Mohd Fadhli Rahmi Dilantik Pemangku Ketua Pemuda PAS Terengganu

9

KUALA TERENGGANU – YB Ustaz Mohd Fadhli Rahmi Zulkifli telah dilantik sebagai pemangku Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu (DPPNT) bagi sesi 2026–2027 susulan penerimaan peletakan jawatan Ustaz Muhammad Hamdi Harun daripada jawatan berkenaan.

Setiausaha DPPNT, Mohd Riduan Abu Bakar berkata, keputusan itu dibuat dalam Mesyuarat Khas Ahli Jawatankuasa Kerja DPPNT yang berlangsung pada Rabu, 23 September 2026 bersamaan 11 Rabiulakhir 1448 Hijrah.

“Mesyuarat khas tersebut telah menerima peletakan jawatan Ustaz Muhammad Hamdi bin Harun sebagai Ketua DPPNT dan bersetuju melantik pemangku bagi Ketua, Timbalan dan Naib DPPNT sesi 2026–2027,” katanya dalam kenyataan menerusi satu kenyataan, DPPNT bertarikh 23 September 2026, di sini, semalam.

Jelas beliau, Mohd Fadhli Rahmi dilantik sebagai pemangku Ketua DPPNT, manakala Ustaz Muhammad Irsyad Syafiq Burhanuddin dilantik sebagai pemangku Timbalan Ketua dan Ustaz Abdul Manaff Ghani sebagai pemangku Naib Ketua.

Menurutnya, pelantikan barisan pemangku berkenaan diharap dapat memastikan kelangsungan gerak kerja Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu bagi sesi 2026–2027.

“Semoga DPPNT akan terus maju jaya dan memperoleh pertolongan Allah SWT,” katanya.

Kenyataan tersebut turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak dengan ucapan jazakumullahu khairal jaza’.