Lapan anggota Tentera Laut Amerika Syarikat (AS) daripada kumpulan serangan kapal induk USS Abraham Lincoln dilaporkan cuba membunuh diri ketika terlibat dalam operasi tempur sengit menentang kumpulan Houthi tajaan Iran.
Kejadian tersebut disahkan sendiri oleh Pemangku Setiausaha Tentera Laut AS, Hung Cao, menerusi satu surat rasmi kepada Senator Kirsten Gillibrand. Beliau mendedahkan bahawa tekanan melampau sepanjang misi panjang di laut menjadi punca utama krisis mental dalam kalangan kru.
“Lapan pelaut telah melakukan percubaan membunuh diri, termasuk dua kes yang berlaku ketika operasi pertempuran aktif sedang berjalan,” kata Hung Cao dalam laporan tersebut.
“Bagaimanapun, kesemua tindakan nekad itu berjaya digagalkan dan tiada sebarang kehilangan nyawa dilaporkan.” tambahnya
Siasatan awal mendedahkan bahawa kapal induk itu memecahkan rekod moden sebagai aset ketenteraan yang berada paling lama di laut tanpa henti.
Ketiadaan transit ke pelabuhan (port calls), ditambah dengan isu kekurangan bekalan makanan segar, telah memburukkan lagi tahap kesihatan mental anak kapal.
Senator Kirsten Gillibrand, yang memimpin siasatan mengenai kebajikan tentera, menyuarakan kebimbangan mendalam mengenai kebajikan emosi anggota yang bertugas di zon konflik.
“Tempoh penugasan yang terlalu lama tanpa waktu rehat yang cukup adalah satu bebanan yang tidak sepatutnya ditanggung oleh anggota kita.
“Kita perlu memastikan sistem sokongan kesihatan mental di atas kapal berfungsi dengan optimum, terutamanya ketika mereka berada di garisan hadapan pertempuran,” tegas Gillibrand ketika mengulas isu berkenaan.
Kumpulan serangan USS Abraham Lincoln kini telah digantikan oleh USS George Washington bagi membolehkan kapal tersebut kembali ke pangkalan untuk penyelenggaraan dan memberi ruang rehat serta rawatan psikologi kepada kru yang terjejas.





























