PN Tolak Keputusan RoS, Ambil Tindakan Undang-Undang

4

KUALA TERENGGANU – Perikatan Nasional (PN) menegaskan tidak bersetuju dengan asas ketetapan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) yang menggantung kegiatannya serta mencadangkan pembatalan pendaftaran gabungan parti berkenaan di bawah Akta Pertubuhan 1966.

Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, parti itu kini memulakan langkah perundangan segera bagi mencabar keputusan terbabit demi mempertahankan keabsahan, matlamat penubuhan dan hak sokongan para ahlinya.

“PN mengambil maklum keputusan RoS, namun tidak bersetuju dengan asas keputusan tersebut dan sedang mengambil langkah-langkah segera melalui proses undang-undang yang tersedia.

“PN tidak menolak kemungkinan tindakan terhadap parti ini adalah natijah agenda berniat jahat (mala fide) dan tekanan politik yang memangsakan PN daripada pihak-pihak dari dalam dan luar parti,” katanya dalam kenyataan rasmi hari ini.

Terdahulu, RoS mengeluarkan notis di bawah subseksyen 13(2) yang mengkehendaki PN mengemukakan surat tunjuk sebab dalam tempoh 30 hari, disusuli perintah penggantungan aktiviti tanpa tempoh di bawah subseksyen 13(2A) ekoran aduan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengenai satu mesyuarat pada 16 Julai lepas.

Takiyuddin turut mempersoalkan kedua-dua arahan bertarikh 22 dan 23 Sept itu yang diserahkan bertepatan dengan pengumuman pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka bagi Pilihan Raya Negeri.

Justeru itu kata beliau, bagi mengelakkan sebarang kekeliruan sepanjang proses bantahan undang-undang ini berjalan, PN mengeluarkan perintah larangan bersuara (gag order) serta-merta kepada semua pihak dan mengarahkan sebarang kenyataan rasmi hanya dibuat oleh Pengerusi serta Setiausaha Agung parti.

“semua ahli serta penyokong agar kekal bertenang dan memberi jaminan bahawa segala perkembangan isu ini akan dimaklumkan secara telus dari semasa ke semasa berlandaskan lunas perundangan negara.” tambah beliau