Ambil Langkah Drastik Atasi Masalah Sampah Di Sekitar ‘Drawbridge’

3148

KUALA TERENGGANU – Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) diseru agar mengambil langkah ‘drastik’ sewajarnya bagi mengatasi masalah lambakan sampah, dibiarkan berselerak dan bertaburan di persekitaran Jambatan Angkat (Drawbridge).

Pengerusi Majlis Tindakan DUN (MTD) Seberang Takir, Ustaz Zakaria Dagang berkata, jambatan itu yang menjadi mercu tanda baharu Terengganu yang dikunjungi ramai pelancong sama ada luar dan dalam negeri.

“Masalah yang timbul adalah sikap orang ramai yang suka membuang sampah merata-rata yang mencemarkan pemandangan indah di tempat itu.

Ustaz Zakaria Dagang

“Mungkin alasan mereka, tong sampah tidak disediakan oleh pihak berkuasa. Sepatutnya perkara itu tidak boleh dijadikan alasan. Mereka mesti punya kesedaran sivik yang tinggi untuk bersama menjaga kebersihan kawasan tumpuan itu,” jelasnya ketika dihubungi pada hari ini.

Menurutnya, setiap hari tempat tersebut dipenuhi para pengunjung terutama pada hujung minggu dan hari kelepasan am.

Oleh itu, Ustaz Zakaria menambah, undang-undang berkaitan  juga perlu dikuatkuasakan bagi mendidik masyarakat lebih berdisiplin.

“Selain itu bagi membantu pihak MBKT, kami bersedia menyediakan para sukarelawan untuk membersih kawasan itu bagi tujuan menjaga imej negeri ini yang terkenal dengan slogan “Negeri Cantik, Budaya Menarik”.

“Mari bersama kita bertanggungjawab dengan alam sekitar kita,” ujarnya.

Oleh itu, beliau yang juga Setiausaha PAS Kuala Nerus menyarankan, agar pihak terbabit meningkatkkan kemudahan asas dan menambahkan keceriaan di kawasan tumpuan tersebut untuk dinikmati oleh para pengunjung yang datang.

Tinjauan yang dilakukan pada jam 10.30 pagi Ahad, 20 Oktober, mendapati, rata-rata kawasan tersebut dipenuhi sampah.

Walau bagaimanapun ketika dihubungi, pihak Exco kerajaan negeri telah mengambil tindakan dan MBKT mengambil perjalanan.

Sehubungan itu, pada sebelah petang sebuah lori sampah pergi ke lokasi dan membersihkan sampah sarap tersebut.

Justeru itu, Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato’ Khairuddin Aman Razali menyeru agar orang ramai tidak buang sampah merata-rata kerana belum ada kemudahan tong sampah yang disediakan.

“Kesusahan sedikit untuk membuang sampah di tempatnya (belum ada tong sampah) perlu hadir dari kesedaran bahawa ia memberi pahala (kerana menjaga kebersihan).

“Manakala membuang sampah merata yang menyakitkan orang ramai adalah perkara yang dibenci oleh agama. Nabi SAW bersabda dalam Hadis riwayat muslim maksudnya “kesucian itu sebahagian iman”,” tegasnya.