Musuh Yang Berjauhan Bersatu Datang Berperang Bersama Zionis

12

– ISLAM YANG BERSAUDARA DAN BERJIRAN PULA MENGECEWAKAN

Beginilah nasib malang Palestin dan Bait al-Maqdis yang wajib dipertahankan mengikut nas al-Quran dan al-Sunnah, yang menjadi kesepakatan semua mazhab Ahli Kiblat (umat Islam). Allah mewajibkan seluruh umat Islam melalui kerajaan mereka berjihad menentang musuh yang datang dari segenap penjuru dunia.

Namun begitu, dapat disaksikan dengan terang dan bersuluh kelemahan dan pengkhianatan yang menjatuhkan kuasa besar Islam yang memimpin dunia. Tiba-tiba, kuasa tersebut jatuh dan hilang akibat pengkhianatan umat Islam sendiri bersama musuh yang mendapat peluang. Selepas itu, bencana menimpa umat Islam, tanah air mereka dijajah dan terus dijajah bersama pemikirannya. Kemudiannya, mereka menjadi bangsa yang hina, hilang kehebatan, menyembah dunia dan takut akan mati, sepertimana amaran Allah dan Rasul-Nya SAW.

Di samping itu, harta kekayaan kurniaan Allah dan takhta yang dibahagikan oleh penjajah menjadi pujaan mereka, sedangkan tiada gunanya meskipun harta itu disembah laksana tuhan yang dipuja lebih daripada Allah.

Walaupun mereka masih bersolat, menunaikan haji dan beribadat menghadap ke arah rumah Allah (Kaabah) di Makkah, urusan dunia yang menjadi kewajipan dan ketetapan ke atas umat Islam dipisahkan daripada ibadat kepada Allah. Hal ini berlaku apabila White House dijadikan kiblat berimamkan Amerika Syarikat yang bermazhab Zionis.

Antara kewajipan Islam paling dasar yang menjadi perintah Allah ialah berjihad mempertahankan dan membebaskan Palestin serta Masjid al-Aqsa, kiblat pertama umat Islam. Perintah yang tidak boleh dipandang rendah ini tiba-tiba menjadi perkara yang paling diperkecilkan.

Betapa tekadnya Amerika Syarikat yang bermazhab Zionis walaupun berjarak ribuan kilometer dari Israel membawa bala tentera dan mengarahkan sekutunya dari seluruh pelosok dunia. Tujuannya bagi mempertahankan Zionis Israel, yang menjadi pusat mazhabnya.

Keadaan berlaku sebaliknya di negara-negara Islam, khususnya negara Arab yang berjiran dengan Palestin dan Bait al-Maqdis yang dibelasah dan diganyang tanpa berperikemanusiaan, sehingga menggerakkan hati kalangan bukan Islam yang bersimpati kerana sifat kemanusiaan mereka.

Adapun negara-negara Islam dan Arab yang paling dekat, seagama dan bersaudara dengan Palestin pula sangat mengecewakan. Mereka menjadikan khusyuk beribadat kepada takhta dan harta lebih utama daripada beribadat kepada Allah yang mewajibkan berjihad mempertahankan Islam, umat dan tanah airnya.

Padahal hukum ini tidak ada khilaf dalam kalangan semua mazhab Ahli Kiblat daripada kalangan Sunni, Syiah, Ibadi dan lain-lain yang sama rukun iman dan Islamnya. Walaupun mereka berkhilaf dalam beberapa perkara furu‘ (cabang), dalam kewajipan terhadap Palestin dan Masjid al-Aqsa tidak ada khilaf, malah hukum haram berwala’ kepada musuh Islam juga tidak ada khilaf.

Namun begitu, mereka mengabaikan hukum itu kerana sikap mengenang jasa musuh yang telah menjatuhkan Islam. Mereka ini juga mendapat bahagian pusaka daripada kejatuhan Islam apabila diberikan harta dan takhta yang tidak berdaulat.

Hakikatnya, pencerobohan terhadap Palestin dan Bait al-Maqdis adalah masalah nyata permusuhan bukan Islam terhadap Islam yang mewajibkan umat Islam berjihad dengan harta dan jiwa raga mereka. Hal ini bukan lagi masalah furu‘.

