Jangan Hanya Belajar, Tetapi Bertindak !

3

KUALA NERUS -Ilmu yang diperoleh melalui kursus kepimpinan perlu diterjemahkan dalam bentuk tindakan dan manfaat kepada masyarakat, bukan sekadar berakhir sebagai pengetahuan selepas program selesai.

Naib Ketua Dewan Muslimat PAS Terengganu, Zuraida Mohd Nor berkata, peserta Kursus Kepimpinan Wanita Terengganu Siri 2 perlu memastikan segala ilmu, kemahiran dan pengalaman yang diperoleh sepanjang kursus dapat dimanfaatkan apabila kembali ke kawasan masing-masing.

“Saudari akan mendengar taklimat, mengikuti bengkel dan mendapat ilmu. Tetapi selepas semua itu selesai, saya mahu tanya satu soalan, apa yang kita hendak buat selepas kita balik nanti?” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Kursus Kepimpinan Wanita Terengganu Siri 2 yang berlangsung di di sini hari ini

Menurut beliau, perkara paling penting dalam sesebuah program pembangunan kepimpinan ialah sejauh mana ilmu yang dipelajari mampu menghasilkan perubahan dan tindakan yang nyata.

“Ilmu tanpa tindakan tidak akan membawa perubahan. Kita belajar tentang kepimpinan, maka balik nanti kita pimpin. Kita belajar tentang komunikasi, maka balik nanti kita berkomunikasi dengan lebih baik,” katanya.

Zuraida turut menekankan bahawa ilmu berkaitan pembangunan wanita perlu dikongsi dan dimanfaatkan untuk membantu lebih ramai wanita dalam masyarakat.

“Kalau kita belajar tentang pembangunan wanita, maka selepas ini kita bantu wanita lain pula. Jangan biarkan ilmu itu berhenti pada diri kita sahaja,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau menggesa peserta supaya memanfaatkan jaringan yang dibina bersama agensi-agensi berkaitan sepanjang kursus bagi memudahkan usaha membantu masyarakat.

Katanya, hubungan tersebut perlu diteruskan supaya peserta mengetahui saluran yang tepat untuk mendapatkan bantuan atau menyelesaikan isu yang dihadapi masyarakat.

“Kalau ada masalah masyarakat, tahu siapa hendak dihubungi, kalau ada peluang untuk wanita, kita sebarkan. Kalau ada wanita yang perlukan bantuan, kita bantu cari jalan,” katanya.

Beliau menjelaskan, pendekatan tersebut merupakan antara ciri kepimpinan wanita yang sebenar kerana seorang pemimpin bukan hanya berperanan menyampaikan ilmu, tetapi turut menjadi penghubung dan pencetus penyelesaian kepada permasalahan masyarakat.

Sehubungan itu, beliau berharap peserta Kursus Kepimpinan Wanita Terengganu Siri 2 dapat pulang dengan semangat baharu untuk memimpin, berkomunikasi, membina jaringan serta memperkasakan wanita di kawasan masing-masing.

“Kita mahu ilmu yang dipelajari hari ini menjadi tindakan selepas kita pulang. Itulah maksud kepimpinan yang sebenar,” katanya.