Ulama Perlu Faham Perubahan Zaman, Ideologi

5

KUALA TERENGGANU — Golongan ulama perlu memperkukuh penguasaan ilmu secara tafaqquh fid-din supaya bukan sahaja mampu mengajar ilmu agama, malah memahami perubahan zaman, perkembangan ideologi serta cabaran pemikiran yang dihadapi masyarakat.

Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, penguasaan ilmu agama tidak seharusnya terhad kepada membaca dan mengajar kitab, sebaliknya perlu disertai kefahaman mengenai cara ilmu berkenaan dilaksanakan dalam realiti kehidupan.

“Tidak sepatutnya semua orang pergi ke medan perjuangan. Al-Quran mengajar supaya sebahagian daripada setiap golongan mendalami ilmu agama atau bertafaqquh, iaitu memahami agama serta cara melaksanakan ajaran Islam dengan benar.

“Selepas bertafaqquh, mereka kembali kepada masyarakat bukan sekadar untuk mengajar, tetapi memimpin dan memberi peringatan agar umat tidak terjebak dengan kesesatan agama serta ideologi yang menyimpang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada program Liqa’ Fikri di Komtaq, di sini, pada Sabtu.

Menurutnya, konsep tafaqquh fid-din menuntut seseorang memahami Islam secara menyeluruh agar mampu mengenal pasti serta menghadapi pelbagai pemikiran dan ideologi yang berkembang dari semasa ke semasa.

“Sebab itu al-Quran menyebut liyatafaqqahu fid-din wa liyundhiru qaumahum, mendalami agama dan memberi peringatan kepada kaum mereka.

“Bukan sekadar belajar dan mengajar, tetapi memahami Islam secara menyeluruh supaya mampu mengenal dan menghadapi pelbagai ideologi yang bertentangan dengan ajaran Islam,” ujarnya.

Ustaz Abdul Hadi menambah, perubahan pemikiran dan ideologi memerlukan golongan ulama memahami konteks semasa kerana terdapat perkembangan yang tidak dibincangkan secara langsung dalam kitab-kitab terdahulu.

“Tak ada komunis dalam kitab kuning, tak ada sosialis dalam kitab kuning, tak ada ideologi dalam kitab kuning.

“Dia tak tahu bahawa dunia berlaku perubahan dalam ajaran-ajaran, bukan sahaja cuaca,” jelasnya.

Sehubungan itu, beliau berkata, peranan Dewan Ulama bukan sekadar mengadakan pengajian, tetapi melahirkan pendakwah dan penggerak yang berkualiti serta mempunyai kefahaman terhadap cabaran pemikiran semasa.

Beliau turut menekankan kepentingan penguasaan pelbagai disiplin ilmu termasuk al-Quran, hadis, bahasa Arab, usul fiqh, maqasid syariah dan siasah Syariah dalam membentuk kefahaman agama yang lebih menyeluruh.

“Bertafaqquh mewajibkan pengajian berbagai-bagai ilmu yang berkait dengan semua ilmu Islam daripada al-Quran dan hadis serta ulum yang berkait dengan Quran.

“Termasuklah juga ulum al-Quran, bukan sekadar tafsir Quran, termasuk nasikh dan mansukh, ayat yang dahulu kemudian dimansuhkan, termasuk ayat yang mempunyai sebab-sebab khusus dan sebab-sebab umum.

“Dan mestilah memahami bahasa Arab, bahasa al-Quranul Karim,” ujarnya.

Menurutnya, kefahaman mendalam juga penting bagi mengelakkan perbalahan dalam perkara khilaf serta membolehkan ulama membezakan perkara yang bersifat tetap (thawabit) dengan perkara yang boleh berubah mengikut keadaan (mutaghayyirat).

Pada masa sama, beliau menegaskan peranan ulama amat besar dalam membimbing masyarakat serta meneruskan amanah ilmu yang diwarisi daripada para nabi.

“Peranan Dewan Ulama adalah untuk melahirkan para ulama dan ilmuwan Islam yang mewarisi pusaka para anbiya dengan melaksanakan tarbiah serta memperkukuh kefahaman agama melalui proses bertafaqquh, bukan sekadar mengaji.

“Bertafaqquh bermaksud mendalami ilmu dan kefahaman agama serta menterjemahkannya dalam perjuangan Islam. Dalam konteks parti Islam, golongan ulama perlu menjadi pasukan penting dalam menyediakan para duat dan amilin yang berkualiti,” katanya.

Tambahnya lagi, peranan ulama bukan hanya mengajar kerana penguasaan ilmu perlu disertai kefahaman terhadap perkembangan semasa.

“Jika seseorang mengajar bertahun-tahun tetapi tidak mendalami ilmu dan memahami perkembangan semasa, pemikirannya mungkin tidak berubah.

“Lebih membimbangkan, keadaan itu boleh menyebabkan seseorang dipengaruhi atau menjadi alat kepada pihak yang bertentangan dengan perjuangan Islam kerana tidak mempunyai kefahaman yang mendalam,” katanya.