Keadaan inilah yang dimaksudkan dengan firman Allah SWT:

قُلۡ إِن كَانَ ءَابَآؤُكُمۡ وَأَبۡنَآؤُكُمۡ وَإِخۡوَٰنُكُمۡ وَأَزۡوَٰجُكُمۡ وَعَشِيرَتُكُمۡ وَأَمۡوَٰلٌ ٱقۡتَرَفۡتُمُوهَا وَتِجَٰرَةٞ تَخۡشَوۡنَ كَسَادَهَا وَمَسَٰكِنُ تَرۡضَوۡنَهَآ أَحَبَّ إِلَيۡكُم مِّنَ ٱللَّهِ وَرَسُولِهِۦ وَجِهَادٖ فِي سَبِيلِهِۦ فَتَرَبَّصُواْ حَتَّىٰ يَأۡتِيَ ٱللَّهُ بِأَمۡرِهِۦۗ وَٱللَّهُ لَا يَهۡدِي ٱلۡقَوۡمَ ٱلۡفَٰسِقِينَ ٢٤

“Katakanlah, ‘Jika bapa-bapa, anak-anak, saudara-saudara, isteri-isteri, kaum keluargamu, harta kekayaan yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu khuatir akan kerugiannya, dan tempat tinggal yang kamu sukai, adalah lebih kamu cintai daripada Allah dan Rasul-Nya dan daripada berjihad di jalan-Nya, maka tunggulah sampai Allah mendatangkan keputusan-Nya.’ Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasiq.” [Surah al-Tawbah: 24]

Firman Allah SWT:

وَأَنفِقُواْ فِي سَبِيلِ ٱللَّهِ وَلَا تُلۡقُواْ بِأَيۡدِيكُمۡ إِلَى ٱلتَّهۡلُكَةِ وَأَحۡسِنُوٓاْۚ إِنَّ ٱللَّهَ يُحِبُّ ٱلۡمُحۡسِنِينَ ١٩٥

“Dan belanjakanlah (harta bendamu) di jalan Allah, dan janganlah kamu menjatuhkan dirimu sendiri ke dalam kebinasaan, dan berbuat baiklah, kerana sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berbuat baik.” [Surah al-Baqarah: 195]

Tidak melaksanakan kewajipan jihad bermakna menempah kebinasaan, bukan keselamatan. Akibatnya, mereka akan mendapat seksa dunia yang paling hina dengan menjadi hamba penjajah dan kehidupan yang tiada keberkatan apabila harta yang mereka miliki akan membakar diri mereka dengan kejahatan dan maksiat.

Sabda Rasulullah SAW:

لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ ‌وَيْلٌ ‌لِلْعَرَبِ ‌مِنْ ‌شَرٍّ قَدِ اقْتَرَبَ، فُتِحَ الْيَوْمَ مِنْ رَدْمِ يَأْجُوجَ وَمَأْجُوجَ مِثْلُ هَذِهِ.

“Tiada Tuhan melainkan Allah. Celakalah orang Arab akibat kejahatan yang telah semakin hampir. Pada hari ini, telah terbuka daripada tembok Yakjuj dan Makjuj sebesar ini.”

وَعَقَدَ سُفْيَانُ بِيَدِهِ عَشَرَةً، قُلْتُ: يَا رَسُولَ اللهِ أَنَهْلِكُ وَفِينَا الصَّالِحُونَ؟

Sufyan menggenggam tangannya lalu membentuk angka sepuluh. Aku (Zainab binti Jahsy) bertanya, “Wahai Rasulullah, adakah kami akan binasa sedangkan dalam kalangan kami terdapat orang-orang yang soleh?”

قَالَ: نَعَمْ، ‌إِذَا ‌كَثُرَ ‌الْخَبَثُ.

Baginda menjawab, “Ya, apabila banyaknya kejahatan (maksiat, dosa seperti berzina, minum arak dan lain-lain).” [Hadis Muttafaq ‘Alayh: Riwayat al-Bukhari, Sahih al-Bukhari, Kitab Ahadith al-Anbiya’, no. 3346, dan Muslim, Sahih Muslim, Kitab al-Fitan wa Asyrati al-Sa‘ah, no. 2880, daripada Zainab binti Jahsy. Lafaz bagi Muslim]

Perkara buruk itu berlaku disebabkan umat Islam mendapat kemewahan dan kuasa sehingga merasakan mereka mengatasi undang-undang dan hukum Allah. Akibatnya, mereka bersifat takbur dan larut dengan nafsu keduniaan yang menginginkan harta dan kuasa.

Kuasa ini dihadiahkan oleh negara kuasa besar yang mengangkat mereka atas jasa mereka membantu menghapuskan kuasa Islam, malah diberi bersama kekuasaan itu harta kekayaan yang melalaikan. Mereka tidak tahu mensyukuri ni‘mat kerana jahil akibat meninggalkan agama yang sepatutnya mendidik mereka dengan ilmu fardu ain dan fardu kifayah dalam urusan agama dan dunia.

