Jentera Muslimat Manfaatkan AI Sampaikan Maklumat Benar

3

KUALA TERENGGANU – Walaupun banyak keburukan teknologi kecerdasan buatan (AI) namun, jentera Muslimat PAS Terengganu perlu memanfaatkannya bagi mempercepat penyampaian maklumat dan mendekati golongan muda.

Oleh itu, penggunaannya perlu disertai bersama kesedaran mengenai risiko penyebaran kandungan jelek, palsu dan fitnah.

Naib Ketua Dewan Muslimat PAS negeri Terengganu, YB Hajah Zuraida Md Noor berkata, AI mempunyai kelebihan dalam membantu menghasilkan bahan kempen dan kandungan media sosial dengan lebih pantas, sekali gus membolehkan jentera bergerak seiring perkembangan teknologi semasa.

Katanya, penggunaan teknologi itu semakin penting memandangkan golongan muda kini lebih dekat dengan media sosial dan kandungan digital.

“AI ini memudahkan kerja. Nak buat slaid, poster atau bahan lain, dalam masa yang sangat singkat sudah boleh disiapkan.

“Kita ambil yang positif untuk membantu kempen, menarik pengundi dan menyampaikan maklumat kepada anak muda melalui media sosial,” jelasnya ketika dihubungi semalam.

Bagaimanapun, Zuraida berkata, penggunaan AI tanpa kawalan boleh membawa risiko besar termasuk penghasilan gambar dan kandungan yang dimanipulasi sehingga berupaya mengelirukan masyarakat.

Menurutnya, perkembangan teknologi berkenaan juga boleh membuka ruang kepada penyebaran fitnah sekiranya pengguna tidak mempunyai pengetahuan mencukupi untuk membezakan kandungan sebenar dengan kandungan yang dijana atau diubah menggunakan AI.

“Fitnah sekarang berada di hujung jari. Kita tidak sangka perkara seperti ini boleh berlaku pada zaman kita.

“Sebab itu kita perlu berhati-hati menggunakan AI dan perlu ada kursus mengenai perkara yang boleh dan tidak boleh dilakukan serta kesedaran supaya masyarakat tidak mudah percaya kepada semua maklumat yang dihasilkan AI,” ujarnya.

Zuraida menambah, pendekatan berkenaan amat penting khususnya bagi golongan lebih berusia yang mungkin kurang memahami perkembangan teknologi AI dan mudah menganggap kandungan yang dilihat sebagai benar.

Dalam pada itu, beliau berkata, pasukan media Muslimat PAS kini sudah menggunakan AI dalam penyediaan bahan maklumat, namun penggunaannya tetap perlu dilakukan secara berhati-hati dengan mengutamakan ketepatan kandungan.

Ujar Zuraida lagi, keupayaan AI untuk menghasilkan kandungan dengan pantas tidak bermakna semua maklumat yang diperoleh boleh diterima tanpa semakan.

“Cepat itu penting, tetapi yang paling penting ialah maklumat yang betul dan tepat. Kita tidak mahu kerana terlalu mengejar kelajuan, akhirnya maklumat yang disampaikan tidak benar,” katanya.