KUALA TERENGGANU — Jasa dan pengorbanan bekas Ketua Jabatan Amal Tepoh, Zuliya Zaki atau lebih dikenali sebagai Pok Ya, yang banyak menabur bakti membantu masyarakat terus dikenang selepas beliau kembali ke rahmatullah.
Pengarah Majlis Tindakan Dewan Undangan Negeri (MTD) Tepoh, YB Ustaz Haji Hishamuddin Abdul Karim berkata, Allahyarham merupakan antara otai Jabatan Amal Malaysia khususnya di kawasan Kuala Nerus dan DUN Tepoh yang banyak mencurahkan masa, tenaga serta kudrat untuk kerja kebajikan.
Menurutnya, beliau berkesempatan menziarahi Allahyarham di Unit Rawatan Jantung (CCU), Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Sabtu lalu sekembalinya dari Nagoya, ketika Allahyarham masih tidak sedarkan diri selepas mengalami serangan jantung secara mengejut.
“Almarhum merupakan otai Jabatan Amal Malaysia, khususnya dalam kawasan Kuala Nerus dan DUN Tepoh. Banyak masa, tenaga dan kudrat beliau dicurahkan untuk membantu masyarakat dan kerja-kerja kebajikan.
“Ramai yang mengenali arwah dan tahu jasa serta pengorbanan beliau selama ini,” jelasnya Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepoh dalam satu kenyataan media hari ini.


Ustaz Hishamuddin berkata, antara ungkapan yang cukup sinonim dengan Allahyarham setiap kali mengeluarkan arahan tugasan ialah “dok soh amok reng”, yang membawa maksud supaya tidak kedekut mengerah tenaga dalam melaksanakan amanah.
Katanya, semangat tersebut menggambarkan keperibadian Allahyarham yang sentiasa bersedia mencurahkan tenaga demi membantu masyarakat tanpa mengira keadaan.
Beliau turut menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga Allahyarham serta mendoakan agar segala jasa dan amal kebajikan yang dilakukan sepanjang hayat diterima Allah SWT.
“Semoga Allah SWT mengampunkan segala dosa Almarhum, menerima segala amal kebaikannya dan menempatkan roh beliau dalam kalangan orang-orang yang soleh.
“Salam takziah buat seluruh keluarga Almarhum Pok Ya. Semoga diberikan kekuatan dan ketabahan menghadapi kehilangan ini,” katanya.




