Hal ini dapat disaksikan pada zaman mutakhir ini apabila para ulama’ dan ilmuwan dalam hal dunia bukan datang daripada bangsa Arab. Adapun bangsa Arab diberikan kuasa, takhta dan kemewahan yang mengejutkan, khususnya kalangan Arab Badwi. Mereka yang dahulunya menjadi gembala di padang pasir juga kini bertakhta dan berharta, sepertimana yang disebut oleh Rasulullah SAW menjadi tanda kemusnahan pada akhir zaman:

وَأَنْ تَرَى الْحُفَاةَ الْعُرَاةَ الْعَالَةَ رِعَاءَ الشَّاءِ ‌يَتَطَاوَلُونَ ‌فِي ‌الْبُنْيَانِ.

“Dan engkau melihat golongan yang tidak berkasut, tidak berpakaian, miskin serta merupakan penggembala kambing, berlumba-lumba meninggikan binaan.” [Hadis riwayat Muslim, Sahih Muslim, Kitab al-Iman, no. 8, daripada ‘Umar bin al-Khattab]

Mereka yang dahulunya miskin dan papa kedana menjadi gembala kambing dan unta yang tidak cukup pakaiannya, tiba-tiba berharta mewah (selepas adanya hasil minyak). Namun, mereka tidak tahu memanfaatkan harta lalu berlumba-lumba mendirikan bangunan tinggi pencakar langit. Malah, mereka juga bakhil membantu jiran mereka, Palestin yang menderita di hadapan mata.

Allah menjanjikan hukuman yang menghinakan mereka, apabila bangsa lain yang bukan Arab bangun membela dan mempertahankan Palestin. Firman Allah SWT:

هَـٰٓأَنتُمْ هَـٰٓؤُلَآءِ تُدۡعَوۡنَ لِتُنفِقُواْ فِي سَبِيلِ ٱللَّهِ فَمِنكُم مَّن يَبۡخَلُۖ وَمَن يَبۡخَلۡ فَإِنَّمَا يَبۡخَلُ عَن نَّفۡسِهِۦۚ وَٱللَّهُ ٱلۡغَنِيُّ وَأَنتُمُ ٱلۡفُقَرَآءُۚ وَإِن تَتَوَلَّوۡاْ يَسۡتَبۡدِلۡ قَوۡمًا غَيۡرَكُمۡ ثُمَّ لَا يَكُونُوٓاْ أَمۡثَٰلَكُم ٣٨

“Ingatlah, kamu ini orang-orang yang diajak untuk menafkahkan (hartamu) pada jalan Allah. Maka, antara kamu ada yang bakhil, dan siapa yang bakhil sesungguhnya dia hanyalah bakhil terhadap dirinya sendiri. Dan Allah-lah Yang Maha Kaya sedangkan kamulah orang-orang yang berkehendak (kepada-Nya); dan jika kamu berpaling nescaya Dia akan mengganti (kamu) dengan kaum yang lain; dan mereka tidak akan seperti kamu ini.” [Surah Muhammad: 38]

Kaum Arab dan Islam bersamanya yang dihina kerana berpihak kepada Zionis mengambil langkah menyerah kalah melalui kerjasama yang dinamakan Pakatan Abraham (Abraham Accords). Kerjasama ini dicadangkan oleh Amerika Syarikat dan Israel (menggunakan nama Nabi Ibrahim AS) bagi menyelamatkan Israel yang akhirnya dikalahkan oleh para mujahidin Palestin yang beriman dan berbentengkan jenama Islam.

Alangkah hinanya negara yang mengecewakan itu apabila dilantik menjadi posmen membawa tugas gencatan senjata yang menghinakan dengan syarat yang paling bodoh! Syarat ini termasuklah melucutkan senjata pejuang Palestin dan menyerang semua negara serta kumpulan Islam yang membantu Palestin melalui pangkalan tentera Amerika Syarikat dan sekutunya yang bertapak di bumi Arab yang dihadiahkan.

Negara Arab sendiri memberi kemudahan dan jalan mudah bagi melancarkan serangan ke atas Iran daripada pangkalan tersebut. Hal ini berlaku apabila mereka menjadikan sumber kekayaan, Selat Hormuz dan Bab al-Mandab (Pintu Laut Merah) lebih mulia daripada Bait al-Maqdis dan saudara seagama, iaitu rakyat Palestin.

