Oleh : Nasrun Abdullah
HULU TERENGGANU – Banjir yang melanda daerah ini saban tahun menjadi satu peluang kepada seluruh jentera PAS di semua peringkat menyumbangkan khidmat kepada masyarakat.
Pengarah Khidmat Malaysia Terengganu Dr Azman Ibrahim berkata, banjir bukannya masa sesuai untuk berpolitik seperti sesetengah pihak, namun ia adalah detik ketika ‘tangan perlu dihulurkan’ kepada mangsa yang terlibat tanpa mengira apa fahaman politik.


Katanya, ketika musim banjir tahun lepas, Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara pernah meminta penjelasan dari Majlis Gerakan Negara berhubung dengan perbelanjaan mengurus banjir yang mencecah RM800 juta tetapi kepincangannya terlihat di sana-sini.
“Persiapan dan khidmat tak sepadan dengan belanja. Sepatutnya dengan wang RM800 juta, kemudahan untuk mangsa banjir kita setaraf dengan Jepun. Ada ruang yang selesa dan privasi untuk keluarga.
“Mangsa banjir kita duduk dalam bilik darjah, tikar plastik, bercampur gaul tanpa sebarang ruang untuk keluarga. Mangsa banjir lebih banyak makan sardine. Ke mana perginya ratusan juta ini?,”soal beliau.
Anggota Badan Perhubungan PAS Terengganu itu berkata, pada tahun lepas PAS mengurus banjir untuk negeri Terengganu yang melanda 6 daerah dan 3 kali gelombang banjir dengan kos kira-kira RM120,000 sahaja.
“termasuklah bantuan uniform dan kelengkapan sekolah untuk 1000 orang anak-anak mangsa banjir. Kalau kita ada bejet berjuta ringgit, terlalu banyak yang boleh kita buat.


Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Pelancaran Khidmat Malaysia Hulu Terengganu, di Pejabat Pas Kawasan Hulu Terengganu di sini, pada Ahad 13 Disember.
Menurutya, PAS boleh menguruskan bencana yang lebih besar umpama tahun 2013 di Terengganu dan tahun lalu di Kelantan kerana sifat rela berkorban ahli-ahlinya.
“Kelebihan kita orang PAS, asset milik kita adalah juga aset parti diketika ianya diperlukan. Samada 4×4 (pacuan empat roda), bot dan sebagainya,
“Semangat orang PAS untuk membantu orang lain adalah aset kita yang paling mahal,”ujar beliau lagi.
Sementara itu, Ustaz Ismail Othman, mewakili Yang DiPertua PAS Hulu Terengganu mengalu-alukan sumbangan semua pihak dalam menghadapi ujian Allah itu dan mendoakan semoga kita tidak diuji dgn ujian yang tidak mampu kita hadapi.
“Aset yang menjadi sumber aktiviti Khidmat Malaysia adalah dari poket-poket orang ramai yang prihatin,
“

Dalam majlis tersebut turut dilancarkan Dana Banjir bagi mengerakkan Khidmat Malaysia Hulu Terengganu dan sumbangan semua pihak sentiasa dialu-alukan bagi memastikan kelancaran operasi.
Segala sumbangan boleh terus berhubung dengan Saudara Mohd Safari Abu (0199923555) yang merupakan Ketua Operasi Khidmat Malaysia kawasan terbabit.
Turut hadir dalam majlis itu adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manir yang juga selaku Pengerusi Khidmat Malaysia Hulu Terengganu YB Ustaz Hilmi bin Dato Harun, Pengerusi Yayasan Amal Terengganu Dr Suhazeli Abdullah dan Pengarah Khidmat Malaysia Zon Timur Haji Zulkifli Md Yakim.





























