KUALA TERENGGANU — Prinsip keadilan perlu ditegakkan tanpa memihak kepada mana-mana individu, termasuk dalam isu membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Presiden PAS, Dato Sri Tan Sri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang berkata, pendirian PAS bukan untuk mempertahankan mana-mana individu secara peribadi, sebaliknya memperjuangkan prinsip keadilan serta pentadbiran yang dilaksanakan mengikut undang-undang.
“Perjuangan kita bukan perjuangan peribadi orang. Perjuangan kita ialah konsep keadilan untuk semua. Ini yang kita nak tegakkan.
“Kita bukan bela dia peribadi, bela orang, tidak. Kita nak Islam itu diperkasakan. Hukuman berlaku dengan adil. Kalau salah, salahlah, tak salah, tak salahlah,” jelasnya ketika menjawab soalan dalam program Liqa Fikri, di Komtaq, Kuala Nerus, pada Sabtu.
Menurutnya, seseorang yang dituduh tidak seharusnya dianggap bersalah sebelum dibuktikan menerusi proses perundangan yang adil, termasuk berdasarkan bukti dan keterangan yang sah.
Ustaz Abdul Hadi berkata, terdapat kelemahan dalam sistem keadilan negara termasuk dari aspek pemisahan kuasa antara legislatif, eksekutif dan kehakiman yang perlu diberi perhatian.
Beliau turut mengingatkan pimpinan PAS supaya tidak mengeluarkan kenyataan secara terburu-buru berhubung isu berkenaan.
“Sebab itu saya telah mengarahkan pimpinan kita supaya jangan buat kenyataan gopoh-gapah dalam masalah ini. Kita mesti berhati-hati,” katanya.
Tambahnya lagi, pendekatan itu penting bagi memastikan pendirian parti kekal berasaskan prinsip keadilan dan bukan didorong kepentingan mempertahankan mana-mana pihak.
Katanya, proses menentukan sama ada seseorang bersalah atau tidak perlu diserahkan kepada proses perundangan yang sewajarnya dan dilaksanakan secara telus serta adil.




