Allah mewajibkan umat Islam berjihad membelanjakan harta untuk persediaan menghadapi musuh. Firman Allah SWT:

وَأَعِدُّواْ لَهُم مَّا ٱسۡتَطَعۡتُم مِّن قُوَّةٖ وَمِن رِّبَاطِ ٱلۡخَيۡلِ تُرۡهِبُونَ بِهِۦ عَدُوَّ ٱللَّهِ وَعَدُوَّكُمۡ وَءَاخَرِينَ مِن دُونِهِمۡ لَا تَعۡلَمُونَهُمُ ٱللَّهُ يَعۡلَمُهُمۡۚ وَمَا تُنفِقُواْ مِن شَيۡءٖ فِي سَبِيلِ ٱللَّهِ يُوَفَّ إِلَيۡكُمۡ وَأَنتُمۡ لَا تُظۡلَمُونَ ٦٠

“Dan siapkanlah untuk menghadapi mereka kekuatan apa sahaja yang kamu sanggupi dan daripada kuda-kuda yang ditambat untuk berperang (yang dengan persiapan itu) kamu menggentarkan musuh Allah dan musuhmu, serta orang-orang selain mereka yang kamu tidak mengetahuinya; sedang Allah mengetahuinya. Apa sahaja yang kamu nafkahkan pada jalan Allah nescaya akan dibalas dengan cukup kepadamu dan kamu tidak akan dianiaya (dirugikan).” [Surah al-Anfal: 60]

Firman Allah SWT lagi:

وَمَا لَكُمۡ لَا تُقَٰتِلُونَ فِي سَبِيلِ ٱللَّهِ وَٱلۡمُسۡتَضۡعَفِينَ مِنَ ٱلرِّجَالِ وَٱلنِّسَآءِ وَٱلۡوِلۡدَٰنِ ٱلَّذِينَ يَقُولُونَ رَبَّنَآ أَخۡرِجۡنَا مِنۡ هَٰذِهِ ٱلۡقَرۡيَةِ ٱلظَّالِمِ أَهۡلُهَا وَٱجۡعَل لَّنَا مِن لَّدُنكَ وَلِيّٗا وَٱجۡعَل لَّنَا مِن لَّدُنكَ نَصِيرًا ٧٥ ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ يُقَٰتِلُونَ فِي سَبِيلِ ٱللَّهِۖ وَٱلَّذِينَ كَفَرُواْ يُقَٰتِلُونَ فِي سَبِيلِ ٱلطَّـٰغُوتِ فَقَٰتِلُوٓاْ أَوۡلِيَآءَ ٱلشَّيۡطَٰنِۖ إِنَّ كَيۡدَ ٱلشَّيۡطَٰنِ كَانَ ضَعِيفًا ٧٦

“Mengapa kamu tidak mahu berperang di jalan Allah dan (membela) orang-orang yang lemah baik lelaki, wanita mahupun anak-anak yang semuanya berdoa, ‘Wahai Tuhan kami, keluarkanlah kami dari negeri ini (Makkah) yang zalim penduduknya dan berilah kami pelindung daripada sisi Engkau, dan berilah kami penolong daripada sisi Engkau!’ (75) Orang-orang yang beriman berperang di jalan Allah, dan orang-orang yang kafir berperang di jalan taghut, maka perangilah kawan-kawan syaitan itu, kerana sesungguhnya tipu daya syaitan itu adalah lemah. (76)” [Surah al-Nisa’: 75-76]

Tiba-tiba, harta itu dibelanjakan kepada bala tentera musuh bagi membina pangkalannya di bumi Arab untuk menjaga keamanan Israel dan kawasan hasil minyak yang menjadi sumber kekayaannya. Bagi mereka, menjaga harta dan takhta lebih afdal daripada berjihad menegakkan Islam dan mempertahankan umat dan tanah sucinya yang diwajibkan oleh Allah.

Sebaliknya, Iran dan kumpulan Islam diperangi habis-habisan demi menyelamatkan negara Yahudi Zionis yang bertapak di Israel dengan kemudahan pangkalan tentera yang berselerak di bumi Arab dan Islam.

Apabila Iran bersama kumpulan Islam membalas serangan terhadap pangkalan itu bagi menunaikan kewajipan jihad, tiba-tiba Iran pula dikutuk kerana menceroboh. Adapun Amerika Syarikat dan Israel yang menyerang tidak dikutuk, bahkan dibetulkan tindakan pencerobohan itu demi menyelamatkan Israel dan keamanan negara serantau. Tindakan ini mengecewakan Palestin yang dizalimi apabila saudara seagama yang terdekat menolong pihak yang zalim.

