DACS Sempurnakan Gerak Kerja Dakwah

1037

Oleh: Ahmad Ezani Razali

KEMAMAN – Department of Arts, Culture and Sport (DACS) di bawah Pemuda menyempurnakan gerakan dakwah PAS menerusi program sukan, kebudayaan dan kesenian.

Pengarah Program Rehlah DACS Chukai, Mohd Zubaidi Zahari berkata, dalam bersukan juga boleh berdakwah asalkan mengikut garis panduan yang ditetapkan di dalam Islam.

“Kita berdakwah bukan hanya di surau dan masjid. Kita merupakan di antara jentera-jentera yang menyempurnakan gerak kerja Islam di Malaysia ini.

“Walaupun cara kita berbeza namun matlamat kita sama iaitu menegakkan syariat Islam,” jelasnya.

Beliau yang juga Timbalan Ketua Lajnah DACS DUN Cukai berkata demikian selepas program tersebut pada Sabtu, 19 Oktober.

Menurutnya, beliau mengucapkan terima kasih kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cukai, Haji Hanafiah Mat kerana memberi sumbangan berbentuk wang tunai bagi menjayakan program tersebut.

“Insya Allah, program seperti ini akan kita terus anjurkan bagi kelangsungan politik dan dakwah untuk generasi anak muda pada hari ini.

“Saya turut berharap agar ukhwah di antara ahli jawatankuasa terus kukuh bagi memastikan perjalanan dakwah ini terus diperhebatkan mengikut peredaran zaman,” katanya.

Oleh itu, beliau menambah, dalam program tersebut turut diadakan solat secara berjemaah dan tazkirah yang disampaikan oleh Zulkefli bin Mohamad dan Wan Razali Wan Mansor.

“Mereka antara orang yang telah banyak berbakti dalam gerak kerja parti daripada dahulu dan terus istiqomah hingga hari ini,” tambah Zubaidi.