Kumpulan Houthi mengukuhkan penguasaannya Laluan kapal antarabangsa di sepanjang pantai Laut Merah Yaman selepas menawan Pulau Perim (Mayun) dan bandar Dhubab yang terletak berhampiran Selat Bab el-Mandeb.
Kenaraan kumpukan pemberintak itu sekali gus meningkatkan kebimbangan terhadap keselamatan salah satu laluan perkapalan paling penting dunia.
Perkembangan itu berlaku sehari selepas Houthi menguasai bandar pelabuhan strategik Mokha, yang terletak tidak jauh dari pintu masuk Bab el-Mandeb.
Penguasaan Perim amat signifikan kerana pulau berkenaan berada di tengah-tengah selat yang menghubungkan Laut Merah dengan Teluk Aden dan menjadi laluan utama kapal yang bergerak antara Eropah dan Asia.
Sumber kerajaan Yaman yang dipetik Reuters mengesahkan Houthi telah mencapai kawasan Dhubab dan menguasai Perim, manakala laporan lain menyatakan kumpulan itu kini mempunyai kedudukan strategik yang membolehkan mereka memberi tekanan lebih besar terhadap pergerakan kapal di Bab el-Mandeb.
“Bab el-Mandeb bukan urusan Yaman semata-mata” kata
Pengerusi Majlis Kepimpinan Presiden Yaman, Rashad al-Alimi, sebelum ini memberi amaran bahawa perkembangan di sekitar Mokha dan Bab el-Mandeb mempunyai implikasi jauh melangkaui konflik dalaman negara itu.
“Perkembangan di sekitar pelabuhan Mokha dan Bab el-Mandeb bukan semata-mata urusan Yaman,” katanya, sambil menegaskan ia turut berkaitan dengan perdagangan global.
Beliau turut memberi amaran bahawa Bab el-Mandeb tidak boleh berubah menjadi satu lagi Selat Hormuz dan menggesa masyarakat antarabangsa mengambil tindakan bagi menghentikan penguasaan Houthi terhadap kawasan strategik berkenaan.
Bagaimanapun, jurucakap Houthi, Mohammed Abdul Salam, menafikan bahawa penguasaan kawasan pantai itu bertujuan mengganggu perdagangan antarabangsa.
Beliau menyifatkan operasi tersebut sebagai “operasi nasional” untuk menegakkan kedaulatan Yaman dan berkata kumpulannya tidak mempunyai cita-cita untuk memperluaskan lagi wilayah.
“Pelayaran dan perdagangan antarabangsa di Laut Merah serta Selat Bab el-Mandeb kekal selamat dan tidak terganggu,” katanya.
Namun, Houthi pada masa sama mengekalkan larangan terhadap kapal-kapal Saudi, menurut laporan yang memetik agensi berita Saba.
Sehubungan itu, Utusan Khas PBB ke Yaman, Hans Grundberg, turut memberi amaran bahawa perkembangan terbaru itu boleh membawa Yaman kembali kepada perang berskala besar.
Beliau menyeru Houthi menghentikan serangan di Yaman, serangan merentasi sempadan terhadap Arab Saudi serta serangan terhadap kapal komersial di Laut Merah.
“Yaman kini berdepan risiko paling serius untuk kembali kepada perang berskala penuh sejak gencatan senjata 2022,” katanya dalam taklimat kepada Majlis Keselamatan PBB






























