Jangan Politikkan Tuntutan RM1.43 Bilion LPT2, Hak Terengganu Mesti Dipertahan

25

KUALA TERENGGANU – Tuntutan bayaran balik berjumlah RM1.43 bilion berkaitan Projek Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) perlu diselesaikan secara adil melalui rundingan antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Terengganu, bukannya dipengaruhi pertimbangan politik.

Ketua Penerangan PAS Kawasan Setiu, Ustaz Abdul Hadi Mohamad berkata, isu berkenaan melibatkan hak rakyat Terengganu, pembangunan negeri dan kematangan hubungan antara Kerajaan Persekutuan serta kerajaan negeri.

Menurut beliau, rakyat tidak mahu perbezaan politik menjadi penghalang kepada penyelesaian yang saksama terhadap tuntutan tersebut.

“Isu kerajaan pusat menolak tuntutan bayaran balik RM1.43 bilion kepada Kerajaan Terengganu berkait LPT2 tidak harus dilihat dari sudut politik semata-mata. Ia melibatkan hak rakyat Terengganu, pembangunan negeri serta hubungan yang matang antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri,” jelasnya ketika dihubungi hari ini.

Beliau menambah, PAS Kawasan Setiu menggesa Kerajaan Persekutuan membuka ruang rundingan secara serius dengan Kerajaan Negeri Terengganu bagi meneliti semua dokumen, fakta dan asas tuntutan berkenaan.

Katanya, sekiranya benar wujud komitmen atau persetujuan yang pernah dipersetujui sebelum ini, ia hendaklah dihormati sebagai tanda komitmen terhadap prinsip akauntabiliti dan keadilan.

Dalam pada itu, beliau menegaskan PAS Kawasan Setiu akan terus mempertahankan hak rakyat Terengganu tanpa mengira kepentingan politik mana-mana pihak.

“Prinsip kami jelas, hak negeri mesti dipelihara dan kebajikan rakyat mesti diutamakan,” ujarnya.

Beliau turut menegaskan bahawa keadilan sebenar bukan hanya apabila hak diberikan kepada pihak kuat, tetapi apabila dipulangkan kepada yang berhak.