Umno Kelantan Sokong PAS. Kerana Menantu Johoe

33

“Saya ingatkan bila dah kahwin dengan orang Kelantan, orang Kelantan ni semuanya PAS. Sekali mak mertua dan pak mertua kuat Umno.

Dan setelah melihat terlalu banyak perkara teruk yang berlaku dalam negara yang membuatkan mereka kecewa, jadi sayapun masuk sedikit demi sedikit memujuk mereka dan kemudiannya mertua saya berjanji, lepas ni mak pangkah PAS lah,” cerita Nazrul Fahmi Isman mengimbau kisah menarik beliau dalam berkempen kepada keluarga sendiri.

Nazrul salah seorang dari pengiring kepada calon Perikatan Nasional (PN), Ustaz Amin Sailan bagi Dun Sungai Balang, Muar, menceritakan kisah hidup beliau seorang rakyat Johor yang berjaya memujuk orang Kelantan untuk menukar undinya daripada Umno kepada PAS.

Beliau ditemui sewaktu pasukan pengiring calon berhenti rehat di Jeti Sungai Balang bagi Ustaz Amin meninjau isu jeti yang sempit dan kecil di situ.

Di rumah beliau di Muar, setelah sekian lama cuba untuk memujuk ibunya supaya melihat sendiri keadaan ekonomi, kedudukan Melayu Islam, janji-janji yang gagal ditunaikan serta kesungguhan PAS berkempen, maka pada PRN yang lalu, ibunya telah mengaku mengundi PAS.

Keluarga Nazrul agak unik kerana ibunya dan juga kedua ibu bapa mertuanya adalah penyokong kuat Umno, manakala beliau, isteri dan ayah beliau pula penyokong PAS.

Ditanya sejarah bagaimana beliau menyertai PAS, beliau menjelaskan hal itu berlaku kerana pertikaian antara beliau dan rakannya dalam PAS yang mendakwa tidak menerima sebarang bayaran semasa melakukan kerja-kerja pilihanraya.

“Saya pasang bendera, kawan saya geng-geng PAS pasang bendera juga tapi lain, lain sebab saya tengok dia orang seronoknya jer. Kenapa dia orang seronok sangat berbanding dengan geng-geng Umno, biasa jer gitu.

Lepas tu saya tanya geng-geng PAS, seronok sangat berapa banyak dia bayar? Dia orang jawab mana ada bayar, takde bayar, seikhlas hati.

Bergaduh juga kami tak percaya. Biasa dalam Umno satu malam biasa dapat RM50, rokok lagi,” terang Nazrul yang kemudiannya bertekad menyertai PAS pada tahun 2020.

Bagi beliau bukan soal wang ringgit, tetapi kesedaran yang ada dalam diri waktu itu menyebabkan beliau mahu melakukan perubahan.

Beliau yang kemudiannya dilantik mengetuai Alternative Riding Club (ARC) Muar di bawah sayap Pemuda turut bersyukur dengan cara pengendalian acara seperti konvoi yang mementingkan solat dan tidak bebas bercampur dengan wanita sebagaimana kebiasaan konvoi motor yang lain yang dikira agak melalaikan.

Nazrul menyeru kepada semua pengundi di Dun Sungai Balang agar melihat kepada model pentadbiran Kelantan dan Terengganu yang membina negeri melalui tarbiyah mereka yang meluas, memberikan ilmu kepada rakyat, selain menekankan agama, pembangunan fizikal tidak pernah diketepikan.

Malah masyarakat bukan Melayu Islam juga diberikan hak-hak mereka terhadap keperluan agama mereka selain daripada pembangkang juga menerima peruntukan yang sama bagi Dun-Dun yang mereka wakili.