Beberapa negara Arab dan Islam boleh diarah oleh Amerika Syarikat dan sekutu Zionisnya supaya menjadi pendamai dengan Israel. Sedangkan Israel sendiri menolak perdamaian kerana ingin meneruskan perjuangannya menegakkan Negara Agung Israel yang berpusat di Bait al-Maqdis, dan menghapuskan Palestin serta beberapa negara Arab.

Amerika Syarikat pula dijadikan penasihat perdamaian bersama para pemimpin negara yang mendapat hadiah takhta dan harta apabila pergi menyembah pemimpin Zionis atau dijemput datang menyertai perbincangan bagi mendengar nasihatnya. Mereka menjadikan musuh sebagai wali yang dipatuhi segala cadangannya, seperti menyertai Pakatan Abraham (agama baharu campuran Yahudi, Kristian dan Islam), mengadakan normalisasi dengan Israel dan melucutkan senjata pejuang Palestin yang berjihad supaya Israel sahaja mempunyai keizinan memiliki segala jenis senjata.

Inilah amaran Allah yang mengharamkannya:

۞ يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ لَا تَتَّخِذُواْ ٱلۡيَهُودَ وَٱلنَّصَٰرَىٰٓ أَوۡلِيَآءَۘ بَعۡضُهُمۡ أَوۡلِيَآءُ بَعۡضٖۚ وَمَن يَتَوَلَّهُم مِّنكُمۡ فَإِنَّهُۥ مِنۡهُمۡۗ إِنَّ ٱللَّهَ لَا يَهۡدِي ٱلۡقَوۡمَ ٱلظَّـٰلِمِينَ ٥١ فَتَرَى ٱلَّذِينَ فِي قُلُوبِهِم مَّرَضٞ يُسَٰرِعُونَ فِيهِمۡ يَقُولُونَ نَخۡشَىٰٓ أَن تُصِيبَنَا دَآئِرَةٞۚ فَعَسَى ٱللَّهُ أَن يَأۡتِيَ بِٱلۡفَتۡحِ أَوۡ أَمۡرٖ مِّنۡ عِندِهِۦ فَيُصۡبِحُواْ عَلَىٰ مَآ أَسَرُّواْ فِيٓ أَنفُسِهِمۡ نَٰدِمِينَ ٥٢ وَيَقُولُ ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْ أَهَـٰٓؤُلَآءِ ٱلَّذِينَ أَقۡسَمُواْ بِٱللَّهِ جَهۡدَ أَيۡمَٰنِهِمۡ إِنَّهُمۡ لَمَعَكُمۡۚ حَبِطَتۡ أَعۡمَٰلُهُمۡ فَأَصۡبَحُواْ خَٰسِرِينَ ٥٣

“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengambil orang-orang Yahudi dan Nasrani menjadi pemimpin-pemimpinmu! Sebahagian mereka adalah pemimpin bagi sebahagian yang lain. Sesiapa antara kamu mengambil mereka menjadi pemimpin, maka sesungguhnya orang itu termasuk golongan mereka. Sesungguhnya, Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang zalim. (51) Maka, kamu akan melihat orang-orang yang ada penyakit dalam hatinya (orang-orang munafiq) bersegera mendekati mereka (Yahudi dan Nasrani), seraya berkata, ‘Kami takut akan mendapat bencana.’ Mudah-mudahan Allah akan mendatangkan kemenangan (kepada Rasul-Nya), atau sesuatu keputusan daripada sisi-Nya. Maka, kerana itu mereka menjadi menyesal terhadap apa yang mereka rahsiakan dalam diri mereka. (52) Dan orang-orang yang beriman akan mengatakan, ‘Inikah orang-orang yang bersumpah sungguh-sungguh dengan nama Allah, bahawasanya mereka benar-benar berserta kamu?’ Rosak binasalah segala amal mereka, lalu mereka menjadi orang-orang yang rugi. (53)” [Surah al-Ma’idah: 51-53]

Negara-negara ini berwalikan musuh Islam sehingga meninggalkan umat Islam. Hal ini demikian kerana, mereka tidak beriman kepada janji Allah yang memberi pertolongan kepada mereka yang berjihad, namun Allah tetap menyelamatkan Islam dan umatnya yang setia:

