Pok Ya Arkitek Pembina Generasi Muda Jabatan Amal Tepoh

3

KUALA TERENGGANU – Allahyarham Zuliya Zaki atau lebih dikenali sebagai Pok Ya dikenang sebagai seorang yang sangat komited dan istiqamah dalam kerja-kerja operasi serta kebajikan Jabatan Amal, selain memainkan peranan penting membina generasi muda untuk meneruskan perjuangan jemaah di Tepoh.

Ketua Jabatan Amal Terengganu, Mohd Hasmizie Hasan berkata, komitmen Allahyarham terhadap kerja kebajikan dan khidmat masyarakat bukan sesuatu yang baharu, malah telah dilakukan sejak usia muda sehingga ke penghujung hayatnya.

Menurut beliau, Allahyarham turut menjadi antara individu penting dalam membentuk dan mengkader golongan muda di Tepoh supaya terlibat dalam Jabatan Amal khususnya dan perjuangan PAS secara umumnya.

“Arwah seorang yang sangat komited dan sangat istiqamah dalam kerja-kerja operasi dan kebajikan, dari muda hingga ke akhir hayat.

“Arwah juga seorang arkitek membina jemaah dari sudut perkaderan orang muda Tepoh untuk terlibat dalam Jabatan Amal khususnya dan umumnya untuk PAS,” jelasnya ketika dihubungi hari ini.

Mohd Hasmizie menambah, keistimewaan Allahyarham terserlah apabila khidmat kepada masyarakat terus menjadi keutamaannya sehingga saat-saat terakhir kehidupan.

“Sehingga akhir hayat pun masih dalam berkhidmat untuk masyarakat melalui wadah Jabatan Amal,” ujarnya.

Allahyarham yang juga Pengerusi JPKK Kampung Kolam, Batu Rakit, meninggalkan seorang isteri, Rozaimi Binti Husain, dan tidak mempunyai anak.

Dalam gerakan parti dan kebajikan, Allahyarham berkhidmat sebagai Unit Ekonomi Jabatan Amal Malaysia (JAM) Kuala Nerus selain Unit Kebajikan JAM Tepoh.

Allahyarham yang bekerja sendiri turut dikenali dalam kalangan masyarakat menerusi penglibatan aktif dalam kerja kebajikan dan operasi Jabatan Amal.

Jenazah Allahyarham dijadualkan disolatkan selepas solat Zohor di Masjid Mengabang Telipot sebelum dikebumikan.

Pemergian Allahyarham bukan sahaja kehilangan buat keluarga, malah meninggalkan kesan kepada rakan-rakan seperjuangan serta generasi muda yang pernah dibimbing dan dibentuk menerusi kerja-kerja khidmat masyarakat.