PRN Johor 2026: Seru Pengundi Elak Pecah Undi Melayu

20
Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Terengganu, Dato' Dr Alias Razak

KUALA TERENGGANU – Pengundi Johor diseru membuat pilihan secara strategik pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 2026 bagi mengelakkan perpecahan undi Melayu, sekali gus meningkatkan peluang Perikatan Nasional (PN) untuk menambahkan kerusi.

Yang Dipertua PAS Kawasan Kuala Nerus, Dato’ Dr. Alias Razak berkata, langkah itu penting bagi menghantar isyarat jelas bahawa rakyat menolak pentadbiran Kerajaan Madani yang didakwanya telah melanggar semangat Perlembagaan Persekutuan, Rukun Negara dan mencabar kedudukan agama Islam, orang Melayu serta institusi Raja-Raja Melayu.

“Justeru, saya menyeru pengundi Johor supaya tidak memecahkan undi Melayu. Berilah sokongan kepada PN dan di Kawasan tiada PN undi Barisan Nasional agar kita memperoleh kemenangan majoriti dan dapat mengembalikan sebuah kerajaan yang ditunjangi orang Melayu dan Islam,” jelasnya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Nerus berkata demikian ketika dihubungi, hari ini.

Menurut Alias, PAS bertanding bukan sekadar untuk menambah penyertaan dalam pilihan raya, sebaliknya dengan aspirasi untuk memerintah.

Namun, bagi PRN Johor, fokus utama adalah meningkatkan jumlah kerusi yang dimenangi PAS serta memastikan PN memperoleh kemenangan keseluruhan.

“Kita sedar PAS sahaja tidak mampu membentuk kerajaan negeri di Johor. Sebab itu kita mengharapkan kemenangan lebih banyak kerusi PAS dan rakan-rakan dalam PN supaya gabungan ini tidak memecahbelahkan undi melayu,” ujarnya.

Beliau turut menambah, jentera PAS dari Kuala Nerus akan terus membantu gerak kerja kempen di Johor mengikut jadual yang ditetapkan, sambil beliau sendiri akan membahagikan masa antara tugasan kempen dan tanggungjawab hakikinya sebagai Ahli Parlimen Kuala Nerus.