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ مَن يَرۡتَدَّ مِنكُمۡ عَن دِينِهِۦ فَسَوۡفَ يَأۡتِي ٱللَّهُ بِقَوۡمٖ يُحِبُّهُمۡ وَيُحِبُّونَهُۥٓ أَذِلَّةٍ عَلَى ٱلۡمُؤۡمِنِينَ أَعِزَّةٍ عَلَى ٱلۡكَٰفِرِينَ يُجَٰهِدُونَ فِي سَبِيلِ ٱللَّهِ وَلَا يَخَافُونَ لَوۡمَةَ لَآئِمٖۚ ذَٰلِكَ فَضۡلُ ٱللَّهِ يُؤۡتِيهِ مَن يَشَآءُۚ وَٱللَّهُ وَٰسِعٌ عَلِيمٌ ٥٤ إِنَّمَا وَلِيُّكُمُ ٱللَّهُ وَرَسُولُهُۥ وَٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ ٱلَّذِينَ يُقِيمُونَ ٱلصَّلَوٰةَ وَيُؤۡتُونَ ٱلزَّكَوٰةَ وَهُمۡ رَٰكِعُونَ ٥٥ وَمَن يَتَوَلَّ ٱللَّهَ وَرَسُولَهُۥ وَٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ فَإِنَّ حِزۡبَ ٱللَّهِ هُمُ ٱلۡغَٰلِبُونَ ٥٦

“Wahai orang-orang yang beriman, sesiapa antara kamu yang murtad daripada agamanya, maka kelak Allah akan mendatangkan suatu kaum yang Allah mencintai mereka dan mereka pun mencintai-Nya, yang bersikap lemah lembut terhadap orang yang Mukmin, yang bersikap keras terhadap orang-orang kafir, yang berjihad di jalan Allah, dan yang tidak takut kepada celaan orang yang suka mencela. Itulah kurniaan Allah, diberikan-Nya kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya, dan Allah Maha Luas (pemberian-Nya), lagi Maha Mengetahui. (54) Sesungguhnya, penolong kamu hanyalah Allah, Rasul-Nya, dan orang-orang yang beriman, yang mendirikan solat dan menunaikan zakat, seraya mereka tunduk (kepada Allah). (55) Dan sesiapa mengambil Allah, Rasul-Nya dan orang-orang yang beriman menjadi penolongnya, maka sesungguhnya pengikut (agama) Allah itulah yang pasti menang. (56)” [Surah al-Ma’idah: 54-56]

Terdapat banyak hadis yang menegaskan bahawa penduduk Yaman dan Iran akan mengambil alih tanggungjawab mempertahankan Islam pada akhir zaman apabila bangsa Arab tidak lagi menunaikan kewajipannya.

Allah memberi amaran sifat munafiq kepada mereka yang mengaku Islam, tetapi berwala’ kepada musuh Islam:

بَشِّرِ ٱلۡمُنَٰفِقِينَ بِأَنَّ لَهُمۡ عَذَابًا أَلِيمًا ١٣٨ ٱلَّذِينَ يَتَّخِذُونَ ٱلۡكَٰفِرِينَ أَوۡلِيَآءَ مِن دُونِ ٱلۡمُؤۡمِنِينَۚ أَيَبۡتَغُونَ عِندَهُمُ ٱلۡعِزَّةَ فَإِنَّ ٱلۡعِزَّةَ لِلَّهِ جَمِيعٗا ١٣٩

“Khabarkanlah kepada orang-orang munafiq bahawa mereka akan mendapat seksaan yang pedih. [138] (Iaitu) orang-orang yang mengambil orang-orang kafir menjadi teman-teman penolong dengan meninggalkan orang-orang Mukmin. Apakah mereka mencari kekuatan di sisi orang kafir itu? Maka, sesungguhnya semua kekuatan adalah kepunyaan Allah. (139)” [Surah al-Nisa’: 138-139]

Inilah balasan terhadap mereka yang mengecewakan Islam, umat dan tanah airnya.

Pendirian dalam isu Palestin dan Bait al-Maqdis menjadi penentu antara benar dengan salah, antara hak dengan batil, serta antara adil dengan zalim secara nyata, dan Allah telah mengisytiharkan Yahudi Zionis paling bermusuh terhadap Islam.

Bandingkan kedudukan Palestin dan Bait al-Maqdis yang menjadi mangsa yang nyata. Kemudian, lihatlah pihak mana yang bersama Yahudi Zionis dan pihak mana yang mempertahan dan bersama Palestin dengan menunjukkan pengorbanan yang besar dengan jiwa sehingga menggugurkan para pemimpin dan rakyat, serta mengorbankan harta negara sehingga dibakar hangus.

Bandingkan dengan pihak yang lebih sayangkan takhta dan harta, yang mempertahankan telaga minyak dan laluan perniagaannya lebih daripada Islam, tanah suci dan umatnya.

