KUALA TERENGGANU – Anak muda perlu meningkatkan literasi spiritual dan tidak menerima secara membuta tuli kandungan berkaitan ‘New Age Movement& (NAM) yang semakin mudah tersebar melalui media sosial, program pembangunan kendiri, amalan ‘healing’ dan kerohanian moden.
Pengarah Ameerah Terengganu, Ustazah Sumaiyah Zakaria berkata, pencarian ketenangan dan makna kehidupan dalam kalangan anak muda perlu disertai kefahaman agama yang sahih bagi mengelakkan kekeliruan apabila kepercayaan serta amalan daripada pelbagai sumber dicampuradukkan.
Katanya, penerimaan sesuatu amalan tanpa tapisan ilmu berpotensi menimbulkan kekeliruan terhadap pegangan akidah.
“Bukan sekadar berkata ‘jangan ikut’, kita perlu membina generasi yang memahami sebabnya dan mampu membuat pertimbangan berasaskan ilmu,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Sehubungan itu, Ameerah mencadangkan supaya pengukuhan pegangan akidah dilaksanakan melalui penerangan yang sahih, mudah difahami dan dekat dengan realiti kehidupan anak muda.
Selain itu, ruang dialog yang mesra anak muda bersama agamawan berkelayakan dan profesional kesihatan mental juga perlu diperluas bagi membolehkan persoalan berkaitan kerohanian, emosi dan kehidupan dibincangkan tanpa pendekatan menghukum.
Menurut Sumaiyah, sokongan emosi dan kerohanian turut boleh diperkasakan melalui usrah, kaunseling serta aktiviti komuniti yang membantu golongan muda menghadapi tekanan kehidupan.
Justeru itu, beliau turut menggesa lebih banyak kandungan digital yang mudah difahami dihasilkan supaya panduan agama yang sahih dapat diakses dengan lebih dekat dan mudah oleh golongan berkenaan.
“Anak muda perlu semak sebelum percaya, fahami sebelum mengamalkan dan rujuk pihak berkelayakan apabila ragu-ragu,” ujarnya.
Dalam masa sama, ibu bapa, pendidik, institusi agama dan pertubuhan belia diseru menyediakan bimbingan serta ruang sokongan yang bersesuaian dengan keperluan semasa anak muda.





























