةٗۚ فَذُوقُواْ ٱلۡعَذَابَ بِمَا كُنتُمۡ تَكۡفُرُونَ ٣٥
“Kenapa Allah tidak mengazab mereka, padahal mereka menghalangi orang untuk (mendatangi) Masjid al-Haram dan mereka bukanlah orang-orang yang berhak menguasainya? Orang-orang yang berhak menguasainya hanyalah orang-orang yang bertaqwa, tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui. (34) Sembahyang mereka di sekitar Baitullah itu tidak lain hanyalah siulan dan tepukan tangan. Maka, rasakanlah azab disebabkan kekafiranmu itu. (35)” [Surah al-Anfal: 34–35]
Bahkan, mereka berwala’ kepada musuh Islam dan bersedia menjadi wakil musuh dengan menjadi pengkhianat atas nama pendamai yang memujuk supaya Palestin menyerah kalah kepada musuh. Mereka menganjurkan gencatan senjata melalui persidangan bersama Amerika Syarikat bagi menyelamatkan Israel dengan resolusi melucutkan senjata kumpulan Islam, sebaliknya memberi kebebasan bersenjata kepada Israel.
Maka, negara yang mengecewakan memaksa jihad yang diwajibkan oleh Allah dibatalkan kerana takhta dan harta lebih penting daripada jihad, malah sedia berperang bersama Amerika Syarikat dan Israel serta mengecewakan kumpulan Islam yang berjihad. Jawablah pertanyaan Allah di dunia sebelum disoal pada Hari Akhirat kelak bersama jawapannya yang betul atau salah yang disediakan.
Firman Allah SWT:
وَمَا لَكُمۡ لَا تُقَٰتِلُونَ فِي سَبِيلِ ٱللَّهِ وَٱلۡمُسۡتَضۡعَفِينَ مِنَ ٱلرِّجَالِ وَٱلنِّسَآءِ وَٱلۡوِلۡدَٰنِ ٱلَّذِينَ يَقُولُونَ رَبَّنَآ أَخۡرِجۡنَا مِنۡ هَٰذِهِ ٱلۡقَرۡيَةِ ٱلظَّالِمِ أَهۡلُهَا وَٱجۡعَل لَّنَا مِن لَّدُنكَ وَلِيّٗا وَٱجۡعَل لَّنَا مِن لَّدُنكَ نَصِيرًا ٧٥ ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ يُقَٰتِلُونَ فِي سَبِيلِ ٱللَّهِۖ وَٱلَّذِينَ كَفَرُواْ يُقَٰتِلُونَ فِي سَبِيلِ ٱلطَّـٰغُوتِ فَقَٰتِلُوٓاْ أَوۡلِيَآءَ ٱلشَّيۡطَٰنِۖ إِنَّ كَيۡدَ ٱلشَّيۡطَٰنِ كَانَ ضَعِيفًا ٧٦
“Mengapa kamu tidak mahu berperang di jalan Allah dan (membela) orang-orang yang lemah, baik lelaki-lelaki, wanita-wanita, mahupun anak-anak yang semuanya berdoa, ‘Ya Tuhan kami, keluarkanlah kami dari negeri ini (Makkah) yang zalim penduduknya, dan berilah kami pelindung daripada sisi Engkau serta berilah kami penolong daripada sisi Engkau!’ (75) Orang-orang yang beriman berperang di jalan Allah dan orang-orang yang kafir berperang di jalan taghut. Oleh sebab itu, perangilah kawan-kawan syaitan itu, kerana sesungguhnya tipu daya syaitan itu adalah lemah. (76)” [Surah al-Nisa’: 75–76]
Hanya dua pilihan; sama ada berjihad di jalan Allah melawan para pemimpin syaitan yang lemah ataupun menyerah kepada syaitan. Bersama jihad yang diwajibkan dan dijanjikan kemenangan ataupun bersama syaitan yang pasti kalah serta merugikan di dunia dan di akhirat.
ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 17 Rabi‘ al-Akhir 1448 / 29 September 2026
[Bil: 63 / 2026]




