Firman Allah SWT:

قَدۡ كَانَ لَكُمۡ ءَايَةٞ فِي فِئَتَيۡنِ ٱلۡتَقَتَاۖ فِئَةٞ تُقَٰتِلُ فِي سَبِيلِ ٱللَّهِ وَأُخۡرَىٰ كَافِرَةٞ يَرَوۡنَهُم مِّثۡلَيۡهِمۡ رَأۡيَ ٱلۡعَيۡنِۚ وَٱللَّهُ يُؤَيِّدُ بِنَصۡرِهِۦ مَن يَشَآءُۚ إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَعِبۡرَةٗ لِّأُوْلِي ٱلۡأَبۡصَٰرِ ١٣

“Sesungguhnya, telah ada tanda bagi kamu pada dua golongan yang telah bertemu (bertempur). Segolongan berperang di jalan Allah dan (segolongan) yang lain kafir yang dengan mata kepala melihat (seakan-akan) orang-orang Muslimin dua kali jumlah mereka. Allah menguatkan dengan bantuan-Nya sesiapa yang dikehendaki-Nya. Sesungguhnya, pada yang demikian itu terdapat pelajaran bagi orang-orang yang mempunyai mata hati.” [Surah Ali ‘Imran: 13]

Firman Allah SWT:

الٓمٓ ١ أَحَسِبَ ٱلنَّاسُ أَن يُتۡرَكُوٓاْ أَن يَقُولُوٓاْ ءَامَنَّا وَهُمۡ لَا يُفۡتَنُونَ ٢ وَلَقَدۡ فَتَنَّا ٱلَّذِينَ مِن قَبۡلِهِمۡۖ فَلَيَعۡلَمَنَّ ٱللَّهُ ٱلَّذِينَ صَدَقُواْ وَلَيَعۡلَمَنَّ ٱلۡكَٰذِبِينَ ٣

“Alif lam mim (1) Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan (saja) mengatakan, ‘Kami telah beriman,’ sedang mereka tidak diuji lagi? (2) Dan sesungguhnya kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta. (3)” [Surah al-‘Ankabut: 1-3]

Allah mengulangi peristiwa Ahzab yang menjadi salah satu surah yang dinamakan dalam al-Quran, sepertimana firman-Nya:

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ ٱذۡكُرُواْ نِعۡمَةَ ٱللَّهِ عَلَيۡكُمۡ إِذۡ جَآءَتۡكُمۡ جُنُودٞ فَأَرۡسَلۡنَا عَلَيۡهِمۡ رِيحٗا وَجُنُودٗا لَّمۡ تَرَوۡهَاۚ وَكَانَ ٱللَّهُ بِمَا تَعۡمَلُونَ بَصِيرًا ٩ إِذۡ جَآءُوكُم مِّن فَوۡقِكُمۡ وَمِنۡ أَسۡفَلَ مِنكُمۡ وَإِذۡ زَاغَتِ ٱلۡأَبۡصَٰرُ وَبَلَغَتِ ٱلۡقُلُوبُ ٱلۡحَنَاجِرَ وَتَظُنُّونَ بِٱللَّهِ ٱلظُّنُونَا۠ ١٠ هُنَالِكَ ٱبۡتُلِيَ ٱلۡمُؤۡمِنُونَ وَزُلۡزِلُواْ زِلۡزَالٗا شَدِيدٗا ١١ وَإِذۡ يَقُولُ ٱلۡمُنَٰفِقُونَ وَٱلَّذِينَ فِي قُلُوبِهِم مَّرَضٞ مَّا وَعَدَنَا ٱللَّهُ وَرَسُولُهُۥٓ إِلَّا غُرُورٗا ١٢ وَإِذۡ قَالَت طَّآئِفَةٞ مِّنۡهُمۡ يَـٰٓأَهْلَ يَثۡرِبَ لَا مُقَامَ لَكُمۡ فَٱرۡجِعُواْۚ وَيَسۡتَ‍ٔۡذِنُ فَرِيقٞ مِّنۡهُمُ ٱلنَّبِيَّ يَقُولُونَ إِنَّ بُيُوتَنَا عَوۡرَةٞ وَمَا هِيَ بِعَوۡرَةٍۖ إِن يُرِيدُونَ إِلَّا فِرَارٗا ١٣

