KUALA TERENGGANU – Majlis Tindakan DUN (MTD) Kota Putera memperhebat persiapan menghadapi kemungkinan banjir dengan mengenal pasti serta membersihkan parit dan longkang tersumbat di kawasan berisiko sejak 1 Oktober lalu.
Pengarah Majlis Tindakan DUN (MTD) Kota Putera, YB Haji Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) diminta menyenaraikan lokasi yang berdepan masalah sistem perparitan, khususnya kawasan yang tidak diselenggara dalam tempoh setahun.
Menurutnya, tindakan awal itu penting bagi memastikan masalah saliran dapat ditangani sebelum berlakunya hujan lebat atau banjir.
“Kita telah minta JPKK menyenaraikan mana-mana parit dan longkang yang tersumbat ataupun yang tidak disenggarakan selama setahun.
“Pihak Pusat Khidmat DUN akan menyewa jentolak untuk memastikan kerja-kerja itu dapat dilaksanakan dan kita sudah mulakan pada 1 Oktober baru ini,” jelasnya ketika dihubungi hari ini.


Tambahnya, kerja-kerja pembersihan berkenaan turut dilaksanakan bersama Jabatan Amal dan Khidmat Malaysia sebagai sebahagian daripada persiapan awal menghadapi musim banjir.
Dalam pada itu, Mohd Nurkhuzaini berkata, pihaknya turut mengambil kira keadaan cuaca semasa yang boleh berubah dan berpotensi meningkatkan risiko banjir di kawasan berkenaan.
Katanya, berdasarkan maklumat yang diterima, jumlah hujan yang turun ketika ini baru sekitar satu pertiga, manakala baki dua pertiga lagi masih belum berlaku.
“Kalau perkara tersebut dianalisis, kemungkinan kalau berlaku banjir, akan banjir besar sebab air akan turun serentak dalam masa tiga atau empat bulan ini.
“Kalau ia turun serentak, itu akan menyebabkan banjir besar,” katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata, keadaan berkenaan masih bergantung kepada corak cuaca sebenar dan tidak boleh dianggap sebagai satu kepastian.


Menurutnya, faktor cuaca lain termasuk fenomena El Nino yang dijangka berlanjutan sehingga November turut perlu diambil kira dalam membuat persiapan menghadapi musim banjir.
“Jadi, kita hanya mendoakan agar kita diberikan kebaikan dan jika sekiranya ada ujian, kita mampu menangani ujian yang diberikan.
“Kita jauhlah daripada musibah-musibah yang boleh menyebabkan rakyat menerima bencana,” tambah beliau.
Sementara itu, Pusat Khidmat DUN Kota Putera turut menyediakan lebih 20 kenderaan pacuan empat roda (4×4) bagi memastikan kelancaran penghantaran bekalan ke pusat pemindahan sementara (PPS) sekiranya berlaku banjir.
Mohd Nurkhuzaini berkata, persiapan logistik itu turut memberi tumpuan kepada keperluan makanan mangsa banjir bagi memastikan bekalan tidak terputus sekiranya berlaku kelewatan daripada agensi berkaitan.
“Kita nak pastikan kalau rakyat dipindahkan ke PPS, mereka tidak kelaparan dan makanan disediakan mengikut waktu.
“Kalau pindah malam, pagi esok mesti ada sarapan, kemudian makan tengah hari dan seterusnya. Itu tanggungjawab kita di Pusat Khidmat DUN,” katanya.