“Wahai orang-orang yang beriman, ingatlah akan ni‘mat Allah (yang telah dikurniakan) kepadamu ketika datang kepadamu tentera-tentera, lalu Kami kirimkan kepada mereka angin taufan dan tentera yang tidak dapat kamu melihatnya. Dan adalah Allah Maha Melihat akan apa yang kamu kerjakan. (9) (Iaitu) ketika mereka datang kepadamu dari atas dan dari bawahmu, dan ketika tidak tetap lagi penglihatanmu dan hatimu naik menyesak sampai ke tenggorokan dan kamu menyangka terhadap Allah dengan bermacam-macam purbasangka. (10) Di situlah diuji orang-orang Mukmin dan digoncangkan (hatinya) dengan goncangan yang sangat. (11) Dan (ingatlah) ketika orang-orang munafiq dan orang-orang yang berpenyakit dalam hatinya berkata, ‘Allah dan Rasul-Nya tidak menjanjikan kepada kami melainkan tipu daya.’ (12) Dan (ingatlah) ketika segolongan antara mereka berkata, ‘Wahai penduduk Yathrib (Madinah), tidak ada tempat bagimu, maka kembalilah kamu!’ Dan sebahagian daripada mereka meminta izin kepada Nabi (untuk kembali pulang) dengan berkata, ‘Sesungguhnya, rumah-rumah kami terbuka (tidak ada penjaga).’ Dan rumah-rumah itu sekali-kali tidak terbuka, mereka tidak lain hanya hendak lari. (13)” [Surah al-Ahzab: 9-13]

Lebih malang lagi, apabila ada para ulama’ yang boleh diperalatkan bagi membela kebatilan yang nyata. Firman Allah SWT:

وَٱتۡلُ عَلَيۡهِمۡ نَبَأَ ٱلَّذِيٓ ءَاتَيۡنَٰهُ ءَايَٰتِنَا فَٱنسَلَخَ مِنۡهَا فَأَتۡبَعَهُ ٱلشَّيۡطَٰنُ فَكَانَ مِنَ ٱلۡغَاوِينَ ١٧٥ وَلَوۡ شِئۡنَا لَرَفَعۡنَٰهُ بِهَا وَلَٰكِنَّهُۥٓ أَخۡلَدَ إِلَى ٱلۡأَرۡضِ وَٱتَّبَعَ هَوَىٰهُۚ فَمَثَلُهُۥ كَمَثَلِ ٱلۡكَلۡبِ إِن تَحۡمِلۡ عَلَيۡهِ يَلۡهَثۡ أَوۡ تَتۡرُكۡهُ يَلۡهَثۚ ذَّالِكَ مَثَلُ ٱلۡقَوۡمِ ٱلَّذِينَ كَذَّبُواْ بِ‍َٔايَٰتِنَاۚ فَٱقۡصُصِ ٱلۡقَصَصَ لَعَلَّهُمۡ يَتَفَكَّرُونَ ١٧٦ سَآءَ مَثَلًا ٱلۡقَوۡمُ ٱلَّذِينَ كَذَّبُواْ بِ‍َٔايَٰتِنَا وَأَنفُسَهُمۡ كَانُواْ يَظۡلِمُونَ ١٧٧ مَن يَهۡدِ ٱللَّهُ فَهُوَ ٱلۡمُهۡتَدِيۖ وَمَن يُضۡلِلۡ فَأُوْلَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلۡخَٰسِرُونَ ١٧٨

“Dan bacakanlah kepada mereka berita orang yang telah Kami berikan kepadanya ayat-ayat Kami (pengetahuan tentang isi al-Kitab), kemudian dia melepaskan diri daripada ayat-ayat itu, lalu dia diikuti oleh syaitan (sampai dia tergoda), maka jadilah dia termasuk orang-orang yang sesat. (175) Dan kalau Kami menghendaki, sesungguhnya Kami tinggikannya (darjatnya) dengan ayat-ayat itu, tetapi dia cenderung kepada dunia dan menurutkan hawa nafsunya yang rendah, maka perumpamaannya seperti anjing jika kamu menghalaunya dihulurkannya lidahnya dan jika kamu membiarkannya dia menghulurkan lidahnya (juga). Demikian itulah perumpamaan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami. Maka, ceritakanlah (kepada mereka) kisah-kisah itu agar mereka berfikir. (176) Amat buruklah perumpamaan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami dan kepada diri mereka sendirilah mereka berbuat zalim. (177) Sesiapa yang diberi petunjuk oleh Allah, maka dialah yang mendapat petunjuk; dan sesiapa yang disesatkan Allah, maka merekalah orang-orang yang merugi. [178]” [Surah al-A‘raf: 175-178]

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS

Bertarikh: 11 Rabi‘ al-Akhir 1448 / 23 September 2026

[Bil: 62 / 2026]